Ph.D Palsu Satu Jenayah Intelektual!


Memiliki ijazah Ph.D atau ijazah doktor falsafah adalah impian hampir semua orang tidak kiralah sama ada berada di lapangan pendidikan, politik, korporat dan sebagainya. Ini adalah kerana selain gelaran atau pangkat Dr. di pangkal nama, Ph.D juga melambangkan prestij dan klimaks tahap pendidikan tertinggi seseorang. Semua sedia maklum bahawa untuk menggenggam segulung ijazah tertinggi itu bukan mudah, amat rumit dan memerlukan pengorbanan dan komitmen yang sangat tinggi sama ada berbentuk material, fizikal dan persediaan minda yang cukup kental.

Bagi membolehkan seseorang dianugerahkan ijazah ulung itu, mestilah melalui proses pengajian yang lama, tahap kajian dan penyelidikan tinggi dan sangat bermutu diperlukan di samping terdedah dengan kaedah penulisan dan pembentangan serta mempunyai kemahiran komunikasi baik. Di samping itu, dapat memahami, menilai dan membuat hipotasis sesuatu kajian serta mengumpul fakta, analisis, tafsiran, teori, data, ujian dan hujah sangat penting bagi mempertahankan hasil kajian dan penyelidikan mengikut metodologi yang bersesuaian dengan bidang yang diambil.

Kejayaan mereka yang berjaya mengenggam ijazah tertinggi ini secara positifnya mampu membakar semangat rakyat Malaysia yang dahaga ilmu pengetahuan dan tekad berusaha mengamalkan tradisi menuntut ilmu seumur hidup. Golongan yang cintakan ilmu ini wajar diangkat sebagai ikon dan sumber inspirasi kepada orang ramai dalam usaha mewujudkan masyarakat berilmu mengetahuan atau k-masyarakat, lebih-lebih lagi ianya sangat bertepatan dan mampu merealisasikan konsep intelektual Satu Malaysia yang kini giat diterapkan di dalam masyarakat kita.

Keadaan ini sudah tentu memberi cabaran dan motivasi kepada orang ramai untuk memiliki ijazah Ph.D dan menjadi aspirasi kepada graduan universiti terutamanya untuk terus menyambung pelajaran mereka sehingga ke peringkat ijazah tertinggi. Bagi mereka yang cemerlang dan telah tamat pengajian tetapi masih belum menerima sebarang tawaran pekerjaan, maka ini adalah masa dan peluang terbaik untuk menyambung pelajaran di dalam dan luar negara sebagai bekalan ketika memohon pekerjaan kelak dan nilai tambah kepada potensi diri seseorang.

Tambahan pula dengan dana dan peluang yang ada, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan program MyBrain15 yang bermatlamat melahirkan 60,000 pemegang Ph.D menjelang tahun 2023 sebagai satu usaha menambah bilangan pemegang ijazah Ph.D yang secukupnya dalam sumber tenaga kerja mahir dan bermaklumat negara. Program yang julung-julung kali ini dianjurkan kerajaan adalah sebagai persediaan kepada negara menjana dan memiliki modal insan yang berkualiti, kompeten, kompetitif dan mempunyai daya saing yang tinggi serta berfikiran glokal di samping berminda kelas pertama.

Sehingga kini setakat statistik tahun 2008, jumlah pemegang ijazah doktor falsafah di Malaysia hanya sekitar 8,000 orang sahaja dan jumlah itu masih belum mencukupi di samping menghalang negara untuk mewujudkan lebih banyak ciptaan atau inovasi yang mampu menjana pembangunan negara. Untuk itu, kerajaan mahu melakukan perubahan pada senario itu dan pemegang Ph.D tempatan perlu menjadi tonggak dalam memandu inovasi negara dan tonggak kepada kejayaan program MyBrain15 adalah di tangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana merekalah kilang melahirkan tenaga pakar tersebut pada masa hadapan.

Namun dalam keghairahan mengejar gelaran Ph.D, terdapat di kalangan mereka yang diragui status Ph.D dan universiti yang menganugerahinya. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan masyarakat hari ini semakin matang dan mempunyai tahap inkuiri yang tinggi. Jika perkara ini diketahui kelak, sudah tentu ianya sangat memalukan dan orang ramai akan hilang keyakinan kepada mereka. Gelaran Ph.D yang diragui atau bogus juga turut melarat kepada beberapa tokoh ternama politik, pendidikan, korporat, pakar motivasi, pengamal perubatan alternatif dan ramai lagi seperti yang acapkali didedahkan oleh media arus perdana.

Sehubungan itu, tindakan undang-undang adalah saluran terbaik bagi menangani masalah serius ini yang boleh dikategorikan sebagai jenayah intelektual terancang di mana Jabatan Peguam Negara misalnya diminta memutuskan sama ada pembelian atau pemerolehan ijazah Ph.D secara ekspres dan tidak sah di laman internet atau dari mana-mana universiti maya yang tidak diiktiraf merupakan perbuatan jenayah atau sebaliknya. Kegiatan membeli anugerah akademik palsu tersebut semakin serius dan jika tidak ditangani, akan melahirkan satu generasi ilmuwan palsu atau intelek plastik. Ini sangat bahaya dan merupakan barah kepada korpus pendidikan serta dunia intelektual di negara kita walaupun dilaporkan setakat ini tiada IPTA atau IPTS tempatan yang terlibat dalam skandal intelektual ini memandang negara mempunyai mekanisme mengesan dan membanterasnya.

Untuk itu, semua pihak, agensi kerajaan dan kementerian yang berkenaan juga perlu menilai dan merumuskan kaedah terbaik untuk menghalang perbuatan membeli dan penganugerahan gelaran akademik tertinggi yang semakin menjadi-jadi dewasa ini di segelintir masyarakat di negara kita dan fenomena ini sangat tidak beretika. Pihak-pihak yang menggunakan gelaran palsu berkenaan juga harus disiasat dengan segera kerana mereka boleh ditafsir melakukan satu bentuk penipuan kepada masyarakat dan negara dengan hasrat atau tujuan tertentu. Budaya intelektual songsang ini sudah berada di tahap yang agak keterlaluan dan jika dibiarkan boleh mengelirukan masyarakat dan menjejas imej institusi pendidikan tinggi di negara kita.

RUJUKAN

Wan Mohd. Mihidin Wan Kadir. Calon Ph.D perlu kuasai BI professional, Utusan Malaysia, 18 Ogos 2008
MyBrain15 tingkat jumlah pemegang Ph.D dilancar, Utusan Malaysia, 26 September 2008
Gelaran Datuk ekspres, Utusan Malaysia, 23 September 2009
Tiada IPT keluarkan PhD ekspres, palsu, Berita Harian, 27 September 2009
PhD ekspress salah dari segi etika: Ungku Aziz, Berita Harian, 29 September 2009

Comments

Popular Posts