Pusat teknologi penyelesaian kewangan Islam global

Perbankan dan kewangan Islam berkembang dengan begitu pesat di rantau ini dan juga di negara-negara Barat lain seperti Amerika Syarikat dan Eropah dengan kewujudan institusi sokongan. Perkembangan drastik ini membuktikan sistem perbankan serta kewangan Islam semakin diterima ramai dan menjadi pengimbang serta alternatif terbaik kepada sistem konvensional sedia ada yang secara asasnya melarang amalan riba, pengambilan risiko dan aktiviti spekulasi secara berlebihan.

Perkembangan ini penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada RMK-10 ke arah usaha reformasi dan transformasi ekonomi negara. Pencapaian ini secara dasarnya telah dibuktikan memandangkan Malaysia mampu menerbitkan jumlah sukuk terbesar di dunia yang melibatkan sejumlah AS$94.7 bilion iaitu 62 peratus keseluruhan sukuk dunia pada 2008.

Sistem perbankan Islam domestik termasuk pelaburan luar asing juga terus menunjukkan peningkatan dalam bahagian pasaran bagi aset, deposit dan pembiayaan yang semakin akomodatif. Bahkan industri takaful yang menjadi tulang belakang sistem ini turut mengalami pertumbuhan purata tahunan yang pantas dengan jumlah aset insurans yang terus meningkat di pasaran.

Dalam konteks ini, Malaysia dengan pengalaman, kepakaran dan kemudahan kewangan yang ada juga dilihat sangat berpotensi untuk dipasarkan sebagai pusat teknologi penyelesaian kewangan Islam global biarpun ketika ini menyaksikan lebih banyak syarikat teknologi Eropah dan India menjual penyelesaian perbankan Islam dan takaful kepada bank dan syarikat insurans tempatan.

Oleh itu, inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) yang sedang membangunkan parameter Syariah untuk menggalakkan penggunaan kontrak kewangan Islam secara konsisten sangat wajar di mana enam kontrak yang telah dikenal pasti ialah Murabahah, Ijarah, Mudharabah, Mushrakah, Istina' dan Wadiah. Penerbitan parameter Syariah ini akan menambahkan kejelasan serta keselarasan tafsiran dan pemahaman terhadap produk dan perkhidmatan.

Ini akan memudahkan penerimaan yang lebih luas terhadap kewangan Islam dan meningkatkan urus niaga rentas sempadan dalam usaha mewujudkan gerbang bagi pelaburan dan pangkalan bagi aktiviti kewangan. Ini termasuk aktiviti promosi, penjenamaan, terbitan sukuk, inovasi produk, penyeragaman dokumentasi dan usaha penyelarasan ke arah pemahaman dan pentafsiran produk serta perkhidmatan kewangan Islam.

Sehubungan itu, negara perlu memiliki lebih banyak syarikat teknologi tempatan yang mampu menawarkan teknologi penyelesaian yang inovatif serta komprehensif di dalam kewangan Islam melibatkan prasarana pasaran modal Islam, takaful, pengurusan sukuk, instrumen pembiayaan Syariah lain dan sebagainya di samping sebagai penyedia sistem kewangan Islam holistik terunggul di peringkat global dalam mengintegrasikan negara Islam di dalam komuniti kewangan Islam.

Tambahan pula, dilaporkan sekurang-kurangnya tiga bank Islam Malaysia bakal memasuki pasaran perbankan di Bosnia- Herzegovina menjelang akhir tahun ini. Ini adalah peluang terbaik kepada amalan perbankan Islam berkembang di rantau berkenaan pula memandangkan sektor perbankan di Bosnia mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan berdasarkan keadaan ekonominya yang kukuh berbanding negara-negara Eropah lain.

Bosnia juga dalam masa yang sama boleh dijadikan pintu masuk dan hab perbankan Islam terutama bagi kawasan Eropah Tenggara. Rekod Malaysia yang sememangnya sejak awal tahun 80-an lagi sebagai pelopor penting dalam pembangunan sistem kewangan Islam global mampu berperanan sebagai hub utama penyedia teknologi penyelesaian kewangan Islam di sana pada masa hadapan di samping menyediakan kawal atur dan pemantauan yang kukuh, bagi memastikan tadbir urus korporat dan amalan terbaik kewangan Islam yang lebih meluas.

Rujukan:

Tiga bank Islam Malaysia ke Bosnia, Utusan Malaysia, 10 Oktober 2009
Promosi aktiviti kewangan Islam, Utusan Malaysia, 17 Oktober 2009
Malaysia punyai potensi, Utusan Malaysia, 22 Oktober 2009
Perbankan Islam tunjukkan peningkatan, Utusan Malaysia, 25 Oktober 2009
Lagi parameter Syariah galakkan kontrak kewangan Islam, Utusan Malaysia, 25 Oktober 2009

Comments

Popular Posts