Sunday, October 24, 2010

Hanya undang-undang Inggeris sesuai diguna?


Hanya undang-undang Inggeris sesuai diguna

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Hanya undang-undang Inggeris bersesuaian dengan keadaan dan suasana tempatan dan diguna pakai di negara ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Nazri berkata, keadaan itu merangkumi sekiranya ada 'lakuna' atau ketiadaan peruntukan undang-undang tempatan mengenai perkara yang dipertikaikan.

"Pemansuhan pemakaian undang- undang lazim England (Common Law England), undang-undang Inggeris atau kaedah ekuiti melalui Akta Undang-undang Sivil 1956 (1/8)Akta 67(3/8) tidak menjadi isu atau keperluan yang mendesak," katanya.

Beliau menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) yang ingin tahu bila kongkongan undang-undang lazim England akan dimansuhkan melalui Akta Undang-undang Sivil 1956.

Mohamed Nazri berkata, Seksyen 6 Akta 67 mengecualikan pemakaian bahagian dua undang-undang Inggeris di bawah seksyen 3 dan 5 Akta 67 untuk perkara yang berkaitan dengan pemegangan (tenure), pemindahhakkan (conveyancing), jaminan (assurance of) atau pewarisan (succession) mana-mana harta tak alih atau mana-mana aset, hak atau faedah.

Berhubung dengan tatacara jenayah di Malaysia, beliau berkata, kedudukannya adalah berbeza kerana undang-undang Inggeris tidak terpakai sekiranya terdapat 'lakuna' sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Agung.

Mengenai pemakaian undang-undang Inggeris dalam hal komersil dan perdagangan di Malaysia, Mohamed Nazri berkata, kebergantungan terhadap undang-undang itu adalah terhad meskipun seksyen 5 Akta 67 memperuntukkan pemakaian undang-undang perdagangan Inggeris di negara ini.

"Selain itu, usaha untuk mengadakan atau memperbaharui undang- undang perdagangan di Malaysia sentiasa berterusan melalui penggubalan undang-undang perdagangan seperti Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005 (1/8) Akta 642(3/8), Akta Perdagangan Elektronik 2006 (1/8) Akta 658(3/8), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (1/8) Akta 671(3/8) dan Akta Persaingan 2010 (1/8) Akta 712(3/8)," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rangka perundangan pada masa kini serta undang-undang kes Malaysia yang mewujudkan prinsip perundangan setaraf dengan undang-undang Inggeris, Malaysia tidak lagi bergantung kepada undang-undang lazim England dalam menangani sesuatu isu undang-undang.

"Tiada keburukan sekiranya peruntukan sedemikian dikekalkan memandangkan pada masa depan berkemungkinan terdapat keperluan untuk memakai peruntukan tersebut sekiranya terdapat 'lakuna' dalam undang-undang berkaitan apabila mahkamah hendak memutuskan sesuatu kes," katanya.

Menjawab soalan tambahan Nasharudin sama ada kerajaan berhasrat mempunyai Malaysia Common Law, Mohamed Nazri berkata, ia tidak boleh dilaksanakan kerana tiada budaya penyimpanan rekod sebelum negara mencapai kemerdekaan.

"Kita tidak boleh memakai Malaysian Common Law kerana tiada rekod menunjukkan 100 tahun dulu kalau berlaku perkara ini, maka inilah penyelesaiannya," katanya.

Nazri berkata, Singapura, India dan Australia adalah negara komanwel lain yang menggunakan undang-undang lazim England. - BERNAMA

sumber: http://www.utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

No comments: