Akta cegah jual organ manusia
Akta cegah jual organ manusia
Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bharian.com.my
2010/10/18
Draf elak aktiviti tak bermaruah berleluasa
KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta Transplantasi yang bakal dibentangkan bertujuan memantau penderma organ bagi mengelak berlakunya perbuatan penjualan organ di dalam negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya, akta berkenaan yang masih dalam peringkat awal penggubalan akan merangkumi semua aspek termasuk pemerdagangan manusia, pendermaan organ dalam dan luar negara, penderma organ, kaunseling dan tempat pemindahan organ.
Tiong Lai berkata, pengenalan undang-undang baru itu juga bagi memastikan kes penjualan organ yang sering berlaku di luar negara tidak menjalar ke negara ini kerana ia memberi implikasi negatif jika tidak dibendung.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan mengenai penjualan organ di negara ini. Namun, kita mengambil langkah proaktif dengan menggubal akta ini untuk menyekat sebarang aktiviti tidak bermaruah dan melanggar prinsip kemanusiaan, ” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kementerian Kesihatan, Tan Sri Lee Lam Thye.
Tiong Lai berkata, pihaknya kini mengumpul maklumat dan pandangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai sebelum dibentangkan di Parlimen.
Selain itu, katanya, dalam tempoh 2006 hingga Ogos 2010, 147,092 rakyat negara ini berikrar menderma organ membabitkan 66,599 atau 46 peratus lelaki dan 79,606 (54 peratus) wanita.
Katanya, berdasarkan pecahan kaum pula, 85,100 Cina (59 peratus), India 34,893 (24 peratus) dan Melayu 22,997 (16 peratus).
“Sehingga Oktober 2010, 30 pengikrar sudah menderma organ menjadikan jumlah penderma sejak 1976 hingga kini 300 orang. Kita berharap lebih ramai akan menjadi pengikrar dan menderma organ, ” katanya.
“Dalam masa sama, kita juga akan melaksanakan kempen kesedaran di peringkat sekolah untuk memberi pendedahan kepada pendermaan organ, ” katanya.
sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Aktacegahjualorganmanusia/Article
Perundangan derma organ digubal
KUALA LUMPUR 17 Okt. - Kementerian Kesihatan sedang menggubal undang-undang pendermaan organ meliputi pelbagai aspek bagi memastikan organ manusia tidak dijadikan 'bahan' dagangan.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, melalui undang-undang itu, segala aktiviti pendermaan organ, sama ada di luar mahupun dalam negara, dapat dipantau dengan lebih efisien.
Menurut beliau, ia juga bertujuan mengelakkan penderma menderma organ di tempat yang tidak sepatutnya.
"Aspek lain yang diberi perhatian menerusi penggubalan undang-undang itu adalah pendermaan organ di kalangan ahli keluarga serta bukan ahli keluarga serta kaunseling selain tempat yang boleh dilakukan pemindahan.
"Kita kena berhati-hati dan tidak mahu organ dijadikan bahan untuk dikomersialkan. Amalan jual-beli organ tidak menepati prinsip kemanusiaan. Jika tidak dibendung, ia akan mendatangkan kesan negatif," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2010 di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Penyelaras Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr. Lela Yasmin Mansor.
Tiong Lai berkata, penggubalan undang-undang berkenaan masih di peringkat awal dan kementerian sedang mengumpul segala input termasuk soal penalti dan garis panduan tertentu sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, senario pendermaan organ di negara ini kini menunjukkan perubahan positif.
Menurutnya, dari 2006 hingga Ogos lalu, 147,092 individu telah mengikrarkan pendermaan organ dan kaum Cina merupakan pengikrar paling ramai iaitu 59 peratus diikuti India (24 peratus) dan Melayu (16 peratus).
Katanya, paling membanggakan adalah kesedaran di kalangan golongan muda yang tampil mendaftar sebagai pengikrar pendermaan organ turut menunjukkan peningkatan.
"Berdasarkan statistik NTRC, sehingga 31 September lalu, golongan berumur 21 hingga 30 tahun merupakan pengikrar paling ramai dengan 36.5 peratus.
"Dari segi jumlah penderma organ pula, ia menunjukkan trend peningkatan. Pada 2005, hanya terdapat 13 penderma manakala sehingga 31 September lalu, sudah terdapat 29 penderma dan jumlah keseluruhan penderma organ hingga kini ialah 300 orang," jelasnya.
Menurut Tiong Lai, pihaknya berharap agar jumlah itu terus meningkat berikutan bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ juga agak tinggi.
"Kini ada 11,000 pesakit memerlukan pemindahan organ buah pinggang dan 25,000 orang sedang menunggu organ hati.
"Selain itu, enam pesakit memerlukan pemindahan jantung manakala empat pesakit pemindahan paru-paru," tambahnya.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_18.htm
Comments