Menangani Jenayah Rogol Bawah Umur


Kes jenayah berkaitan keganasan seks seperti rogol, liwat dan sumbang mahram dilaporkan semakin meningkat sejak lima tahun lalu. Berdasarkan statistik, keganasan jenayah seks yang dilaporkan pada 2005 ialah 2,427 kes manakala 2,943 kes (2006); 3,689 kes (2007); 3,986 kes (2008) dan 4,238 kes (2009), keseluruhannya 17,283 kes. Jumlah tangkapan bagi kes jenayah berkenaan adalah semakin meningkat daripada 1,504 orang pada 2005 kepada 2,701 orang pada 2009 iaitu peningkatan 1,197 orang. Manakala bagi jumlah pesalah yang didakwa di mahkamah sepanjang tempoh itu bagi kesalahan rogol, liwat dan sumbang mahram ialah hanya 1,437 orang di mana bagi 2005, jumlah pesalah yang didakwa ialah 308 orang; 410 orang (2006); 304 orang (2007); 228 orang (2008) dan 187 orang (2009).

Menurut statistik yang dikeluarkan polis, daripada keseluruhan 13,134 kes yang dilaporkan sepanjang tahun 2000 hingga pada tahun 2008, Selangor mencatatkan bilangan kes rogol tertinggi iaitu sebanyak 2,403 kes, diikuti Johor (2,186), Kedah (1,164), Sabah (1,034), Perak (939) dan Kuala Lumpur (847). Pahang pula mencatatkan sebanyak 722 kes bilangan kes rogol, Sarawak (715), Kelantan (636), Negeri Sembilan (623), Pulau Pinang (622), Melaka (588), Terengganu (521) dan Perlis (134). Secara relatifnya, kemajuan sesuatu negeri dilihat menyebabkan bilangan penduduk bertambah serta menjadi tumpuan ramai dan secara logiknya, lebih ramai populasi penduduk maka lebih tinggi kadar jenayah yang berlaku.

Namun begitu menurut penganalisis jenayah dari Yayasan Pencegahan Jenayah, Kamal Affandi Hashim, jumlah laporan kes rogol yang tinggi bagaimanapun tidak mencerminkan terlalu banyak jenayah tersebut berlaku di negara ini dan sebaliknya bilangan laporan yang tinggi bermakna wujud kerjasama erat dan jaringan yang baik antara masyarakat dan polis. Ini adalah kerana lebih banyak kes yang dilaporkan bermakna orang ramai kini lebih bersedia untuk tampil membuat laporan jenayah dan lebih baik berbanding kes yang disembunyikan. Dalam kes rogol misalnya, ramai mangsa serta keluarga enggan membuat laporan kerana malu sedangkan mereka tidak bersalah dan tidak perlu berperasaan sedemikian.

Secara amnya, faktor umur dan tahap kematangan remaja menyebabkan mereka terlibat dalam jenayah rogol ini walaupun ada elemen suka sama suka dan mangsa mengenali perogol. Faktor tertentu seperti suasana persekitaran keluarga juga membuatkan remaja mudah terlibat dalam perhubungan seks bawah umur dan banyak kes rogol yang dilaporkan berpunca dari perasaan terlalu mempercayai pasangan mereka yang menyebabkan mangsa bersetuju untuk melakukan hubungan seks. Siasatan turut mendapati kebanyakan kes berlaku apabila mangsa lari dari rumah dan dalam sesetengah kes, ada mangsa yang menghilangkan diri sehingga berbulan-bulan di mana setelah dijumpai semula, mangsa membuat pengakuan mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki.

Polis Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan sebanyak 40 daripada 56 kes rogol dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini adalah membabitkan mangsa-mangsa di bawah usia 16 tahun. Namun apa yang lebih membimbangkan ialah sebahagian besar daripada kes-kes dilaporkan tersebut melibatkan mangsa yang melakukan perbuatan itu atas kerelaan sendiri. Meskipun demikian, golongan terbabit tetap dianggap melakukan jenayah kerana melakukan persetubuhan dengan gadis di bawah usia adalah perbuatan jenayah dan salah di sisi undang-undang serta boleh didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kementerian Pelajaran turut mengesan sebanyak 21 kes pelajar yang mengandung luar nikah di sekolah bandar dan luar bandar antara tahun 2006 dan 2010 di mana 12 kes yang direkodkan itu berlaku di sekolah luar bandar sementara sembilan kes lagi di sekolah bandar. Sebanyak 20 kes mengandung luar nikah itu berlaku berdasarkan suka sama suka antara pelajar dan pasangan mereka sementara satu kes melibatkan jenayah rogol. Kesemua kes ini dikumpulkan berdasarkan sumber laporan akhbar, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah terbabit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pun begitu pelajar yang dilaporkan mengandung luar nikah tidak boleh dibuang dari sekolah mengikut Akta Pendidikan 1966 tetapi akan dinasihatkan bercuti sehingga mereka bersalin.

Oleh yang demikian, melihat kepada perkembangan semasa dan statistik jenayah rogol maka adalah dinasihatkan agar ibu bapa sentiasa memastikan anak gadis mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan maksiat atau menjadi mangsa rogol yang didapati kian meningkat sejak kebelakangan ini. Kebanyakan kes rogol yang dilaporkan bukan dari jenis kekerasan, sebaliknya atas kerelaan mangsa terutama dari kalangan remaja perempuan bawah umur yang terlibat melakukan hubungan seks. Ibu bapa dan anggota masyarakat memberi perhatian terhadap anak gadis masing-masing supaya mereka tidak terlibat dalam pergaulan bebas yang boleh memberi kesan kepada masa depan anak mereka.

Di samping didikan agama yang mantap dan berterusan, ibu bapa termasuk masyarakat perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap gejala tersebut bagi mengelakkan ia berlarutan menjadi serius hingga sukar ditangani kelak. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak dan bukan sahaja diserahkan kepada pihak berkuasa seperti polis atau pejabat agama sahaja untuk menanganinya. Masyarakat keseluruhannya perlu mengambil iktibar daripada pelbagai laporan media mengenai kejadian rogol ini dan menjaga anak mereka supaya tidak menjadi mangsa rogol. Masalah sosial ini berterusan berikutan naluri kedewasaan pelajar di samping kebebasan keterlaluan yang diberi keluarga sehingga ada kejadian berkenaan berlaku di rumah dan bilik pelajar itu sendiri.

Malahan Kerajaan juga wajar menggubal dan meluluskan undang-undang baru yang lebih berat terhadap perogol kanak-kanak. Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, undang-undang sedia ada sudah begitu lama dan apa yang berlaku pada masa kini pula jauh berbeza dari dulu termasuk gambar lucah dan pornografi yang begitu mudah didapati. Sebelum itu, peguam terkenal, Karpal Singh meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan supaya perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati di mana mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan. Kerajaan juga tidak boleh bertolak ansur dengan pelaku jenayah itu dan isu ini tidak wajar dipandang ringan serta masyarakat perlu mengecam jenayah rogol membabitkan kanak-kanak.

Dalam satu kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi iaitu Nisam Ahmad melawan Pendakwa Raya [2010] 1 LNS 267, di mana Yang Arif Hakim AHMADI HAJI ASNAWI memutuskan bahawa hukuman yang dijatuhkan hendaklah mengandungi elemen-elemen yang berfungsi untuk menghukum pesalah dan juga mencegah orang-orang lain yang mempunyai niat yang sama untuk melakukan, mengulangi atau meniru kesalahan-kesalahan atau jenayah-jenayah yang sama. Hukuman itu hendaklah juga menunjukkan betapa seriusnya jenayah tersebut serta meninggalkan ingatan 'that it does not pay to commit such crime'. Ini adalah kerana dalam jenayah rogol bawah umur, mangsa adalah kanak-kanak yang masih amat remaja lagi naif yang tidak tahu betapa ganasnya dunia di luar sana.

Perogol telah mengambil kesempatan yang sepenuhnya di atas kenaifan mangsa-mangsanya untuk memerangkap mangsa dengan tipu daya dan seterusnya membiarkan nafsu liarnya ke atas mangsa-mangsa. Perbuatan perogol nyata amatlah kejam, keji lagi terkutuk pada pandangan segenap lapisan masyarakat baik dari sudut moral, agama, budaya, latarbelakang mahupun dari segi undang-undang. Masyarakat secara umumnya tidak boleh bertoleransi terhadap jenayah kejam ini dan dengan itu hukuman yang dikenakan hendaklah juga mencerminkan 'the public's intolerance and abhorrence' ke atas jenayah yang seperti ini lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan anak-anak yang masih amat remaja.

Rujukan

Rohana Ariffin, ed. 2008. Rapist & Rape: Who & Why. Petaling Jaya: ERA Consumer Malaysia

Kes rogol di Johor merisaukan, Utusan Malaysia, 6 Jun 2008
Kes rogol di Melaka meningkat, Utusan Malaysia, 9 April 2010
Keganasan seks meningkat, Utusan Malaysia, 20 April 2010
21 kes pelajar sekolah mengandung luar nikah, Utusan Malaysia, 29 Julai 2010
Undang-undang rogol kanak-kanak perlu dipinda, Utusan Malaysia, 3 Ogos 2010
Hukuman lebih berat untuk perogol kanak-kanak wajar, Utusan Malaysia, 2 Ogos 2010
40 kes rogol libatkan mangsa bawah 16 tahun, Utusan Malaysia, 5 Ogos 2010

Comments

Popular Posts