Pengguna perlu dinasihati sebelum beli, baharui insurans

Pengguna perlu dinasihati sebelum beli, baharui insurans

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Mulai hari ini, penanggung insurans serta pengendali takaful dan ejen mereka dikehendaki menasihati pengguna dalam tiga perkara utama sebelum melakukan pembelian atau pembaharuan insurans kenderaan.

Tiga perkara itu adalah nilai pasaran semasa kereta, kepentingan menginsuranskan kenderaan pada nilai pasaran bersesuaian dan kesan insurans berlebihan atau insurans terkurang apabila berlakunya tuntutan.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, langkah-langkah baharu itu bertujuan memastikan pengguna diberikan nasihat sewajarnya tentang nilai pasaran yang bersesuaian bagi kenderaan apabila membeli perlindungan insurans komprehensif untuk kereta persendirian.

Ia juga bertujuan menangani isu insurans berlebihan atau terkurang bagi kenderaan berkenaan sekali gus menyebabkan pengguna membayar premium lebih tinggi daripada yang diperlukan atau menerima pampasan lebih rendah apabila membuat tuntutan terhadap polisi insurans.

Bank Pusat itu berkata, nasihat kepada pengguna mengenai nilai pasaran semasa hendaklah berdasarkan Sistem Pintar Perniagaan Automobil ISM (Sistem ISM-ABI) atau mana-mana pangkalan data penilaian kenderaan lain yang boleh dipercayai.

Katanya, nilai pasaran semasa kenderaan tersebut akan ditunjukkan dalam notis pembaharuan atau helaian penzahiran produk yang dikeluarkan kepada pengguna.

Bagi memastikan nilai pasaran kenderaan ketika insurans diambil adalah konsisten dengan nilai pasaran kenderaan ketika tuntutan dibuat kemudiannya, penanggung insurans dikehendaki merujuk kepada pangkalan data yang sama untuk menentukan nilai pasaran kenderaan dalam kedua-dua keadaan tersebut.

Pangkalan data itu akan merangkumi sebahagian besar kenderaan milik persendirian, tambah BNM.

Bagaimanapun, pangkalan data tersebut tidak merangkumi kenderaan perdagangan dan motosikal.

BNM berkata, langkah baharu mengenai nasihat yang diberikan bagi nilai pasaran kenderaan akan menyumbang ke arah penentuan nilai pasaran kenderaan motor yang lebih objektif bagi tujuan pembelian insurans dan penyelesaian tuntutan.

Pendekatan tersebut melengkapkan langkah-langkah sedia ada yang menggalakkan layanan adil terhadap pengguna, termasuk keperluan untuk penanggung insurans dan ejen mereka menjelaskan kepada pengguna tentang ciri utama sesuatu polisi motor termasuk jenis perlindungan, skop perlindungan dan pengecualian, hak dan obligasi bersifat kontrak pengguna serta prosedur tuntutan.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Comments

Popular Posts