Laporan Khas mengenai Isu Murtad


Soalan untuk Laporan Khas mengenai Isu Murtad

fida asfida (Sinar Harian)

1) Apa peranan dimainkan JIM dalam menangani masalah murtad?

Baru-baru ini umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan peristiwa anggotanya terlibat dengan aktiviti anjuran kumpulan agama lain. Ini dikhuatiri boleh menyebabkan mereka keluar dari agama Islam. Reaksi umat gamat, lebih-lebih lagi kerana ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan.

Apabila berlaku satu pun kes murtad, kita mesti merasa terkejut dan bingkas mencari sebab serta mencari jalan agar perkara seperti ini tidak berulang. Menuding jari mencari salah siapa bukan caranya. Ini tanggungjawab bersama, peribadi dan berkumpulan, kerajaan dan pertubuhan. Satu jari yang menuding ke arah orang lain, empat menunjuk balik kepada kita!

Sebenarnya seorang Muslim yang tidak teliti menjaga imannya mudah dipesongkan oleh pengaruh yang bukan datangnya dari agama lain sahaja. Amalan cara hidup, pegangan ideologi serta pengambilan hukum dari sumber lain hingga bertentangan dengan Islam, jika dilakukan dengan keyakinan itu lebih baik, boleh membawa kepada syirik atau kufr. Bab seperti ini umat kurang peka.

Bagi kita membina pemahaman, menanamkan iman yang mendalam serta beramal dengan Islam dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat menjadi pendekatan utama. Kita percaya ini bukan sahaja benteng yang ampuh dari gejala murtad, syirik atau kekufuran tetapi sebenarnya amalan hidup insan yang diredai Allah. Jadi jangka panjang usaha mendidik ini adalah jalan terbaik.

Jangka pertengahan kita membina institusi seperti Hidayah Centre, terutamanya untuk membantu saudara kita (baru), memandangkan khidmat selepas memeluk Islam amat penting.

Bagi jangka pendek, ahli kita yang terlatih dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam menangani kes-kes murtad, sendirian atau bersama-sama agensi dan pertubuhan Islam lain.

2) Apakah pendekatan yang digunakan untuk mendekati atau membantu golongan yang baru memeluk Islam supaya mereka terus mencintai agama Islam?

Pendekatan utama kita adalah melalui Hidayah Centre. Hingga kini lima belas (15) telah diwujudkan. Sejak ditubuhkan, beribu-ribu saudara kita (baru) telah dapat dibantu.

Selain itu kita menyantuni mereka dengan sentuhan persaudaraan (ukhuwah Islamiah), menjadikan mereka sebahagian dari kita.

Alhamdulillah telah lama wujud muafakat dan kerjasama di kalangan pertubuhan dan agensi Islam menjadikan usaha memberi khidmat kepada saudara baru kita berjalan dengan baik. Namun bebanan kerja ini bertambah besar dan masih banyak yang perlu diperbaiki.

Orang memeluk Islam melalui berbagai pintu. Semuanya mendapat hidayah dari Allah dan menjadi tanggungjawab kita menghulurkan persaudaraan. Namun yang memeluk Islam kerana perkahwinan sering terputus hubungan selepas pernikahan. Kita berharap kepada pasangan atau keluarga pasangan yang Islam memberikan pendidikan dan sokongan.

3) Apakah cadangan JIM dalam menangani isu murtad?

Bagi yang sampai sudah memohon untuk keluar Islam dari mahkamah syariah atau pengisytiharan melalui afidavit, proses undang-undang (due process) cara yang terbaik. Proses ini turut melibatkan siasatan dan kaunseling.

Pertama, saya berpendapat baik diwujudkan sistem pengesanan awal (early detection system) bagi mengenalpasti kes-kes awal murtad. Ini memerlukan satu pusat operasi dan maklumat, sebaiknya di bawah salah satu agensi Islam dan disertai jaringan badan-badan dan individu seluruh negara, yang boleh bertindak segera apabila terdapat laporan. Pusat ini juga boleh menerima aduan atau laporan oleh orang ramai. Tindakan awal saya percaya lebih berkesan.

Kedua, saya cadangkan diadakan usaha di kalangan mereka yang berisiko tinggi. Satu kajian perlu dijalankan untuk mengenalpasti golongan ini.

4) Apakah faktor yang mendorong seseorang itu memilih untuk murtad?

Saya fikir setiap kes murtad itu unik. Kajian terperinci kes-kes murtad perlu dijalankan bagi memahami apa yang mendorong seseorang membelakangkan agamanya. Kerap disebut-sebut faktor seperti cinta, terlanjur, kesempitan hidup, bantuan di kala susah, konflik keluarga, companionship dan pegangan agama yang longgar sebagai penyebab utama.

5) Adakah JIM turut aktif dalam menyebarkan ajaran agama Islam kepada bukan Islam?

Ya.

6) Sekiranya ada, apakah bentuk perlaksanaan itu?

Secara umum, ahli JIM dan JIM sebagai organisasi perlu beramal dengan akhlak Islam sepanjang masa. Itulah dakwah yang terbaik. Pergaulan dan perhubungan kita dengan orang belum Islam sepatutnya mencerminkan keistimewaan Islam.

JIM juga menggalakkan ahli merebut peluang melaksana dakwah secara fardi (peribadi), dengan penuh hikmah kepada rakan sekerja, jiran atau siapa sahaja yang ditemui. Ganjaran amat besar bagi mereka yang melalui usahanya Allah berikan hidayah.

Melalui Hidayah Training Centre kita berusaha melahirkan para da`i (mubaligh). Usaha dakwah bersemuka, buku, pamphlet, ceramah dan program berbentuk karnival juga kita laksanakan.

7) Apakah perancangan JIM bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang untuk terus berjuang dalam meluaskan ajaran Islam?

Terus berusaha menghayati Islam dalam apa jua keadaan. Terus menerangkan keistimewaan Islam berbanding cara hidup dan ideologi lain. Terus memperjuangkan keadilan walaupun tidak memihak kepada keluarga sendiri. Terus membawa rahmat ke seluruh alam. Terus menjunjung al-Quran dan al-Sunnah.

Apa pun yang JIM boleh buat, ianya terbatas. Umat amat memerlukan pendekatan yang bersepadu supaya usaha dakwah seluruh negara terselaras, sumber ummah digembleng sepenuhnya dan tugasan dikongsi dan dibahagi. Ini juga akan melahirkan kesatuan yang mantap di kalangan umat kerana ia diasaskan kepada bekerja bersama-sama mencapai matlamat yang disepakati.

Zaid Kamaruddin
Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM)
16 Ogos 2011

Comments

Popular Posts