Tuesday, August 13, 2013

Kutip hutang pinjaman peribadi RM91.2 bilion

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), akan mengutip hutang pinjaman peribadi sebanyak RM91.2 bilion daripada dua juta ahli peminjam setakat 30 Jun 2013. Tempoh kutipan yang diamanahkan kepada Angkasa adalah sehingga 20 tahun, kata Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah. Menurut beliau, hampir 90 peratus daripada pemegang akaun pinjaman peribadi merupakan kakitangan kerajaan. Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mengutip semula hutang pinjaman peribadi kerana sistem kutipan adalah berdasarkan skim potongan gaji. "Proses kutipan berjalan lancar dan kadar peratusan hutang tidak berbayar (NPL) setakat ini amat kecil iaitu di bawah dua peratus,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini. Angkasa kini memiliki lapan juta ahli daripada kira-kira 6,000 buah syarikat koperasi yang berdaftar dalam negara. Syarikat koperasi itu menjangkakan untuk memperoleh 85 peratus keahlian dalam kalangan syarikat-syarikat koperasi yang berdaftar di Malaysia. Setakat ini, Angkasa berjaya mencapai 60 peratus keahlian daripada 10,500 syarikat-syarikat koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Angkasa juga diberi tanggungjawab untuk mengutip hutang pinjaman peribadi lebih 300 buah syarikat koperasi yang menjalankan aktiviti kredit. Ketika ditanya mengenai perancangan Angkasa yang akan menubuhkan sebuah bank koperasi seperti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), tambah Abdul Fattah, pihaknya menyasarkan ahlinya, Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (Kopsya) bakal menjadi sebuah bank menjelang 2015. Kopsya merupakan syarikat koperasi yang menawarkan perkhidmatan kredit dan pembiayaan kepada para ahli-ahlinya. "Kopsya setakat ini telah menawarkan skim musyarakah mutanaqisah yang berlandaskan syariah. Jadi, Kopsya mungkin akan berkembang sebagai sebuah bank yang menawarkan perkhidmatan dan kewangan Islam,'' ujarnya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130814/ek_04/Kutip-hutang-pinjaman-peribadi-RM91.2-bilion#ixzz2bvDNrx9e © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: