Memperkasa gerakan koperasi
ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah melalui pelbagai transformasi sejak 2009 yang menyaksikan organisasi itu memberi keutamaan kepada kegiatan pengembangan perniagaan berbanding penganjuran kursus, latihan dan seminar.
Transformasi yang dilakukan itu telah meningkatkan tahap profesionalisme Angkasa sebagai badan puncak yang menaungi lebih 6,000 koperasi ahli di seluruh negara.
Presiden Angkasa, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum (gambar) merupakan tenaga penggerak utama dalam merancang dan menggemblengkan sumber-sumber yang dimiliki organisasi itu dalam menjayakan wawasan menuju kegemilangan.
Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurugambar, TENGKU MUHAMMAD FAKHRUDDIN di pejabat pengurusan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini, Mohd. Ali berkongsi pendekatan yang diambilnya bagi memperkasakan Angkasa yang diterajuinya sejak empat tahun lalu.
UTUSAN: Boleh jelaskan secara ringkas pencapaian Angkasa sejak Datuk dilantik sebagai Presiden sehingga sekarang?
MOHD. ALI: Sejak saya dilantik sebagai Presiden pada 2009 sampai kini, banyak perubahan dilakukan oleh Angkasa sebagai gerakan koperasi. Aktiviti yang dijalankan oleh Angkasa memberi kesan positif kepada gerakan koperasi di negara ini.
Pada 2009, kita telah mengadakan konvensyen bagi membincangkan tentang hala tuju Angkasa yang dihadiri kira-kira 3,000 peserta.
Konvensyen itu membincangkan apa yang perlu dilakukan oleh gerakan koperasi pada masa akan datang. Saya sendiri membentangkan kertas kerja dalam konvensyen tersebut. Hasil daripada konvensyen sehari itu, saya melihat banyak cadangan diutarakan.
Cadangan apakah yang dikemukakan pada konvensyen berkenaan?
Pertama, kita mesti mengubah Undang-undang Kecil Angkasa yang pada masa itu tidak begitu fleksibel dan tidak membenarkan kita mempelbagaikan aktiviti.
Bukan Angkasa tidak boleh bergiat dalam aktiviti lain sebelum itu tetapi terdapat kekangan pada Undang-undang Kecil Angkasa. Pada masa itu, kita lebih fokus kepada aspek penganjuran latihan, kursus dan seminar sahaja. Tiada aktiviti perniagaan.
Susulan konvensyen itu, kita membuat keputusan bahawa Angkasa harus berniaga. Kita harus terlibat dalam perniagaan bagi membantu ahli-ahli kita terdiri daripada 90 peratus koperasi kecil dan sederhana serta hanya 10 peratus koperasi bertaraf kelas A yang mampu berdikari contohnya Koperasi Bank Rakyat, Koperasi Felcra, Koperasi Felda, Koperasi Polis Diraja Malaysia dan Koperasi Tentera.
Apabila kita bantu koperasi-koperasi kecil ini, oleh kerana jumlahnya besar, kesannya juga jadi besar. Kita memutuskan Angkasa perlu melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan dan membimbing koperasi-koperasi ahli dalam bidang perniagaan.
Bagi membolehkan perkara ini dilakukan, kita telah meminda Undang-undang Kecil Angkasa pada mesyuarat agung khas di Pulau Pinang pada 2010. Hasil pindaan itu, Angkasa boleh menceburi apa sahaja jenis perniagaan.
Tidakkah berlaku pertembungan kepentingan dengan koperasi-koperasi ahli setelah Angkasa bergiat dalam perniagaan?
Kita telah meyakinkan koperasi-koperasi ahli bahawa perniagaan yang diceburi Angkasa mesti mempunyai impak tinggi di dalam masyarakat. Perniagaan itu juga tidak mengakibatkan pertembungan dengan kegiatan yang dijalankan koperasi ahli.
Sekiranya Angkasa terpaksa menceburi bidang yang sama, kita akan menaik taraf perniagaan koperasi ahli terbabit.
Dengan kaedah itu, kita membantu koperasi ahli dan bukannya menjadi pesaing mereka. Angkasa juga mesti fokus dan mempunyai perangkaan program yang luas bagi membantu gerakan koperasi dan seterusnya membantu mengembangkan ekonomi negara menerusi peningkatan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Untuk tujuan itu, kita telah mencerakinkan apa yang patut dilakukan. Angkasa berfungsi sebagai badan puncak, dan koperasi-koperasi di bawahnya mempunyai pelbagai fungsi. Ada fungsi kredit, perbankan, kepenggunaan, peruncitan, sekolah dan perumahan.
Jadi, kita harus menguruskan semua fungsi itu namun kita tidak dapat melakukannya sekali gus dalam masa terdekat disebabkan kekangan yang banyak. Oleh itu, saya menggunakan prinsip yang diamalkan dalam pengurusan Islam. Kalau kita tidak boleh buat semua, kita jangan tinggal semua. Mesti buat juga walaupun satu.
Bagaimana Angkasa meletakkan keutamaan bidang perniagaan mana yang ingin diceburi?
Keutamaan kita yang paling tinggi adalah sumber dana. Kita tubuhkan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) tahun lalu bagi membolehkan koperasi-koperasi ahli menyalurkan dana lebihan.
Koperasi juga mendapat dana untuk pembiayaan. Kenapa dinamakan koperasi pembiayaan? Dalam konsep pengurusan Islam, kita tidak boleh menamakannnya koperasi pinjaman kerana tidak patuh syariah. Pembiayaan macam berniaga. Kalau pinjaman bukan berniaga. Bagi pinjam, kalau ambil lebih jadi riba.
Ada dua pendekatan pembiayaan ini. Pertama, koperasi beri kepada kita dan kedua, kita beri kepada koperasi.
Fungsi Kopsya yang ditentukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ada tiga perkara asas iaitu memberi pembiayaan kepada koperasi kredit untuk mendapat dana bagi pinjaman kredit kepada ahli-ahlinya; memberi pembiayaan kepada koperasi khasnya koperasi perumahan untuk memberi pembiayaan perumahan kepada ahli-ahli mereka dengan menggunakan kaedah muamalah musyarakah mutanafisah (MM) dan membiayai pembangunan aset koperasi contohnya tanah. Alhamdulillah, kita telah melakukan semua itu dan sudah berjaya.
Perkembangan sekarang cukup bagus dan Kopsya kini mempunyai lebih 500 koperasi ahli. Kopsya pun sudah memberi pembiayaan kepada banyak koperasi. Mereka juga mula yakin dengan Kopsya.
Sudah tentu banyak cabaran dalam masa setahun Kopsya berkoperasi. Pendekatan apakah yang Datuk gunakan untuk menangani segala cabaran itu?
Kita kaji kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap Kopsya dengan menggunakan analisis SWOT.
Bercakap tentang kekuatan, Angkasa mempunyai lapan juta ahli yang berada di bawah kira-kira 6,000 koperasi ahlinya di seluruh negara. Kita akan mempunyai dana yang besar sekiranya ada kaedah untuk mendapatkannya daripada lapan juta ahli itu.
Kelemahan dan ancaman Kopsya pula ialah kita tidak boleh menerima ahli individu secara terus. Kita hanya boleh menerima ahli melalui koperasi sahaja. Keadaan ini seperti satu kerugian kepada kita.
Terdapat kira-kira 10,300 koperasi di Malaysia dan Kopsya menyasarkan kesemuanya sebagai ahli. Bagi mengatasi kelemahan dan ancaman itu, Kopsya telah merancang beberapa program dan produk.
Kita telah mengemukakan beberapa mekanisme kontrak yang wujud dalam syariah sepenuhnya yang tidak ditawarkan oleh pihak lain.
Mereka menggunakan pembiayaan berasaskan hutang tetapi kita lebih kepada pembiayaan aset atau ekuiti yang berteraskan perkongsian.
Contohnya, katakan sebuah rumah berharga RM200,000. Kalau kita menggunakan konsep pembiayaan berasaskan hutang, pihak bank akan membeli rumah itu dan menjualnya kepada pelanggan pada harga RM350,000.
Berbeza dengan konsep pembiayaan aset atau ekuiti yang diamalkan Kopsya. Kita beli rumah pada harga yang sama dengan pelanggan dan Kopsya membiayai 90 peratus daripada harga rumah.
Baki 10 peratus dibiayai oleh pelanggan. Dalam konsep ini, pelanggan yang juga koperasi ahli Kopsya tidak berhutang dengan kita kerana ia dianggap sebagai pelabur.
Kita juga menggunakan pendekatan berunding untuk memastikan pelanggan menepati jadual pembayaran.
Semakin banyak yang dibayar semula, semakin bertambah pegangan pelanggan dalam aset itu. Pada masa sama, pegangan Kopsya semakin berkurangan. Konsep ini tidak membebankan pelanggan kerana mereka membeli aset pada harga pasaran.
Menyentuh tentang peluang, kita telah melancarkan produk pembiayaan membeli rumah pada 15 Jun lalu.
Produk terbaharu ini membuka peluang untuk menyalurkan lebih banyak dana kepada Kopsya. Kita berharap lebih banyak koperasi menjadi ahli Kopsya supaya mereka boleh menawarkan produk ini kepada ahli-ahli.
Pendekatan yang diambil Kopsya ini menyerupai konsep yang diamalkan Kesatuan Koperasi Pengguna Jepun (JCCU).
JCCU melaksanakan konsep ini menerusi perniagaan pasar raya di seluruh Jepun dengan menawarkan produk pada harga berpatutan kepada pelanggan.
Saya berharap melalui Kopsya, Angkasa juga dapat mewujudkan suasana serupa agar ahli-ahli koperasi yang bernaung di bawahnya dapat menerima manfaat secara langsung.
Produk-produk lain yang ditawarkan Kopsya?
Selain pembiayaan ekuiti, kita juga menawarkan kepada koperasi ahli kemudahan pembiayaan sehingga 10 kali ganda daripada dana mereka. Secara tidak langsung, kaedah pembiayaan ini menggalakkan koperasi berlumba-lumba menambah ahli agar lebih banyak dana dapat dikumpulkan.
Lebih banyak dana koperasi itu, lebih tinggi nilai pembiayaan yang boleh diterimanya.
Kita juga menawarkan produk simpanan tetap Al-Wafi yang menawarkan kadar pulangan kompetitif sebanyak 4.5 peratus setahun kepada ahli-ahli koperasi.
Kita mahu mewujudkan kesetiaan ahli terhadap koperasi melalui kaedah ini dan seterusnya mencetuskan minat mereka untuk menggunakan perkhidmatan Kopsya. Kita berhasrat untuk menjadikan kesemua koperasi sebagai cawangan kepada Kopsya.
Di samping itu, Kopsya telah berbincang dengan sebuah institusi kewangan untuk mengadakan penjenamaan bersama. Ahli-ahli boleh menggunakan kemudahan institusi kewangan terbabit seperti cek, mesin ATM dan perkhidmatan bayaran gaji.
Bagaimana dengan kegiatan perniagaan lain di bawah Angkasa?
Kita turut merancang untuk memperkasakan aktiviti peruncitan. Kita telah memulakan rangkaian perniagaan runcit melalui pengambilalihan kira-kira 2,400 koperasi sekolah dengan menaik taraf daripada penjualan alat tulis sahaja kepada barang runcit.
Kempen sedang dijalankan di seluruh negara. Ada koperasi sekolah yang beroleh hasil jualan antara RM800,000 hingga RM1 juta setahun.
Angkasa juga menggalakkan pembukaan koperasi masjid agar peranan institusi itu sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan dapat dipertingkatkan.
Kita merancang untuk membuka sebuah pusat pengedaran peruncitan sendiri bagi membolehkan produk-produk dijual pada harga berpatutan. Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) juga merancang untuk membuka rangkaian pasar raya di negara-negara ahlinya dan apabila perkara itu berlaku, Angkasa sebagai badan puncak koperasi ini Malaysia akan turut terlibat.
Angkasa telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat untuk memasarkan produk telekomunikasi di seluruh negara. Sebuah lagi syarikat milik Angkasa, MyAngkasa Holdings Sdn. Bhd. telah membuka dua pusat dialisis di Temerloh, Pahang dan Pulau Pinang.
Setiap pelanggan yang datang ke pusat dialisis kami tidak perlu mengeluarkan wang sendiri. Pembiayaan dibuat menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), insurans atau zakat.
Sekiranya tidak berjaya mendapatkan pembiayaan juga, kami akan biayai. Perkhidmatan yang dibuka sejak lima bulan lalu terbuka kepada semua anggota masyarakat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130618/re_01/Memperkasa-gerakan-koperasi#ixzz2bv3mzOC5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Comments