HAPPY MAULIDUR RASUL 1428!

Bismillahir Rahmanir Rahim,
Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad............

Kelahiran nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat, makrifat, mukjizat dan syafaat kepada seluruh alam. Baginda adalah kekasih Allah dan penghulu segala nabi dan rasul. Melalui bagindalah, hari ini kita dapat merasai nikmat iman dan Islam sebagai bekalan menuju hari abadi.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbiyak, ayat 107 yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam", menerangkan betapa Rasulullah adalah manusia paling agung dan dimuliakan oleh segala makhluk yang ada di muka bumi ini sehinggalah ke hari kiamat.

Rasulullah adalah contoh dan model unggul umat Islam. Kredibiliti dan ketrampilan baginda terserlah sebagai seorang bapa yang mulia; suami yang mithali; pemimpin yang adil; dan nabi yang agung. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu".

Seyyed Hossein Nasr menukilkan kata-kata Sa'di dalam bukunya Muhamamd Insan Kamil (2001), bahawa Nabi Muhammad adalah "penghulu kejadian, makhluk termulia, rahmah seluruh alam, tersuci antara manusia, penyempurna edaran zaman, perantara sebenar, yang dibenarkan kata dan perbuatannya, nabi penyayang, pemurah, agung pekertinya, tiada cacat celanya, nabi yang terakhir. Dikau capai puncak keagungan dengan kesempurnaanmu; dikau cahayai kegelapan malam dengan keindahan cahayamu; setiap lakumu mulia; selawat dan salam ke atasmu dan para pengikutmu". (Seyyed Hossein Nasr, 2001. Muhammad Insan Kamil. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 1)

Islam yang dibawa baginda kekal relevan, segar dan memenuhi cita rasa manusia di muka bumi ini, melalui perantaraan kitab suci Al-Quran yang komprehensif, akomodatif dan informatif. Menurut Abdul Halim El-Muhammady (1992), Al-Quran memberi sumbangan dan kesan besar terhadap peradaban manusia. Hasil perubahan ini mampu melahirkan corak tamadun baru yang berjaya mensepadukan tamadun kebendaan dengan kerohanian secara seimbang berteraskan konsep tauhid. (Abdul Halim El-Muhammady, 1992. Al-Quran dan Sunnah Sebagai Sumber Hukum dan Ilmu dlm. Dinamika Dakwah: Suatu Perspektif dari Zaman Awal Islam hingga Kini. Selangor: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., halaman 15)

Melalui Al-Quran yang unik, baginda telah mendedah, mengupas dan menjelaskan persoalan sains (Yaasin: 36), fizik (al-Nur: 35), biologi (al-Mukminun: 12-14), kimia (Yaasin: 80), geografi (al-Hajj: 46), astronomi (al-Dhariyat: 47), sejarah (al-Mu'min: 82), dan matematik (al-Nisa': 11-12) sebagai panduan dan medium kemajuan ummah.

Manakala perspektif undang-undang, sosio ekonomi, pelayaran, pertanian, teknologi dan pelbagai dimensi yang mencakupi seluruh persoalan kehidupan manusia turut menjadi sunnah warisan dan khazanah paling berharga Rasulullah kepada kita.

Pemikir Islam Mustafa Masyhur (2003) berpendapat keseluruhan sunnah Rasulullah adalah bekal yang dapat menghidupkan hati para pengikutnya, membawa mereka kepada darjat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, membekali mereka dengan berbagai kebaikan, menjauhkan mereka dari berbagai keburukan, membangun keperibadian mereka di sisi akidah, ibadah, akhlak, fizikal, pemikiran dan sosial dengan kuat dan sempurna. (Mustafa Masyhur, 2003. Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar, halaman 237)

Menelusuri sirah kehidupan baginda, jelas membuktikan kebolehan, kewibawaan dan kebijaksanaannya sebagai seorang ahli ekonomi, usahawan dan ahli perniagaan yang produktif; penternak yang gigih; ahli politik yang mapan, pentadbir dan pengurus yang kompeten, tokoh pendidik yang cemerlang; ahli sains dan teknokrat yang berwawasan; dan sebagainya.

Produk dan graduan modal insan yang dilatih, dididik dan dicanai baginda telah melahirkan generasi emas umat Islam seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan para sahabat lain. Mereka telah berjaya melakukan transformasi dan reformasi yang hebat sehinggalah Islam mampu memimpin hampir tiga per empat keluasan dunia. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sahabat-sahabat aku seperti bintang-bintang dengan mana seorang dari mereka kamu ikuti, kamu mendapat petunjuk (hidayah)".

Tunas Islam yang tumbuh dan berkembang selepas era tersebut merupakan ikon pewaris, pejuang, reformis dan penyelamat Islam yang sebenar. Generasi Ulul Albab ini telah berjaya merubah iklim jahiliah kepada erti kehidupan yang sebenar. Proses 'pencerahan' ini berjaya diterjemahkan dengan penuh konsisten, dinamik dan holistik membina pembangunan dan ketamadunan umat Islam dulu, kini dan selamanya.

Kini fungsi dan tanggungjawab itu menjadi misi dan visi utama yang perlu dilaksanakan oleh kita semua.

Saban tahun, menjelang 12 Rabiul Awal, negara dan umat Islam di seluruh dunia akan menyambut dan meraikan perayaan Maulidur Rasul. Negara kita memilih tema "Insan Cemerlang, Ummah Terbilang" pada tahun ini menunjukkan komitmen dan usaha kerajaan yang komited menjadikan Rasulullah sebagai model dan idola sebenar umat Islam di negara ini.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan prinsip Islam Hadhari telah dijadikan sandaran kepada potensi modal insan di negara kita. Dengan inspirasi dan aspirasi Maulidur Rasul kali ini, diharapkan dapat melahirkan modal insan yang versatil, madani, serta sedia melakukan anjakan paradigma dan mempunyai weltanschauung yang hebat.

Atas premis tersebut, dengan spirit dan roh Maulidur Rasul, umat Islam perlu bangun dari tidur yang panjang; tingkatkan prestasi ekonomi, politik dan sosial umat Islam; berusaha ke arah penambaikan agenda pendidikan, kesihatan, ketenteraan, sains dan teknologi serta pembangunan negara; dan seterusnya mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan disanjungi.

Salam dan selawat kepada nabi Muhammad s.a.w dan keluarganya. Firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 56 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad; wahai orang yang beriman, berselawatlah serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".

Salam Maulidur Rasul 1428!

Comments

Popular Posts