HALA TUJU GENERASI MUDA PERTAHAN KEMERDEKAAN

Menuntut kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah seperti mana yang seringkali digambarkan memandangkan ianya perlu kepada perjuangan sejati, bermandikan darah dan keringat para pejuang nenek moyang kita sejak zaman berzaman. Namun begitu, mengekalkan kemerdekaan juga amat payah dan mencabar kerana turut memerlukan siri pengorbanan yang berpanjangan dan berterusan. Justeru peranan generasi muda dalam perkara ini begitu penting bagi memastikan nikmat kemerdekaan yang dikecapi dan dinikmati hari berkekalan dan menjadi amanah yang merupakan kewajipan yang perlu dipertahankan.

Tahun ini genaplah 51 tahun negara menyambut ulangtahun kemerdekaan setelah hampir 500 tahun berada di bawah cengkaman penjajah Barat dan Timur. Dalam erti kata lain, penjajahan yang berlaku adalah dalam jangka masa yang panjang dan dalam banyak keadaan, boleh meruntuhkan sesebuah tamadun material dan kemanusiaan yang lama terbina. Sejarah telah membuktikan apabila sesebuah negara atau bangsa yang lama dijajah dan diperbudakkan hanya akan melahirkan generasi modal insan yang lemah, mundur dan tertinggal di belakang sepertimana yang berlaku di sebahagian besar negara Afrika dan sebagainya.

Namun begitu, kita bertuah kerana memiliki generasi nenek moyang yang kental dalam perjuangan dan pengorbanan sejati mereka kepada agama, nusa dan bangsa. Apa yang dilakukan mereka selama ini demi survival anak cucu mereka sememangnya tiada nilai dan tandingannya biarpun dibayar dengan harga segunung emas dan permata kepada jasa serta sumbangan mereka. Mereka telah mempergadai dan memperjudikan segala harta, keringat, air mata, maruah, harga diri dan tenaga mereka melawan penjajah demi memastikan generasi di belakang mereka dapat merasai nikmat kemerdekaan yang tidak dinikmati mereka ketika itu.

Hasilnya hari ini kita dapat hidup dengan bebas dan merdeka serta kembali menjadi tuan di negara sendiri. Kita bebas membangunkan negara dengan cara kita sendiri dan berusaha memperkasakan agenda bangsa dan agama di tanah tumpah darah kita selamanya. Anugerah ini sangat tinggi nilainya dan tidak boleh dipersiakan begitu sahaja atau diambil mudah oleh generasi hari ini. Kemerdekaan yang dinikmati juga membolehkan negara dan rakyat Malaysia kini setanding dengan negara lain sama ada dalam bidang pendidikan, teknologi, politik, ekonomi dan sebagainya sejak kita mencapai kemerdekaan.

Oleh yang demikian, generasi muda hari ini yang merupakan pewaris kepada generasi terdahulu perlulah bersyukur dan berterima kasih dengan segala pengorbanan dan nikmat kemerdekaan yang dinikmati. Mereka mempunyai tugas dan amanah besar untuk meletakkan negara pada landasan yang betul dan menjadikannya dihormati masyarakat dunia lain serta memastikan nikmat keamanan, keadilan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini berterusan. Perlu diingatkan bahawa nikmat kemerdekaan yang sedang dirasai bukanlah bersifat kekal dan negara boleh dijajah semula dalam pelbagai bentuk sama ada secara ekonomi, pemikiran, budaya, hiburan dan sebagainya jika generasi muda yang ada hari ini lemah, leka dan tidak bersedia yang cabaran yang bakal mendatang.

Untuk itu, mereka mestilah membuat dan mempunyai persediaan yang secukupnya dalam menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Ini adalah kerana menurut pemikir dan ulama terkenal Dr. Yusuf Qardhawi generasi muda merupakan perbendaharaan yang sangat berharga dan mereka adalah entiti yang amat penting ketika zaman awal perkembangan Islam sehinggalah ke hari ini. Dalam tulisan beliau yang cukup terkenal beliau menukilkan "Sebaik-baik anugerah daripada manusia ialah zaman muda atau belianya. Ini kerana, zaman belia ialah zaman produktif, zaman membangun dan membina." Generasi muda hari ini juga menjadi tulang belakang dan jentera penting mengangkat syiar Islam ke serata dunia. Oleh itu, mereka tidak boleh lalai dan alpa dengan perkara yang sia-sia kerana terlalu banyak yang perlu dilakukan memandangkan mereka juga adalah aset serta pelaburan jangka panjang utama kepada negara.

Sehubungan itu, generasi muda perlu mendukung cita-cita dan bertanggungjawab merealisasikan cita-cita dan impian agama, negara dan bangsa. Terlalu banyak contoh-contoh di dalam Al-Quran yang menampilkan peranan golongan muda seperti kisah tujuh Pemuda Al-Kahfi yang komited mempertahankan akidah mereka, kehebatan nabi Yusuf a.s yang adil sebagai pemerintah, contoh kebijaksanaan nabi Daud dalam peperangan dan sebagainya. Kewibawaan para sahabat dari kalangan generasi muda nabi Muhammad s.a.w seperti Ali, Usamah, Zaid, Huzaifah, Khalid dan ramai lagi adalah contoh dan model anak muda yang begitu mengagumkan dalam kehidupan mereka sehingga diangkat sebagai generasi al-Quran yang unik.

Menurut Dr. Yusof Al Qaradhawi lagi dalam buku beliau bahawa “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”. Manakala seorang pemikir dan penyair terkenal Islam, Ahmad Syauqi pernah bermadah bahawa “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Comments

Salam Abg Sofee,
Selamat Menyambut Ramadhan.
Salam Ramadhan al Mubarak,

Terima kasih atas ucapan dan terus berpesta ibadah.

Popular Posts