Al-Bai' Bithaman Ajil (BBA) Terbatal dan Tidak Sah?
Berikutan penghakiman kontroversi status Al-Bai' Bithaman Ajil (BBA)oleh Yang Arif Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dalam kes Arab-Malaysian Finance Bhd v. Taman Ihsan Jaya Sdn Bhd & Ors (Koperasi Seri Kota Bukit Cheraka Bhd, third party) [2008] 5 MLJ 631, mahkamah memutuskan:
“ The court accepts that where the bank is the owner or had become the owner under a novation agreement, the sale to the customer is a bona fide sale, and the selling price is as interpreted in Affin Bank Bhd v. Zulkifli bin Abdullah. Thus, where the bank was the owner of the property, by a direct purchase from the vendor or by a novation from its customer, and then sold the property to the customer, the plaintiff’s interpretation of the bank’s selling price is rejected and the court applies the equitable interpretation.
The court holds that where the bank purchased directly from its customer and sold back to the customer with deferred payment at a higher price in total, the sale was not a bona fide sale, but a financing transaction, and the profit portion of such an Al-Bai Bithaman Ajil transaction rendered the facility contrary to the Islamic Banking Act 1983 or the Banking and Financial Institutions Act 1989, as the case may be. “
Satu artikel menarik oleh Puan Nik Mahani Mohamad, seorang akauntan bertauliah dan pakar perbankan Islam serta antara arkitek awal penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menghuraikan secara panjang lebar di dalam majalah Milenia Muslim bulan November 2008 bertajuk PERBANKAN ISLAM MENGHARUNGI CABARAN berkenaan realiti sebenar aplikasi BBA dan hujah beliau juga boleh dilayari di alamat web [http://al-fikrah.net/News/print/sid=265.html].
Berikut adalah teks penuh artikel berkenaan:
Kes mahkamah terbaru mengenai kontrak pembiayaan Bai Bitahamin Ajil (BBA) merupakan asas (1) bagi artikel ini. Dalam kes berkenaan, mahkamah telah membuat penghakiman di luar jangkaan dalam sejarah perbankan Islam di Malaysia – bahawa kontrak di bawah BBA untuk membiayai pembelian rumah adalah terbatal (2).
Sekurang-kurangnya di Malaysia, keputusan itu bermakna kontrak BBA kini menjadi dokumen yang boleh dibatalkan dan bank-bank Islam hanya boleh memungut jumlah pokok pembiayaan yang dibuat di bawah kontrak BBA yang dikeluarkannya. Selain itu, ia juga bermakna, semua keuntungan yang tersirat di dalam kontrak BBA adalah terhapus (3).
Namun begitu, lebih pelik lagi ialah hakikat bahawa berita mengenai penghakiman ini tidak diberi liputan oleh akhbar-akhbar kita. Barangkali dunia perbankan Islam menunggu masa dan berharap mahkamah yang lebih tinggi akan membatalkan penghakiman tersebut. Ini kerana, menurut sumber, rayuan terhadapnya telahpun dibuat.
Justeru, sebelum rayuan itu diputuskan, berita yang amat mengganggu ini ditangguhkan daripada disiarkan. Atau apakah wujud helah untuk menutup isu ini kerana perbankan Islam kini merupakan sebuah industri yang sedang pesat berkembang di seluruh dunia?
Kesan keputusan tersebut ke atas konsep BBA yang lumrah digunakan kini – dan anggap sebagai tonggak kaedah pembiayaan industri perbankan Islam – adalah jauh lebih besar dan luas daripada kesediaan kita menerimanya.
Malah bencana yang dibawanya ke atas kaedah pembiayaan yang banyak digunakan ini adalah subjek kontroversi yang timbul sejak dari mula Bank Islam (M) Bhd mula beroperasi pada 1983 lagi.
Pertama, kaedah pembiayaan ini tidak diiktiraf di bahagian-bahagian dunia lain yang mengamalkan perbankan Islam kerana mereka lebih suka menggunakan kaedah pembiayaan lain, iaitu kaedah ‘Murabahah”- yang diterima dengan meluas sebagai mekanisme ‘tokok kos’.
Kita akan melihat isu ini dari beberapa sudut.
Pertama, sebagai antara peneroka perbankan Islam, saya mahu menjelaskan kefahaman saya sendiri mengapa kami memilih kaedah pembiayaan atau terminologi ini bagi menggantikan kaedah sistem pembiayaan hutang yang diamalkan oleh bank-bank konvensional.
Kemudian saya akan meneliti BBA dari perspektif yang lebih makro, iaitu betapa tidak memadainya kerangka undang-undang yang memayungi dokumentasi BBA dalam batas-batas sebuah ekonomi kapitalis’
Kita juga akan melihat industri perbankan itu sendiri, impaknya ke atas dunia perbankan vis-Ã -vis bank konvensional dan apakah ertinya kepada umat Islam, terutamanya dalam mencari penyelesaian, yang bukan sahaja mematuhi Syariah, tetapi juga merupakan kaedah pelaburan yang praktikal dan sesuai dengan kerangka undang-undang sebuah masyarakat kapitalis yang menjadi persekitaran kita hari ini.
Akhirnya, saya akan mengemukakan cadangan bagi mengatasi bencana yang dihadapi oleh perbankan Islam.
Dalam sistem perbankan Islam, kaedah pembiayaan BBA dianggap sebagai kaedah pembiayaan yang boleh menggantikan ‘kaedah pembiayaan’ berdasarkan ‘pinjaman’ yang diamalkan oleh sistem perbankan konvensional.
Masih jelas pada ingatan saya hujah yang diketengahkan oleh Pengarah Urusan BIMB ketika itu, Dato Abdul Halim Ismail. Beliau memetik ayat 282 Surah Al Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk tempoh yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya…”(Al-Quran: 2:282)
‘Apabila kamu bermuamalah untuk tempoh yang ditentukan’ dengan perkataan lain adalah ‘urus niaga hutang’ atau ‘jualan tertangguh’. Dalam bahasa Arab, frasa ‘urus niaga hutang’ diwakili oleh perkataan ‘dayn’. Justeru, hutang yang terhasil daripada ‘jualan’ yang tertangguh dikenali sebagai ‘dayn’, manakala hutang yang terhasil daripada hutang wang dikenali sebagai ‘qardhun’.
Beliau berpendapat, di dalam ayat inilah terletaknya penyelesaian alternatif bagi mengatasi masalah perbankan Islam kepada kaedah pembiayaan hutang sistem perbankan konvensional.
Seolah-olah ayat al-Quran ini merujuk secara langsung kepada penyelesaian ini, iaitu membenarkan ‘kaedah jualan bayaran tertangguh’ sebagai penyelesaian bagi masalah yang dihadapi!
Ini adalah hujah asas yang dikemukakan oleh dunia perbankan Islam bagi menyokong kaedah pembiayaan BBA sejak BIMB membuka pintunya kepada orang awam pada 13 Mei 1983.
Sistem perbankan Islam beroperasi di atas metodologi sistem ‘kontrak jualan bayaran tertangguh’ bagi menggantikan metodologi pembiayaan hutang sistem berasaskan faedah/riba konvensional.
Kaedah pembiayaan ini bukan sahaja merupakan antara produk utama BIMB, tetapi jiga merupakan batu asas dunia perbankan Islam. Di Malaysia sekurang-kurangnya, ini merupakan kaedah pembiayaan paling popular dan merangkumi 70% (4) daripada jumlah aset pembiayaan industri perbankan Islam.
Pada asasnya, struktur pembiayaan di bawah BBA melibatkan dua jualan yang berbeza.
Jualan pertama ialah antara pemaju atau pemilik aset dengan bank sendiri, sementara jualan kedua pula adalah antara bank dengan pembeli aset tersebut.
Melalui pembelian pertama, aset tersebut dibeli daripada pemaju atau penjual asal pada harga yang dipersetujui bank. Maka aset itu kini menjadi aset bank.
Aset ini kemudiannya dijual terus oleh bank kepada pembeli berdasarkan ‘jualan bayaran tertangguh’ tanpa apa-apa jurang masa antara jualan pertama dengan yang kedua.
Dalam rekod bank, ‘jualan bayaran tertangguh’ yang terhasil daripadanya adalah dikenali sebagai kaedah ‘pembiayaan’ oleh bank-bank Islam atas sebab dan alasan yang hanya diketahui oleh mereka.
Dalam sistem perbankan konvensional, ‘pembiayaan’ berlaku daripada ‘pinjaman’ yang dibuat bagi membeli aset oleh pembeli dan bank kemudiannya mengenakan ‘faedah’ bagi pinjaman yang diambil untuk pembiayaan tersebut.
Walau bagaimanapun, bolehkah kita menjustifikasikan apa-apa bentuk ‘pembiayaan’ yang berlaku dalam tindakan bank membeli aset melalui pembelian pertama hanya untuk menjualnya semula kepada pihak lain atas asas ‘bayaran tertangguh’?
Maksud saya, bagaimanakah aktiviti ‘pembiayaan’ boleh berlaku, sama ada daripada ‘jualan pertama’ oleh pemaju, iaitu antara bank dengan penjual/pemaju atau daripada ‘jualan kedua’ oleh bank kepada pembeli atas asas ‘bayaran tertangguh’?
Saya bersetuju dengan pendapat Yang Arif Hakim dalam kes ini ketika beliau menyimpulkan bahawa dokumen BBA hanyalah kontrak ‘jualan bayaran tertangguh’ antara bank dengan pembeli, bukannya dokumen pembiayaan.
Namun, kenapakah ia diistilahkan sebagai dokumen pembiayaan?
Untuk menjawab soalan ini, pertamanya kita harus bertanya kepada para peguam yang merupakan orang pertama yang merangka dokumen tersebut ketika kami mengemukakan BBA sebagai satu kaedah pembiayaan.
Dari sudut yang lain pula, jika sistem perbankan Islam mengkelaskan semua portfolio ‘pembiayaan’ mereka sebagai ‘kontrak jualan tertangguh’, maka urus niaga perbankan mereka dapat dibezakan daripada pesaing mereka, iaitu bank konvensional.
Maksud saya, jika bank Islam tidak menawarkan atau terlibat dalam apa-apa aktiviti ‘pembiayaan’, maka tentulah mereka sendiri seolah-olah tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti perbankan sama sekali! Ini sudah tentu mempunyai kesan yang besar, iaitu ia membuktikan betapa tidak relevannya dunia perbankan Islam vis-Ã -vis sistem perbankan konvensional.
Lebih jauh lagi, hatta sejak hari pertama tercetusnya idea perbankan Islam, urus niaga perbankan, seperti yang didefinisikan dalam Akta Bank dan Institusi Kewangan 1965 (Banking and Financing Act 1965) atau BAFIA adalah amat kompleks.
Kita tidak harus lupa bahawa BAFIA adalah akta asas yang menjadi sandaran Akta Bank Islam 1983 itu sendiri.
Saya mahu mengemukakan pemerhatian berikut: bahawa institusi perbankan dan kewangan adalah institusi-institusi yang unik, hatta dalam ideologi kapitalis mereka, dan berbeza daripada institusi kapitalis lain yang pernah diwujudkan.
Saya mahu menegaskan bahawa, hatta dalam masyarakat demokratik-kapitalis moden, keunikan institusi perbankan dan kewangannya terletak pada urus niaga perbankannya yang diluluskan atau dibenarkan untuk menggunakan ‘deposit orang lain’ yang diamanahkan kepada mereka untuk manfaat diri mereka sendiri!
Dengan perkataan lain, bank bukan sahaja dibenarkan menggunakan wang pendeposit untuk keperluan perniagaan mereka, iaitu penjelasan baki harian antara bank, tetapi juga dibenarkan memberi ‘pembiayaan’ menggunakan dana pendeposit yang dipegang sebagai amanah oleh mereka!
Ia secara sah boleh menggunakan dana pendeposit lain (dibenarkan oleh Akta ini) bagi memenuhi keperluan perniagaan perbankan mereka sendiri. Ini bermakna, institusi perbankan boleh menjana kredit secara dalaman daripada dana pendeposit dengan mematuhi nisbah tertentu (yang dikenali sebagai Nisbah Kecukupan Modal) yang ditetapkan oleh Bank Pusat masing-masing.
Fenomena ini dikenali sebagai ‘sistem perbankan rizab sebahagian’ di mana hanya peratusan kecil deposit kekal mudah tunai (kini kira-kira 6.75% di Malaysia).
Tertakluk kepada peraturan dan penyeliaan Bank Pusat; baki dana pendeposit bebas digunakan oleh bank untuk memberi ‘kredit’ atau ‘pinjaman’ sehingga ke paras (100/6.75) kali ganda’, iaitu kira-kira 20 kali ganda jumlah deposit sebenar di bank.
Kegiatan ‘penciptaan kredit’ ini merupakan fenomena unik isntitusi istimewa ini. Jika ini sudah merupakan keistimewaan khas yang diberikan kepada bank, maka kita harus ingat bahawa jika institusi ini gagal juga, bank pusat akan menyelamatkan mereka.
Dalam konteks ini, bukankah kita sering diberitahu bahawa deposit kita di bank dijamin oleh kerajaan? Institusi-institusi lain tidak mempunyai keistimewaan ini. Bukankah bank merupakan institusi yang unik?
Sememangnya bank diberikan kebebasan untuk menggunakan dana pendeposit dalam akaun semasa, akaun simpanan dan lain-lain. Biasanya mereka menggunakan dana ini setiap hari bagi menjelaskan kurangan dalam pembayaran cek antara bank.
Pembayaran cek ini bukan sahaja melibatkan bayaran cek pendeposit sebagai pindahan dana antara bank, tetapi sejumlah besar cek adalah kredit yang terhasil daripada pinjaman dan pembiayaan bank.
Jika ini tampak pelik, maka kini kita diberitahu bahawa dana pendeposit diinsuranskan oleh bank dengan bayaran premiumnya dikeluarkan oleh bank sendiri sehingga RM60,000 bagi setiap pendeposit.
Ironinya ialah pendeposit diberitahu melalui iklan bahawa bank amat menghargai mereka dan kerana itu diberi jaminan sekiranya berlaku serbuan-bank, maka jumlah deposit mereka dijamin sehingga sebanyak RM60,000.
Bagaimana jika deposit anda melebihi angka RM60,000? Ini bermakna tidak ada jaminan bagi jumlah selebihnya. Isu ini tidak berakhir di sini. Hakikatnya, bukankah bank itu sendiri merupakan PEMEGANG AMANAH dana pendeposit?
Bagi bank-bank Islam pula, kita tertanya-tanya sekiranya Majlis Penasihat Syariahnya diberi makluman tentang apakah ‘perniagaan perbankan’ itu sendiri. Kita juga tertanya-tanya jika urus niaga bank yang sedemikian bakal diluluskan oleh Syariah sekiranya majlis tersebut diberikan kefahaman yang mendalam tentangnya.
Bagi mereka yang arif mengenai BAFIA, ‘perniagaan perbankan’ tidaklah ditakrifkan dengan jelas oleh akta itu sendiri. Bagi memahami ‘perniagaan perbankan’ kita sebenarnya harus melihat keseluruhan aktiviti yang dilakukan oleh bank, bukan sekadar bergantung kepada takrifnya semata-mata.
Sisi-sisi licik dan penuh helah jelas tergambar bagi mereka yang dapat mengesan implikasi peraturan dan undang-undang yang bertaburan dalam seluruh amalan ‘perniagaan perbankan’, bukan sahaja dalam kaedah pembiayaan pinjamannya, tetapi juga dalam pelbagai ‘kertas-kertas bank’ yang dikeluarkan oleh urus niaga perbankan dan institusi kewangan hari ini.
Kembali kepada perbincangan awal kita tadi; walaupun sekiranya kaedah pembiayaan BBA dikemukakan sebagai bahagian penting daripada fungsi ‘penciptaan kredit’ oleh ‘perniagaan perbankan’ seperti yang digariskan oleh BAFIA itu diubah kepada kontrak ‘jualan bayaran tertangguh’, maka kita masih perlu bertanya sama ada ia mematuhi ketetapan Syariah?
Apakah Majlis Penasihat Syariah dimaklumkan tentang masalah ini, atau jika ia baru dikenal pasti, maka apakah bank-bank Islam bersedia mengemukakannya kepada majlis tersebut untuk diteliti dan diambil kelulusannya?
BAFIA atau akta senamanya, Akta Bank dan Kewangan Islam 1983, adalah kerangka undang-undang yang mesti dipatuhi. Tanpanya, keseluruhan dunia perbankan dan kewangan akan kacau bilau.
Jadi sebelum kita menyelami dunia ‘keadilan’ yang kononnya terkandung dalam BAFIA, adalah lebih baik kita meneliti BBA itu sendiri terlebih dahulu.
Jelas bahawa langkah menempatkan urus niaga perbankan Islam yang mematuhi Syariah dalam kerangka perundangan kapitalis merupakan satu bencana yang nyata.
Seperti yang disebut oleh Yang Arif Hakim dalam kes dokumentasi BBA di atas, ‘perjanjian jualan’ tidak boleh menjadi ‘perjanjian pembiayaan’. Tindakan mengahwinkan ‘pinjaman’ dengan ;perjanjian pembiayaan’ mungkin dibenarkan di bawah BAFIA, tetapi untuk menyatukan ‘perjanjian jualan’ dengan ‘perjanjian pembiayaan’ adalah tidak mungkin sama sekali.
Walaupun BAFIA menerima, membenarkan dan mengesahkan faedah/riba dalam perjanjian pembiayaan, namun ia tidak meliputi ‘untung’ yang tertanam dalam ‘perjanjian jualan’ ke dalam kerangka ‘perjanjian pembiayaan’ yang sama, walaupun jika Akta Bank Islam 1983, yang dimodelkan menurut BAFIA, digunakan kerana ia hanya menyerupai kaedah ‘pembiayaan Islam’ yang sama seperti pesaingnya.
Ini kerana ‘perjanjian jualan’, sama ada secara tunai atau bayaran tertangguh, adalah sebuah kontrak yang sempurna dan berdiri sendiri. Saya percaya bahawa Yang Arif Hakim adalah tepat dalam penghakiman dan kesimpulannya itu.
Justeru, dokumentasi BBA yang digunakan kini mestilah diperbaharui dari segi keseluruhan dokumentasinya. Akan tetapi, sebelum berbuat demikian, adalah wajar kita melihat kembali Akta Bank Islam 1983 itu sendiri.
Adalah jelas bahawa mencontohi BAFIA dan memperbaharui Akta Bank Islam 1983 menurut jalur perjanjian ‘jualan tertangguh’ mempunyai pelbagai implikasi undang-undang dan pematuhan Syariah. Selain itu, ia juga bakal melibatkan takrif ‘perniagaan perbankan’ itu sendiri.
Malah adalah wajar dunia perbankan Islam memperbaharui keseluruhan ‘perniagaan perbankan’ mereka dari sudut dimensi praktisnya, dan lebih-lebih lagi aspek pematuhan Syariahnya.
Peniagaan perbankan yang menggunakan peraturan fekah Syariah dianggap sebagai esoterik, bid’ah atau rekaan zaman moden. Ulama kini bebas untuk menggunakan ijmak ulama atau ijtihad bagi membenarkan idea inovatif itu kerana ia sememangnya dibenarkan oleh Syariah.
Malah, ijtihad di kalangan ulama kita telah membenarkan penubuhan institusi perbankan Islam hari ini.
Namun begitu, saya percaya bahawa para ulama negara ini (kalaupun tidak seluruh dunia) telah tidak dimaklumkan sepenuhnya mengenai ‘perniagaan perbankan’ atau institusi licik ini yang telah memperdaya pengamalnya sejak sekian lama. Dengan menjadikannya sedemikian rumit, licik dan kabur ia juga telah berjaya memperdaya sebegitu ramai orang sehingga tidak ramai yang berani bersuara terhadapnya.
Sesungguhnya berdasarkan pengalaman saya berhubung dengan para ulama kita, saya percaya dan yakin bahawa kebanyakan mereka adalah golongan yang terpelajar dan bijak.
Namun mereka dan juga kita, sebagai pengamal perbankan, telah terpedaya oleh ‘perniagaan perbankan’ yang sedemikian licik. Ironinya, di sebalik imej Malaysia sebagai sebuah negara yang subur pengajian Islamnya, namun, begitu sedikit ulama atau intelektual kita yang berupaya membawa umat mengatasi masalah yang dihadapi mereka.
Pengakuan jujur seorang alim kepada saya – ‘kami para ulama hari ini telah meninggalkan bidang muamalah dalam Syariah selama beberapa ratus tahun. Kami seolah-olah berada dalam hutan tebal sehingga kami sendiri tidak tahu arah keluarnya, apatah lagi memberi pedoman kepada orang lain’ – jelas menggambarkan bencana yang dihadapi oleh umat Islam hari ini.
Kita boleh merumuskan bahawa sebarang usaha untuk melakukan kompromi ke atas tuntutan Syariah dalam bidang ini tidak akan membuahkan penawar yang positif kepada dunia yang kacau kini.
Umat Islam perlu diingatkan bahawa sebagai agama, kesempurnaan Islam hanya boleh dicapai melalui pematuhan dan penerimaan keseluruhan prinsip yang didokong oleh undang-undang Islam, iaitu Syariah dan usul fiqh dalam bidang muamalah.
Prinsip usul fiqh memerlukan orang yang benar-benar memahami perundangan Islam. Islam adalah agama amalan, bukan teori. Amal Madinah, yang mewakili prinsip-prinsip Islam yang diamalkan pada zaman Nabi SAW mestilah diteladani sebaik mungkin.
Sebagai langkah awal, ‘Mata wang Syariah’ mestilah sesuatu yang mengandungi nilai intrinsik, bukannya sekadar mata wang kertas yang wujud kini.
Al-Quran telah memberi amaran keras kepada umat Islam tentang kegagalan umat kini menjadi hamba Allah SWT yang patuh, iaitu jika mereka enggan mematuhi perintah-Nya melarang aktiviti riba. Jika itu berlaku, maka Allah SWT akan mengiytiharkan PERANG terhadap mereka.
--------------------------------------------------------------------------------
(1) Malaysian Reserve, 11 September 2008. Dunia perbankan Islam berkemungkinan dilanda bencana ekoran keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini bahawa aplikasi kaedah Bai Bithaman Ajil (BBA), yang banyak digunakan dalam kontrak pembiayaan pembelian rumah Islam, adalah bertentangan dengan Akta Bank Islam 1983.
(2) Oleh sebab mahkamah memutuskan kontrak ini batal dan tidak sah, maka Seksyen 66 Akta Kontrak adalah terpakai”, kata peguam. Seksyen 66 akta tersebut menetapkan ‘apabila sesebuah perjanjian didapati tidak sah atau apabila sesebuah kontrak batal, maka mana-mana individu yang mendapat manfaat daripada perjanjian atau kontrak itu hendaklah mengembalikannya atau membuat ganti rugi terhadapnya kepada individu yang daripadanya ia diambil.
(3) Intipati penghakiman bertulis Yang Arif Hakim Datuk Abdul Wahab Patail ialah; oleh sebab sesetengah kontrak BBA adalah silap dari segi strukturnya, maka peminjam mungkir tidak perlu membayar lebih daripada jumlah pembiayaan pokok yang mereka terima, sekali gus membatalkan untung yang seharusnya diperoleh oleh bank daripada urus niaga itu. Bank-bank juga khuatir jika penghakiman tersebut turut bermakna pelanggan pembiayaan BBA semasa hanya perlu membayar amaun fasiliti yang diterima, sekali gus terlepas daripada membayar bahagian untungnya.
(4) Pakar industri menganggarkan hampir 70% pembiayaan Islam diberikan di bawah konsep BBA, yang pada asasnya merupakan jualan dengan bayaran tertangguh (jualan barangan berdasarkan bayaran tertangguh) pada harga jualan yang dipersetujui.
Comments