Data peribadi pengguna dilindungi

Data peribadi pengguna komersial dilindungi

Oleh Sariha Mohd Ali, Faiza Zainudin dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my

Rang undang-undang dibentang jaga kepentingan individu

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 yang bakal melindungi kepentingan pelanggan dan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terbabit dalam transaksi komersial oleh pengguna, dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama, semalam.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Anak Gandum, membentangkan akta itu yang mengandungi 11 bahagian dan 146 fasal.

Antara lain, penggubalan akta itu bertujuan melindungi kepentingan individu berikutan teknologi baru dan aliran pasaran yang kian berubah, menyebabkan peranan maklumat semakin penting dalam ekonomi pasaran global.

Maklumat itu khususnya berkaitan data peribadi individu yang terbabit dalam transaksi komersial menjadi komoditi yang bernilai dan keadaan ini mewujudkan tekanan semakin meningkat untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi.

Seorang Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi akan dilantik untuk melaksanakan akta ini, selain menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Perlindungan Data Peribadi yang menasihati Pesuruhjaya berhubung perlindungan data peribadi berkenaan, manakala kewujudan Tribunal Rayuan pula bagi memberi ruang untuk merayu terhadap keputusan Pesuruhjaya.

Menurut rang undang-undang itu, data peribadi individu tidak boleh diproses tanpa kebenarannya, selain pemproses data perlu melindungi data peribadi berkenaan daripada hilang, disalahgunakan, diubah suai atau diakses pihak yang tidak mendapat kebenaran.

Pemilik data peribadi juga diberi akses membetulkan data peribadinya supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan pengguna data tidak boleh memindahkan data peribadi keluar Malaysia kecuali dibenarkan Menteri atas syor Pesuruhjaya.

Selain itu, saksi atau pemberi maklumat bagi prosiding sivil dan jenayah mengikut akta ini juga dilindungi kecuali jika maklumat atau aduan yang diberikannya itu adalah palsu sehingga gagal untuk pengadilan dilaksanakan sepenuhnya jika tanpa kehadirannya.

Rang undang-undang itu turut menetapkan, pengguna data yang dibenar mengakses data peribadi itu perlu mendaftar dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh rang undang-undang itu dikuatkuasakan.

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20091120004819/Article/index_html

Comments

Popular Posts