JAUHI SKIM PELABURAN MATA WANG HARAM
Sifat rakus, tamak dan sukakan kepada wang serta keuntungan segera tanpa memikirkan soal halal atau haram dari segi hukum agama dan peruntukan undang-undang sedia adalah menjadi lumrah kepada segelintir manusia. Golongan ini akan mudah terpedaya, dipergunakan dan akan membuat apa sahaja agar dapat memiliki sejumlah wang atau pulangan keuntungan sesuatu pelaburan yang tinggi dengan begitu cepat tanpa perlu bersusah payah atau berusaha mendapatnya.
Walaupun saban waktu didedahkan dengan berita dan cerita mengenai skim pelaburan palsu atau taktik penipuan secara terancang ini di media cetak dan elektronik, namun malangnya masih ada yang berdegil dan lupa diri apabila dijanjikan dengan wang, imbuhan atau pulangan segera oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan ke atas mereka. Kadangkala jika digunakan akal yang waras dan pertimbangan yang rasional maka segala tawaran dan janji manis kekayaan segera tersebut sememangnya tidak masuk akal dan tidak dapat diterima sama sekali.
Justeru itu, melihat kepada perkembangan yang tidak sihat dan membimbangkan ini maka pihak Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah bertindak memberi amaran dan peringatan kepada orang ramai agar tidak mudah tertipu, keliru serta alpa dengan lambakan skim pelaburan haram perdagangan mata wang asing yang kini kian menjadi trend dan giat ditawarkan oleh beberapa syarikat tempatan, individu atau institusi asing menerusi medium media bercetak, elektronik, emel, sms dan hatta sepanduk yang digantung di jalan atau laluan utama bagi menarik perhatian orang ramai.
Dilaporkan bahawa modus operandi mereka sangat profesional, teratur dan licik sekali dengan menawarkan pelbagai bentuk sesi latihan, seminar dan bengkel pelaburan secara percuma untuk menarik minat orang ramai menghadirinya dan ada yang diadakan di hotel-hotel mewah serta tempat yang eksklusif, sebelum menjemput mereka membuka satu akaun skim dagangan mata wang asing secara dalam talian dengan sebuah syarikat utama yang didakwa mempunyai lesen yang sah untuk berdagang mata wang asing di seberang laut.
Kebiasaannya, orang ramai biasanya akan mudah tertarik atau terpesona untuk menghadiri sesuatu program pelaburan atau latihan yang menjanjikan pulangan wang segera dan besar berbanding kaedah pelaburan atau perniagaan biasa. Bagi mengaburi mata pelabur dan menyakinkan mereka, turut disediakan kemudahan untuk pelabur mengakses laman web syarikat bagi memantau perkembangan program yang ditawarkan dan dimasuki. Skim itu juga mengkehendaki pelabur-pelabur mendeposit sejumlah wang ke dalam akaun untuk memulakan pelaburan tersebut dan diminta menambahnya pada masa tertentu bagi mengelakkan kehilangan modal dalam pelaburan mereka.
Bagi mereka yang tidak berpengalaman, gelojoh dan tidak mendapat nasihat pakar atau daripada orang lain akan mudah terpedaya apabila menghadiri program yang dianjurkan mereka di mana setelah dipujuk rayu bertindak membuka akaun dengan mereka. Keadaan menjadi lebih parah apabila ada yang sanggup berhutang dan meminjam wang daripada orang lain semata-mata untuk melabur di dalam skim palsu ini yang menjadikan mereka terperangkap di dalam permainan, helah serta penipuan sindiket berkenaan. Malangnya, sindiket tersebut juga turut mempergunakan graduan lepasan universiti dengan merekrut mereka sebagai eksekutif pemasaran dan menggalakkan ahli keluarga dan sahabat handai mereka menyertai skim dagangan mata wang asing tersebut.
Perlu ditegaskan bahawa di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA), adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membeli atau menjual mata wang asing atau terbabit dalam sebarang perbuatan atau mempunyai kaitan atau membuat persediaan di dalam membeli atau menjual mata wang asing dengan sebarang orang atau selain daripada peniaga yang dibenarkan. Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak menyertai mana-mana pelaburan haram atau program latihan dagangan mata wang asing yang ditawarkan individu atau syarikat.
RUJUKAN
Elak sertai skim mata wang haram, Utusan Malaysia, 5 Januari 2010
Elak skim dagang mata wang asing, Berita Harian, 5 Januari 2010
Comments