Perkhidmatan Pos dan Cabaran Internet di Malaysia



















Sejarah menukilkan kewujudan Pos Malaysia bermula seawal tahun 1800an lagi dengan tertubuhnya institusi perkhidmatan pos yang pertama di Negeri-Negeri Selat iaitu di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Selanjutnya menjelang awal kurun ke-20, barulah perkhidmatan pos meluas ke seluruh negeri-negeri Tanah Melayu lain dan menjadi antara yang terbaik di rantau ini.

Di samping berperanan di dalam sektor perkhidmatan pos negara terutamanya penjualan setem dan surat menyurat, agensi yang suatu ketika dahulu cukup dikenali sebagai Pejabat Pos turut menjadi bank mini kepada masyarakat kerana turut menyediakan penghantaran bungkusan, pendaftaran, insurans, urusniaga wang termasuklah wang pos dan kiriman wang serta pelaburan dana melalui Simpanan Bank Pejabat Pos.

Malahan perkhidmatan tambahan seperti mengutip bayaran bil utiliti, pembaharuan lesen, pembelian borang universiti, bayaran pencen dan sebagainya turut disediakan sebelum ini bagi memudahkan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan tersebut di kawasan berhampiran kediaman mereka tanpa perlu ke bandar. Ini menjadikan Pejabat Pos ketika itu begitu penting dan merupakan institusi yang begitu dekat dengan masyarakat.

Namun dalam menentukan hala tuju masa depannya, Pos Malaysia kini berhadapan dengan realiti global di mana pengiriman surat menyurat secara tradisional dilihat semakin berkurangan dan masalah ini turut terjadi di seluruh dunia akibat daripada kemajuan internet di mana tahap celik IT yang tinggi dan peningkatan keupayaan rakyat menggunakan medium internet untuk berkomunikasi dan berinteraksi secara elektronik.

Inovasi mel elektronik (emel) dan komunikasi lain melalui internet dan pelbagai kemudahan teknologi seperti sistem pesanan ringkas (sms) yang cepat serta murah menjadikan minat dan kegemaran orang ramai menghantar surat secara biasa semakin menurun kerana faktor masa serta kos dan menjadi cabaran utama yang perlu dihadapi Pos Malaysia pada masa hadapan di samping persaingan sengit di antara pengendali perkhidmatan pos sedia ada lain.

Sebagai perbandingan di United Kingdom (UK) di mana berlakunya penurunan pengiriman surat secara biasa ke satu tahap yang serius dan Royal Mail sebagai agensi utama perkhidmatan surat di sana mencatatkan penurunan pengendalian dan pengiriman surat melalui pos secara mendadak sebanyak 7.0 peratus setahun atau 3.5 bilion kiriman pada tahun 2009 berbanding tahun 2005 dan 2006, dan menjangkakan penurunan itu akan berterusan.

Sehubungan itu, melihat kepada realiti global ini dalam perkhidmatan pos maka satu kajian mendalam perlu dilakukan segera bagi mencari jalan dan alternatif kepada masalah ini. Pos Malaysia juga perlu memastikan perkhidmatan pos lebih efisien, cepat dan selamat sampai ke destinasi bagi memastikan Pos Malaysia kekal menjadi pemain utama industri pos negara.

Malahan galakan semula kepada budaya menulis surat, poskad, kad ucapan dan kad hari raya secara biasa dan dihantar secara pos perlu dipertingkat dan diperluaskan lagi seperti menganjurkan peraduan, pertandingan dan sebagainya. Di samping itu, semua pihak perlu mencari jalan ke arah menghidupkan kembali minat mengumpul setem kenangan dan sampul surat hari pertama di kalangan generasi muda yang kini semakin dilupakan.

RUJUKAN

Internet cabaran Pos Malaysia, Mingguan Malaysia, 14 Februari 2010

Laman web Pos Malaysia: http://www.pos.com.my/websitebm/main2.asp?C=/WebsiteBM/AboutUs/PMB/History.htm

Comments

Popular Posts