Pertahankan Semangat dan Penghayatan Rukun Negara


Rukun Negara adalah falsafah asas kenegaraan dan ideologi kebangsaan yang amat efektif dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun serta beragama di negara ini. Seperti Pancasila di Indonesia dan ‘Declaration of Independence’ di Amerika Syarikat, Rukun Negara juga merupakan intipati prinsip kenegaraan yang terpenting dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang merangkumi kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

Rukun Negara diwujudkan selepas kejadian yang menjadi detik hitam kepada sejarah negara iaitu Tragedi Berdarah 13 Mei 1969. Peristiswa tersebut menjadi titik tolak kepada kelahiran Rukun Negara yang direalisasikan setahun selepas kejadian tersebut. Pihak yang bertanggungjawab merangka Rukun Negara ialah Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak yang selepas itu diangkat sebagai Perdana Menteri Kedua Malaysia, di mana dengan adanya Rukun Negara, masyarakat yang sedang berpecah-belah ketika itu ekoran perselisihan kaum mampu bersatu-padu dan membina semula negara sehingga ke tahap hari ini.

Rukun Negara yang diisytihar pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-13 mengandungi pelbagai prinsip hidup bermasyarakat seperti nilai kenegaraan yang bertamadun, perundangan yang luhur dan nilai serta norma sosial yang berwibawa. Latar belakang sejarah Rukun Negara penting kerana ia memberikan segala penghuraian dan perincian lengkap mengenai aspek-aspek yang berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, kedudukan istimewa serta hak orang-orang Melayu dan lain-lain keistimewaan penduduk pribumi Sabah dan Sarawak tanpa menafikan hak masyarakat lain.

Rukun Negara sebagai piagam lengkap juga mencakupi aspek budaya, ekonomi, politik dan peradaban selaras dengan platform Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang cemerlang dalam semua aspek yang diiktiraf dunia pencapaian tetapi dengan acuan tersendiri berasaskan kepada posisi rakyat negara ini yang berbilang kaum, budaya, kepercayaan dan sebagainya. Kepelbagaian dan kemajmukan yang terbina secara semula jadi ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik, dihormati dan cukup istimewa berbanding negara-negara lain.

Oleh itu, perlulah wujud tahap akhlak dan moral yang tinggi, menghormati hak orang lain tanpa mempertikainya dan menghindari daripada membangkitkan persoalan-persoalan yang sensitif kepada sesuatu kaum seperti hal-hal yang berkaitan dengan ketaatan seseorang rakyat atas dasar asal keturunan kaumnya, bahasa, kebudayaan serta agama dan kepercayaan mereka. Perkara ini jika tidak ditangani dengan baik boleh mendatangkan musibah yang besar kepada masyarakat di negara ini serta boleh mencacatkan semangat perpaduan kaum yang sudah sekian lama terjalin dan berkembang positif sejak peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Namun begitu, biarpun rakyat di negara ini sememangnya mengetahui dan menerima konsep Rukun Negara, namun menurut kajian yang telah dilakukan menunjukkan golongan generasi baru sekarang yang berada dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun didapati masih kurang menghayati erti sebenar falsafah negara ini iaitu Rukun Negara itu sendiri biarpun segala usaha telah dilaksanakan. Oleh itu, bagi memastikan generasi peneraju negara ini tidak tercicir serta tersasar dalam memahami serta menghayati Rukun Negara sewaajrnya, maka lima prinsip utama yang terkandung di dalamnya perlu terus diperjelas dan diperincikan secara konsisten bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami intipati dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka.

Generasi muda yang tidak pernah merasa pengalaman ngeri peristiwa perselisihan kaum yang cukup dahsyat di negara ini, bahkan mungkin tidak pernah melihat atau merasai kesusahan dan keperitan pemimpin-pemimpin terdahulu membina semula struktur serta perpaduan antara masyarakat ekoran tercetusnya episod hitam tersebut, maka hendaklah ditingkatkan tahap penghayatan serta pemahaman mereka secara holistik terhadap erti sebenar Rukun Negara yang dilihat semakin berkarat dan terhakis dalam kalangan rakyat hari ini di mana penghayatan Rukun Negara secara tuntas harus dijadikan elemen integral yang perlu difahami objektif serta tuntutannya oleh setiap ahli masyarakat secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, kempen mempromosikan semula Rukun Negara secara drastik melalui medium bercetak serta elektronik serta media baru seperti facebook, twitter yang menjadi kegilaan anak muda ketika ini dan sebagainya wajar diperbagaikan lagi sama ada berbentuk hiburan yang berfaedah, sistem pelajaran yang berkesan, dokumentari, seminar dan ceramah yang mantap oleh semua pihak yang boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat. Bagi pelajar sekolah dan universiti pula misalnya, bolehlah dirangka pelbagai program dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk mengadakan kuiz, perdebatan serta peraduan berkaitan Rukun Negara, persembahan muzikal, pertandingan pidato dan sebagainya.

Kadangkala Rukun Negara yang sudahpun berusia 40 tahun dirangka dilihat satu-satunya falsafah kenegaraan yang masih kekal utuh, tetapi apa yang peliknya ialah masih tidak mendapat tempat yang sewajarnya seperti yang diasaskan awalnya pada tahun 1970. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana aspirasi Rukun Negara boleh dijadikan kunci hikmat dalam mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat dan menjadi landasan terbaik kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini bersatu padu, saling hormat menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain kerana terangkum di dalamnya ideologi nasional yang sangat kompresensif bagi memastikan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara berkekalan.

RUJUKAN

Tingkat penghayatan Rukun Negara, Harian Metro, 22 September 2010
Rukun Negara kunci keharmonian, Utusan Malaysia, 22 September 2010
Kempen perkasakan Rukun Negara dilancar Oktober, Utusan Malaysia, 21 September 2010
Rukun Negara akan diperjelas untuk lebih difahami: Rais, Berita Harian Online, 20 September 2010
Amalkan prinsip Rukun Negara, Utusan Malaysia, 1 September 2010

Comments

Popular Posts