Tiga program bantu kurangkan bilangan banduan
Tiga program bantu kurangkan bilangan banduan
BENTONG 11 Nov. - Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan tiga inisiatif utama iaitu program pemasyarakatan banduan, perintah kehadiran wajib dan rumah perantaraan sebagai sebahagian daripada usaha mencapai matlamat salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain mengurangkan kadar jenayah dan bilangan banduan, program itu dijangka dapat membantu bekas banduan memulakan kehidupan baru selepas dibebaskan kelak.
Jelas beliau, menerusi program pemasyarakatan banduan yang akan dilaksanakan mulai April tahun depan, setiap banduan yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan melalui aktiviti pemulihan di luar tembok penjara.
Menurut beliau, pada peringkat permulaan, setiap banduan akan bekerja dan ditempatkan di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan dikawal selia oleh kakitangan Jabatan Penjara.
"Setakat ini seramai 430 kakitangan Jabatan Penjara telah dipilih dan mengikuti kursus kawalan dan pengiringan banduan ke tempat bekerja.
"Setakat ini, lima kem ATM akan terlibat dengan program ini iaitu Kem Tok Jalai di Alor Setar, Kedah; Kem Mahkota Kluang, Johor; Kem Batu 10, Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang; Kem Desa Pahlawan, Kelantan dan Kem Syed Sirajuddin, Gemas di Johor," katanya selepas majlis perasmian Kompleks Penjara Bentong oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut hadir, Sultanah Pahang, Sultanah Khalsom, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan Ketua Penjara Malaysia, Datuk Wira Zulkifli Omar.
Tambah Hishammuddin, bidang pekerjaan banduan di kem-kem ATM itu adalah melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan kebersihan kawasan dan bangunan, landskap serta pembaikan kecil.
Katanya, bagi kem Syed Sirajuddin Gemas, terdapat pengkhususan bagi bidang pertanian dan perikanan yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian serta Jabatan Perikanan.
"Semua banduan layak menyertai program ini kecuali banduan yang terbabit hukuman mati, hukuman sepanjang hayat, tahanan limpah Sultan, kesalahan seksual, tahanan reman, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pesalah Juvana, Ordinan Darurat, Langkah-langkah Pencegahan Khas Dadah, banduan yang sedang dibicarakan dan banduan yang dikurung kerana tiada penjamin," katanya.
Dalam pada itu, bagi perintah tahanan wajib pula, Hishammuddin berkata, ia merupakan alternatif kepada pemenjaraan yang dilaksanakan melalui Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pelasah 1954.
Katanya, menerusi akta ini, mahkamah boleh menggantikan hukuman pemenjaraan bagi kesalahan-kesalahan ringan dengan mengeluarkan satu perintah kepada pesalah untuk menghadirkan diri di Pusat Kehadiran Wajib tidak melebihi tiga bulan dan menjalankan kerja-kerja wajib tidak melebihi empat jam sehari.
"Konsep pemulihan ini adalah menjurus kepada perubahan akhlak pesalah melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dalam komuniti. Pada peringkat awal, pelaksanaan kerja-kerja wajib akan dilaksanakan di Rumah Orang Tua dan Kanak-Kanak Kurang Upaya dengan harapan akan menimbulkan kesedaran sekali gus memberi impak yang positif kepada pemulihan akhlak pesalah," katanya.
Bagi program Rumah Perantaraan pula, Hishammuddin memberitahu, ia adalah sebuah premis yang akan menempatkan banduan bebas yang tiada tempat tinggal dan pekerjaan termasuk Orang DiParol (ODP) yang tidak mempunyai keluarga.
Katanya, rumah perantaraan itu beroperasi dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan merupakan institusi yang bukan berorientasikan keuntungan, kemasukan bersyarat dan menyediakan program intervensi mengikut keperluan.
"Melalui program ini, banduan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan dalam masa tiga bulan di samping khidmat sokongan kaunseling secara berterusan," katanya.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm
Jabatan penjara rangka program pemulihan lebih efektif
30/12/2010 2:23pm
PUTRAJAYA, 30 Dis. - Jabatan Penjara Malaysia telah merangka strategi yang sesuai dan berkesan mengikut keperluan semasa dalam melaksanakan program pemulihan terhadap setiap penghuni penjara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, modul pemulihan yang lebih fokus mengikut kategori penghuni, sama ada kes kemasukan mahupun peringkat umur, diwujudkan bagi memastikan program tersebut dilaksanakan dengan lebih efektif.
"Langkah itu juga bagi memastikan mereka mendapat kemahiran sewajarnya ketika menjalani pemulihan, bidang-bidang kemahiran yang boleh diberikan kepada mereka diperluaskan,” katanya pada perhimpunan bulanan kementerian, di sini hari ini.
Katanya, bagi mengurangkan kadar residivis, beberapa program pemulihan telah dibangunkan sebagai persediaan kepada mereka daripada segi fizikal dan mental bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran apabila kembali ke dunia luar dan menjadi warganegara yang produktif.
"Pelaksanaan inisiatif program Rumah Perantaraan, program pemasyarakatan banduan dan pusat kehadiran wajib telah diwujudkan baru-baru ini untuk memastikan keberkesanan program pemulihan dan pengurangan pesalah berulang,” katanya. - Bernama
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_12.htm
Comments