Kewangan Islam bangunkan negara


Azizan Abdul Razak menyampaikan Anugerah Penaung Tetap LIFE dan Anugerah Insaniah-IRTI LIFE 2010 kepada Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi, semalam (BERNAMA)


Kewangan Islam bangunkan negara

Utusan Malaysia, 16 Disember, 2010

LANGKAWI 15 Dis. - Pelaksanaan kewangan dan perbankan Islam perlu dilihat oleh negara-negara Islam sebagai peluang bagi mereka untuk membangunkan negara mereka masing- masing, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, negara-negara Islam tidak mempunyai alasan untuk tidak berkembang kerana mereka boleh meminjam daripada bank Islam untuk membangunkan negara mereka dan menjadi makmur.

"Kita sekarang mempunyai produk yang dihasilkan oleh sistem perbankan Islam. Sebelum ini mereka tidak mahu meminjam daripada bank konvensional. Ini adalah produk yang berlandaskan syariah," kata beliau dalam ucaptamanya di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Langkawi Kedua (2LIFE) yang berakhir di sini, hari ini.

Dr. Mahathir berkata, dana-dana ada tersedia dan dengan akses, perniagaan di negara-negara Islam dan di kalangan orang Islam sepatutnya berterusan.

"Kita boleh mempunyai syarikat- syarikat konglomerat yang hebat," katanya.

Lebih besar syarikat, lebih banyak cukai boleh dibayar kepada kerajaan dan kerajaan akan menghulur balik kepada rakyat, kata beliau.

"Apabila kerajaan membangunkan negara seperti menerusi prasarana, wang sebahagian besarnya balik semula kepada kerajaan. Menerusi prasarana, kita boleh mendapat lebih banyak aktiviti pembangunan dan rakyat akan mempunyai pendapatan lebih baik dan syarikat akan bertambah baik. Langkah kerajaan membelanjakan wang akan memberi faedah kepada kerajaan juga," kata beliau.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, orang Islam perlu juga memahami perbankan Islam dan mengetahui bagaimana untuk menguruskan dana agar mereka boleh mendapat keuntungan dan dana-dana ini sentiasa ada bagi pinjaman.

Bekas Perdana Menteri itu juga menasihatkan agar tidak cenderung kepada pelaburan dalam dana lindung nilai.

"Jangan berurusan dalam kekayaan khayalan," kata beliau.

Beliau berkata, sekiranya perbankan dan kewangan Islam digunakan sepenuhnya, negara-negara Islam juga boleh satu hari nanti menjadi sebuah negara maju.

Dr. Mahathir berkata, negara-negara Eropah menjadi maju apabila mereka beralih daripada menjadi pemberi pinjaman wang kepada membangunkan sistem perbankan sebagai cara untuk mencipta kekayaan.

"Sekarang anda ada bank-bank (Islam) yang boleh digunakan sebagai sumber dana. Kita perlu tahu bagaimana untuk menggunakan dana untuk memberi faedah kepada orang Islam," katanya.

Beliau berkata, pakar-pakar dalam sistem perbankan Islam telah menghasilkan banyak produk untuk bersaing dengan produk konvensional dan ia juga menjadi popular di kalangan bukan Islam.

Dr. Mahathir juga hari ini dianugerahkan Penaung Tetap LIFE dan menerima Anugerah Insaniah-IRTI (Institut Latihan dan Penyelidikan Islam) LIFE 2010 pertama.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Persidangan tiga hari itu dihadiri lebih 200 ilmuan dan profesional Islam dalam kewangan dan ekonomi. Ia dianjurkan oleh Kolej Universiti Insaniah, Kerajaan Negeri Kedah dan IRTI, yang merupakan unit di bawah Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah. - BERNAMA

Comments

Popular Posts