Jadikan Interlok model buku teks Sejarah, kata pakar


Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Novel kontroversial Interlok sepatutnya dijadikan “model” buku teks sejarah kerana ia bersifat “inklusif” untuk menggambarkan masa silam orang bukan Melayu, kata seorang pakar sejarah.

Profesor Anthony Milner dari Jabatan Kajian Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bantahan terhadap novel Melayu itu kerana merasakan penulisnya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain cuba membawa idea hubungan antara masyarakat Melayu dan komuniti Cina dan India.

“Saya berpeluang membaca Interlok versi Bahasa Inggeris, jadi saya tidak tahu jika dari pandangan orang Melayu ia memberi makna lain tetapi cerita yang benar-benar berlaku harus dimasukkan dalam subjek Sejarah.

“Novel ini lebih menjurus kepada orang Melayu, India dan Cina, secara fakta tidak kepada British,” katanya pada forum yang diajurkan Kumpulan Kajian Kairos di sini malam tadi.

“Interlok ada sedikit mengenai sejarah, ia sepatutnya dijadikan contoh kepada orang Cina, India... itu yang fikirkan bagaimana sejarah patut diajar, gunakan Interlok sebagai model,” jelas Milner.

Novel Interlok menjadi buku teks wajib untuk komponen sastera dalam sukatan pelajaran sekolah menengah mulai tahun ini.

Ia menjadi kontroversial apabila masyarakat India mendakwa ia menggunakan fakta-fakta yang salah selain menyinggung kaum itu.

Walaupun bantahan wujud, namun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap mengekalkan novel Interlok dengan meminda bahagian-bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Selain itu pakar sejarah Malaysia juga mendesak kerajaan memilih buku teks sejarah yang lebih baik untuk pelajar sekolah menengah.

Menjelaskan lebih lanjut, Milner berkata buku teks Sejarah perlu mempunyai lebih banyak “pendekatan emotif” untuk menarik minat pelajar dalam satu debat bestari yang lebih rancak dan mewujudkan lebih banyak nilai sejarah.

Beliau berkata buku teks Sejarah semasa mempunyai satu fokus kepada sejarah orang Melayu, yang mana ia juga perlu diberi penekanan terhadap sejarah orang Cina dan India.

Milner juga merasakan buku-buku teks yang digunakan sekarang terlalu terperinci dan mencadangkan agar penulis lebih fokus kepada topik tertentu dan tokoh-tokoh sejarah seperti ahli politik sebelum kemerdekaan Ibrahim Yaacob dan Datuk Onn Jaafar.

sumber: http://my.news.yahoo.com/jadikan-interlok-model-buku-teks-sejarah-kata-pakar-002110551.html

Comments

Popular Posts