Kisah Tok Janggut
Kisah drama Tok Janggut
oleh Siti Jarum
KIRA-KIRA sepuluh tahun lalu RTM ada menyiarkan drama purba bersiri kisah Tok Janggut. Kalau tak silap Siti pelakon watak Tok Janggut ialah Eman Manan. Sejarah mencatatkan Tok Janggut sebagai pejuang kerana menentang British.
Siti tak pasti dalam drama itu ada atau tidak adegan Tok Janggut mati digantung kaki di atas, kepala ke bawah oleh British. Ini fakta sejarah tentang perbuatan kejam British kepada orang Melayu. Siti tak berani nak kata Tok Janggut pejuang. Sebabnya dia menentang British, banyak orang Melayu sokong British. Ada sesetengah pihak menganggap menentang British bukan pejuang kerana banyak juga orang Melayu jadi juak-juak British. Sekarang pun tak ada yang kata British kejam.
Tapi Siti tetap percaya British berlaku kejam terhadap orang Melayu. Banyak yang dibunuh dengan persetujuan sultan. Memanglah itu arahan sultan tapi siapa yang mendesak sultan supaya membunuh orang Melayu yang menentang British. Siti juga masa zaman sekolah dulu pernah menonton teater kisah Putum yang membunuh Residen British JWW Birch.
Siti masih ingat, penonton bangun bertepuk tangan semasa Putum merejam lembing ke tubuh Birch. Begitu bersemangat melihat penjajah dibunuh. Tapi bukan Putum saja yang dihukum bunuh malah Datuk Maharajalela. Sebabnya sama; menentang British. Kerana itu Siti percaya kalau kita bercakap tentang kekejaman, British memang kejam. Kesan kekejaman British berbekas hingga hari ini. Tapi British bijak, mereka gunakan orang Melayu untuk bunuh orang Melayu. Sebab itu Siti tengok sampai sekarang banyak orang Melayu taksub dengan British seolah-olah British penjajah yang paling baik di dunia.
Maka Siti pun jadi takut nak menulis atau bercakap mengenai pejuang-pejuang yang menentang British. Orang Melayu pun tak bersimpati dengan Tok Janggut, Datuk Maharajalela dan Rosli Dobi dan banyak lagi yang dibunuh British. Tapi Siti harap dengan munculnya banyak “sejarawan” ketika ini, tokoh-tokoh ini boleh diletakkan di tempat yang wajar. Jangan jadi “sejarawan bermusim” sudahlah.
SITI JARUM: Tapak Warisan Dunia kita semuanya tinggalan penjajah. Kenapa ya?
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_12.htm
Comments