Konsep asas Musharakah Mutanaqissah

Produk syariah bukan produk konvensional diubahsuai

Istilah patuh Syariah dan berasaskan Syariah kini semakin popular apabila membincangkan tentang produk perbankan Islam.

Sebenarnya tidak ada perbezaan sebenar antara produk patuh Syariah dan produk berasaskan Syariah.

Perkara yang penting ialah produk itu sendiri mematuhi peraturan dan prinsip Undang-Undang Urus Niaga Islam, termasuk larangan riba, larangan unsur gharar, larangan berurusan dengan perniagaan yang melibatkan produk atau aktiviti haram seperti alkohol, babi dan berjudi.

Produk itu sendiri mesti mengguna pakai kontrak Syariah yang sewajarnya, seperti Wadiah, Mudharabah, BBA, Ijarah dan sebagainya.

Di Malaysia, tawaran produk perbankan Islam oleh bank-bank Islam atau jendela Islam sebuah bank konvensional memerlukan dua peringkat kelulusan iaitu oleh Jawatankuasa Syariah di peringkat bank dan Majlis Penasihat Syariah di peringkat Bank Negara Malaysia.

Jawatankuasa ini dianggotai cendekiawan Islam berkelayakan dalam bidang undang-undang Islam yang akan meneliti struktur produk sebelum memberikan kelulusan kepada bank untuk menawarkannya kepada orang ramai.

Pada asasnya, dakwaan bahawa produk Islam hanyalah produk konvensional yang diubahsuai adalah tidak tepat dan tidak adil memandangkan usaha gigih yang dilakukan dalam pembangunan sesuatu produk perbankan Islam.

Pembiayaan dalam perbankan Islam membabitkan beberapa konsep seperti Bai' Bithaman Ajil ("BBA"), Bai' Al-Inah ("BAI"), Tawarruq, Musharakah Mutanaqissah ("MM") & Ijarah Muntahiya Bi al-Tamlik ("IMBT").

Konsep pembiayaan Islam ini digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pembelian hartanah dan aset lain yang boleh dipindahkan.

BBA & BAI adalah konsep perbankan Islam paling popular dan paling awal untuk diperkenalkan di Malaysia (sejak 1982) dan masih ditawarkan oleh hampir semua bank-bank Islam di Malaysia.

Pembiayaan membabitkan pembelian aset peminjam oleh bank, dan selepas itu bank menjual kembali kepada peminjam pada harga lebih tinggi, dan perbezaannya ialah keuntungan yang diperolehi oleh Bank.

Di OCBC Al-Amin Bank, salah satu produk patuh Syariah yang kami tawarkan ialah perkongsian berasaskan Musharakah Mutanaqisah atau Perkongsian Berkurangan.

Konsep ini adalah alternatif kepada BBA dan BAI dan diterima umum di rantau ini dan juga di Timur Tengah.

Konsep ini merupakan pembiayaan ekuiti Islam di mana Bank dan pelanggan sama-sama menyumbang modal untuk membeli hartanah. Sebagai rakan kongsi, pelanggan membayar wang pendahuluan awal manakala Bank membiayai jumlah baki yang diperlukan untuk memiliki hartanah.

Sebagai pemilik majoriti dalam perkongsian, Bank menyewakan dan pada masa yang sama menjual bahagiannya kepada pelanggan.

Selepas pembiayaan dijelaskan sepenuhnya kepada Bank, hartanah ini akan dipindah milik kepada pelanggan.

Sebagai contoh, jadual memaparkan perbezaan antara Manarat Home-i OCBC Al-Amin berbanding pinjaman perumahan konvensional di atas.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0521&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm&arc=hive

Comments

Popular Posts