Maqasid syariah dalam perbankan islam

Oleh MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL

DUNIA mengiktiraf Malaysia sebagai hab paling aktif dalam perbankan dan kewangan Islam. Namun sejauh manakah institusi perbankan Islam berjaya menjaga kebajikan dan kepentingan pelanggannya?

Perbankan Islam yang bermula dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mengorak langkah menjalankan muamalah Islam apabila ia diberi lesen oleh kerajaan untuk beroperasi sebagai sebuah bank.

Berbanding dengan Tabung Haji yang mempunyai matlamat membantu orang Islam menabung bagi menunaikan ibadah haji, bank-bank Islam menawarkan skim perbankan tanpa riba yang meliputi simpanan (Wadiah), pelaburan (Mudharabah) dan pembiayaan rumah dan kereta (Bai Bithaman Ajil - BBA dan Murabahah).

Bermula dengan konsep nyah riba atau dengan perkataan lain, perbankan tanpa faedah, di awal penubuhan Bank Islam, menyaksikan banyak halangan dan rintangan.

Rungutan orang ramai kononnya kadar keuntungan yang diambil dalam produk pembiayaan sistem perbankan Islam seperti BBA terlalu tinggi tidak sepatutnya kedengaran lagi kerana perbankan Islam akan menyambut ulang tahun ke 30 pada tahun 2013.

Perbankan Islam kemudiannya berkembang dengan penawaran skim perbankan tanpa faedah di kaunter bank konvensional yang dikenali sebagai Islamic windows oleh bank konvensional mulai tahun 1993.

Industri perbankan Islam bertambah kukuh dengan tertubuhnya Bank Muamalat pada tahun 1999 yang merupakan bank Islam kedua. Ia bergerak pantas dan mulai tahun 2003, banyak bank konvensional membuka anak syarikat perbankan Islam.

Ketika bank-bank tempatan mengambil tempat perbankan Islam di Malaysia, dua bank Timur Tengah seperti Kuwait Finance House (KFH) dan al-Rajhi membuka cawangan di Malaysia sekitar pertengahan tahun 2000.

Penerimaan pelanggan Malaysia terhadap dua bank Timur Tengah ini sangat memuaskan. Kedatangan KFH dan al-Rajhi mencorak landskap baru perbankan Islam di Malaysia.

Ini dapat dilihat dalam beberapa produk yang menjadi 'produk asas' bank Islam tempatan seperti BBA 'diganti' dengan Musyarakah Mutanaqisah, Bai' al-'Innah dan Bai' al-Dayn diganti dengan Tawarruq.

Produk baru ini menampakkan bahawa ia lebih menepati kehendak maqasid syariah (matlamat syariah) kerana keuntungan yang diambil oleh bank adalah berpatutan.

Malahan, ia mengurangkan kontroversial seperti 'produk asas' bank Islam tempatan seperti BBA, Bai' al-'Innah dan Bai' al-Dayn.

Melihat kepada definisi literal syariah itu sendiri iaitu jalan yang lurus dan sumber air, sudah tentu menggambarkan bahawa syariah itu membawa insan kepada satu sistem yang membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Malah secara teknikal, syariah membawa maksud satu sistem yang diturunkan oleh Allah merangkumi komponen akidah, akhlak dan fiqh (undang-undang).

Maka apa sahaja sistem yang dilaksanakan mestilah menepati kehendak ketiga-tiga komponen tersebut.

Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah SWT mewajibkan ketiga-tiga komponen akidah, akhlak dan fiqh berintegrasi (integrated) yang menjadikan ia sebagi satu jalan hidup.

Justeru, sesuatu perkara atau mauduk yang mahu dilaksanakan mesti menepati kehendak syariah tersebut.

Maqasid syariah

Lantaran dari definisi syariah di atas, para sarjana dan fuqaha Islam menggariskan bahawa kehendak syariah itu mesti berlandaskan maqasid syariah yang meliputi tiga keutamaan:

l Dharuriyyat (Essential).

Di bawah keutamaan ini, perkara yang menjadi sandaran manusia sama ada bersifat keagamaan dan keduniaan akan menjadi pincang seandainya ia tidak dilaksanakan.

Justeru memelihara agama, nyawa, intelek, keturunan dan maruah dan harta menjadi lima nilai keutamaan dalam segala tindak tanduk manusia di dunia.

Memelihara harta termasuk dalam muamalah perbankan Islam dan justeru itu ia tergolong di dalam keutamaan dharuriyyat yang menjadi asas keutamaan maqasid syariah.

l Hajiyyat (Complimentary).

Keutamaan hajiyyat merupakan manfaat dan kepentingan di mana jika ia diabaikan boleh membawa kepada kesusahan dan kepayahan hidup manusia meskipun tidak akan membawa kepada kepincangan hidup.

Hajiyyah secara umumnya adalah sokongan terhadap lima nilai utama dalam keutamaan dharuriyyat. Ini dapat dilihat dalam kes rukhsah. Walaupun solat merupakan keutamaan di bawah dharuriyyat, kelonggaran diberi bagi mereka yang bermusafir melakukan jamak dan qasar.

Begitu juga dapat dilihat dalam persoalan melakukan solat dalam keadaan baring bagi pesakit yang tidak berkeupayaan berdiri.

Oleh kerana rukhsah bertujuan untuk mengelak kesusahan walaupun ia tidak penting, manusia masih boleh meneruskan kehidupan normal tanpa melakukannya.

Contoh dalam muamalah adalah pengharaman monopoli (ikhtikar) dan penerimaan syariah dalam kontrak Salam dan ijarah meskipun ia tidak menepati kehendak rukun kontrak.

Dalam kontrak salam, keperluan kepada subjek kontrak diberi kelonggaran walaupun ia merupakan satu dari rukun kontrak.

Bagi kontrak ijarah pula, manfaat barang (usufruct) diharuskan untuk disewakan kepada orang lain meskipun barang tersebut masih dimiliki oleh pemilik barang tersebut. Kedua-dua kontrak ini diharuskan kerana manusia sangat berhajat kepadanya.

l Tahsiniyyat (Embellishment).

Keutamaan tahsiniyyat merupakan hierarki terbawah dalam susunan maqasid syariah. Ia merujuk kepada keselesaan yang akan dinikmati oleh manusia yang berkehendak kepadanya.

Perkara di bawah tahsiniyyat adalah satu pembaikan dan kesempurnaan hidup manusia dalam semua hierarki hidup.

Maka, tanpa melaksanakan tahsiniyyat, kehidupan manusia masih normal walaupun sedikit sebanyak mengganggu kesenangan hidup. Dalam muamalah Islam, ini dapat dilihat dalam pemberian 'ganjaran' oleh pemiutang kepada pemberi hutang dalam kes Qard al-Hasan sebagai membalas jasa baik pemberi hutang semasa pemiutang berada dalam keadaan kesusahan.

Begitu juga apabila syariah menggalakkan umat Islam memberi sedekah dan berkelakuan baik dalam percakapan dan tingkahlaku.

Menyedari keperluan maqasid syariah dalam perbankan Islam, bank-bank Islam di Malaysia perlu menilai semula beberapa produk dan transaksi yang nampak secara tersirat tidak menepati kehendak maqasid syariah walaupun secara tersurat menepati piawaian fiqh mengikut pandangan sesetengah fuqaha.

Pembayaran keseluruhan keuntungan dalam kontrak BBA hendaklah dinilai semula kerana pihak pembeli dikehendaki membayar keseluruhan jumlah harga jualan (pembiayaan) disebabkan kegagalan pembeli membayar ansuran.

Walaupun ia menepati kehendak asal kontrak yang termeterai dan berlandaskan syariah, daripada segi yang lain ia menampakkan seolah-olah bank Islam terlalu mengejar keuntungan berbanding dengan bank konvensional.

Contoh lain adalah dalam kontrak BBA di mana harga keuntungan yang dikenakan begitu tinggi berbanding Musyarakah Mutaqisah yang nampak memihak kepada pembeli.

Ini kerana dalam kontrak Musyarakah Mutaqisah, kedua-dua pihak iaitu bank dan pembeli mempunyai 'saham' dalam syarikat sebuah rumah.

Pihak pembeli seterusnya menambah 'saham' dalam syarikat rumah tersebut sehingga kesemua 'saham' dibeli oleh pembeli. Keuntungan yang diambil oleh pihak bank adalah munasabah.

Untuk itu, bank-bank Islam di Malaysia perlu menilai semula produk dan transaksi yang dikatakan lebih mementingkan keuntungan. Kehendak maqasid syariah hendaklah menjadi asas utama dalam penilaian sesebuah produk dan transaksi. Alasan yang mengatakan bahawa bank Islam perlu bersaing dengan bank konvensional bukanlah alasan baru.

Tahun 2013 akan melihat sistem perbankan Islam merayakan ulang tahun ke 30. Justeru, ia perlu membuat anjakan paradigma menawarkan perbankan Islam yang menepati kehendak maqasid syariah supaya ia dilihat berbeza dengan bank konvensional.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0216&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive

Comments

Popular Posts