Pilihan, manfaat bank koperasi
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
BANK koperasi merupakan sesuatu yang baru bagi rakyat Malaysia tetapi kejayaan besar salah sebuah koperasi terbesar negara melaksanakan sistem perbankan ini telah menarik minat orang ramai sehinggakan semua saham yang ditawarkan habis dilanggan.
Ini bukannya sesuatu yang luar biasa memandangkan bank koperasi mempunyai kelebihan berbanding bank komersial terutamanya dalam aspek kebajikan kepada anggota, dividen besar kepada pemegang saham dan juga kadar keuntungan produk pembiayaan yang jauh lebih rendah.
Setelah mengenal pasti kelebihan serupa dapat ditawarkan kepada orang ramai, sebuah lagi koperasi ternama di Malaysia telah mengorak langkah ke arah pembangunan sistem bank koperasi tersendiri yang memberi banyak manfaat kepada anggotanya dan juga masyarakat setempat.
Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad (Bank Persatuan) yang ditubuhkan 62 tahun lalu di Pulau Pinang kini telah memulakan proses penstrukturan semula bagi menawarkan manfaat sebuah bank koperasi termasuk pembiayaan pada kadar keuntungan terendah kepada warga bumiputera.
Mula didaftarkan dengan nama The Province Wellesley Co-operative Banking Union Limited pada 1950, Bank Persatuan dijangka mampu memberikan kadar dividen yang tinggi kepada anggotanya mulai 2013 melalui program penjenamaan semula yang bakal menambahkan bilangan keanggotaan (pemegang saham), pendeposit akaun dan pengguna produk-produk bank tersebut.
Menurut Pengerusinya, Jamal Abdullah, Bank Persatuan akan membuat perubahan mendadak selepas 62 tahun operasi bagi menawarkan khidmat dan manfaat yang lebih baik kepada anggota dan pelanggannya.
Beliau yang lama berkecimpung dalam pergerakan koperasi dan juga Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menjelaskan, sistem bank ini akan beroperasi berdasarkan garis panduan perbankan daripada Bank Negara tetapi pentadbirannya kekal di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
"Bank Persatuan kini sudah mempunyai 14 cawangan di seluruh negara kecuali di Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sahaja sementara cawangan di Johor kini dalam proses pembinaan.
"Kita akan membuat banyak perubahan besar dan penjenamaan semula serta menggandakan promosi dalam menawarkan produk-produk kompetitif untuk dikongsi dengan pengguna di seluruh negara," katanya.
Jelasnya, Malaysia mempunyai sejumlah 9,600 koperasi dengan lebih 10 juta ahli sementara Bank Persatuan kini mempunyai keanggotaan lebih 400 koperasi serta lebih 60,000 anggota bumiputera yang dijangka terus meningkat jumlahnya melalui proses penstrukturan semula tersebut.
"Kita mahu bergerak ke arah sebuah bank koperasi yang bukan sahaja menawarkan manfaat serta keuntungan kepada anggota dan pelanggannya, malahan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk komuniti setempat.
"Menyahut saranan Perdana Menteri, Bank Persatuan juga akan menggerakkan usaha merapatkan silaturrahim dan membantu kerajaan mengatasi masalah kemiskinan melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR)," ujarnya.
Tambahnya, ini termasuk program sukarelawan, gotong-royong, cegah jenayah serta berkongsi semangat Ramadan menjelang Aidilfitri tahun ini melalui sedekah, zakat, program bersama anak yatim serta pelbagai aktiviti lain di surau dan masjid-masjid.
Untuk anggota pula, jelasnya, Bank Persatuan yang sebelum ini lebih fokus kepada perbankan pengguna kini menyasarkan kadar dividen lebih tinggi untuk anggota-anggotanya selain pelbagai manfaat yang tidak ditawarkan bank-bank komersial.
"Keanggotaan kita adalah 100 peratus bumiputera untuk koperasi dan individu sementara produk pembiayaan ditawarkan kepada anggota-anggota yang bekerja dalam sektor awam serta anggota yang bekerja di sektor swasta yang memenuhi syarat-syarat khusus.
"Untuk menjadi anggota cuma memerlukan 50 unit saham berjumlah RM500 tetapi anggota boleh membeli lebih banyak saham daripada itu dengan had tidak melebihi 20 peratus modal berbayar bank. Selain pelbagai manfaat automatik sebagai anggota, kita juga menyasarkan dividen 10 peratus untuk 2013, tertakluk kepada kelulusan SKM," jelasnya.
Antara manfaat automatik yang bakal dinikmati anggota Bank Persatuan termasuk perlindungan takaful, khairat kematian, faedah anak cemerlang dalam pelajaran, tuntutan kemasukan ke hospital, skim bantuan kebajikan anggota dan banyak lagi.
Menurut Jamal, selain perlindungan masalah kesihatan, bencana alam, kemalangan mahupun meninggal dunia, anggota yang kurang mampu juga akan dibantu melalui derma dan zakat serta program CSR lain anjuran Bank Persatuan.
"Bukan sekadar dividen tinggi dan pembiayaan dengan kadar keuntungan rendah, kita mahu sediakan manfaat dalam sistem sosial kehidupan anggota-anggota yang tidak ditawarkan bank-bank komersial.
"Walaupun produk pembiayaan kami lebih kepada kakitangan awam berisiko rendah, warga sektor swasta yang tidak dapat menikmatinya masih boleh menjadi anggota biasa dan menerima semua manfaat perlindungan serta bayaran dividen tahunan," katanya.
Tegasnya, Bank Persatuan tetap mengutamakan kebajikan anggotanya daripada keuntungan semata-mata dan orang ramai perlu melihat manfaat besar sebagai anggota sekalipun tidak berpeluang menjadi pelanggan sistem kewangannya.
Tambahnya, warga sektor swasta juga masih berpeluang membuat pembiayaan dengan pihaknya selagi syarikat tempat mereka bekerja mempunyai rekod kukuh dan cemerlang serta bersedia membuat bayaran balik melalui potongan gaji.
Menurut beliau lagi, bermula 1993, semua aktiviti perbankan Bank Persatuan juga telah berlandaskan prinsip syariah sepenuhnya termasuk dalam menawarkan produk simpanan Al Wadiah, pelaburan Al Mudaharabah dan Sijil Pelaburan Pembiayaan Bank Persatuan serta produk-produk pembiayaan.
"Selain aset pembiayaan yang telah dikeluarkan berjumlah RM1.1 bilion setakat ini, Bank Persatuan juga sedang menawarkan skim pembiayaan baru pada kadar maksimum RM200,000 sehingga 20 tahun bayaran balik tanpa penjamin dan dengan kadar keuntungan serendah 3.95 peratus sahaja.
"Skim pembiayaan yang dikenali sebagai Pembiayaan Satu Solusi merangkumi Pembiayaan Istimewa Lestari Dan Persendirian Istimewa Al Ajmal, sudah mula ditawarkan pada awal tahun 2012 ini dengan peruntukan sebanyak RM500 juta sehingga penghujung tahun." ujarnya.
Beliau turut mengesahkan setiap kategori produk Bank Persatuan bakal disediakan hadiah galakan untuk pelanggan-pelanggan baru sebagai hadiah penghargaan bagi mereka yang memilih khidmat bank tersebut.
Bagi koperasi pula, beliau menjelaskan pembiayaan kewangan kontrak juga bakal ditawarkan bagi koperasi bumiputera yang menerima tender daripada mana-mana jabatan kerajaan mahupun syarikat milik kerajaan.
"Kita juga dalam proses menggerakkan sistem Ar-Rahnu tersendiri yang telah diluluskan Lembaga Pengarah tetapi masih dalam proses kajian sistem pelaksanaan bagi mengelak kelemahan terhadap sebarang penipuan dan aktiviti jenayah.
"Dalam masa terdekat juga, kita akan mula sediakan mesin juruwang automatik (ATM dan CDM) di cawangan-cawangan Bank Persatuan serta di Bank Islam melalui perjanjian kerjasama rakan niaga," jelasnya.
Tambahnya, Bank Persatuan juga telah lama mengguna pakai sistem atas talian yang akan memudahkan sebarang urusan kewangan anggota dan pelanggannya.
"Harapan saya, semua koperasi dan orang ramai di negara ini tidak melepaskan peluang menjadi anggota kami, menjadi pengguna produk kewangan mahupun pendeposit.
"Apa yang kami tawarkan bukan sahaja solusi kewangan dan manfaat keanggotaan malahan kami mahu menggerakkan Bank Persatuan sebagai sebuah entiti kemasyarakatan yang dapat berkongsi keuntungan dengan berbakti kepada penduduk setempat," tegasnya.
Maklumat lanjut berkaitan produk, keanggotaan dan perkhidmatan Bank Persatuan boleh diperolehi melalui laman web www.bankpstn.com.my atau dengan menghubungi talian 04-3237650.
sumber:
Comments