Rangka tanggungjawab korporat Islam diperkenal
Malaysia bakal memperkenalkan rangka kerja bagi tanggungjawab sosial korporat Islam (i-CSR) tahun depan yang akan menjadi garis panduan kepada pelaksanaan aktiviti CSR bagi institusi Islam tempatan dan antarabangsa.
Rangka kerja itu adalah yang pertama di dunia yang bertujuan memenuhi keperluan pertumbuhan kewangan Islam dan jangkaan pasaran global pada masa depan.
Ia sedang dirangka oleh Institut Penyelidikan Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (ARI UiTM) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Sebelas Maret University, dan Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia.
Ketua Projek i-CSR ARI UiTM, Profesor Madya Dr Faizah Darus, berkata rangka kerja i-CSR itu akan berlandaskan prinsip dan menepati nilai dan kepercayaan Islam.
Beliau berkata, buat masa ini, institusi Islam mengguna pakai garis panduan CSR konvensional yang pelaksanaannya berdasarkan pengalaman negara Barat.
Justeru, katanya wujud keperluan untuk membangunkan i-CSR berdasarkan kepada prinsip Syariah sebagai pelengkap kepada operasi pengurusan institusi berkenaan.
Rangka kerja i-CSR yang akan dibangunkan ini adalah menyeluruh dan ia bukan saja boleh diguna pakai oleh institusi Islam di Malaysia malah di seluruh dunia, katanya ketika dihubungi BH baru-baru ini.
Menurut beliau, rangka kerja i-CSR ini menjadi rujukan terbaik kepada institusi Islam dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka.
Faizah berkata, pada peringkat permulaan usaha menyediakan rangka kerja itu, pasukan penyelidik akan memberi tumpuan kepada perbankan Islam.
Katanya, meskipun rangka kerja itu direka untuk rujukan perbankan Islam, ia masih boleh diguna pakai oleh semua institusi Islam lain.
Rangka kerja CSR Islam ini akan menggabungkan konsep tauhid dan ibadat dengan prinsip maqasid al-syariah dan maslahah dalam usaha untuk menyediakan garis panduan dan keutamaan dasar dan aktiviti CSR supaya sejajar dengan prinsip syariah, jelasnya.
Faizah berkata, bagi membolehkan rangka kerja itu diguna pakai oleh institusi Islam di Malaysia dan di seluruh dunia, ia perlu mendapat sokongan dari Lembaga Penasihat Syariah dan Bank Negara Malaysia.
Pembangunan rangka kerja itu, katanya akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.
sumber: Rangka tanggungjawab korporat Islam diperkenal, Berita Harian, 31 Disember 2012
Comments