Masa depan yang cerah bagi kewangan Islam
PADA Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-10 di Dubai, Ketua Pengarang The National, Mohammed Al Otai ba, berkesempatan menemubual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung pelbagai isu. Antara yang dibangkitkan adalah tentang kedudukan semasa dan masa depan ekonomi Islam global serta peranan kedua-dua negara, UAE dan Malaysia di dalamnya. Najib juga memberi kefahaman tentang soal geopolitik dan keselamatan di Asia Timur dan Asia Barat.
Mohammed Al Otaiba: Jika saya boleh bermula dengan forum itu sendiri, yang kini dalam tahun ke-10. Mengapa Dubai menjadi pilihan?
PM Najib: Saya rasa itu adalah pilihan semula jadi. Dubai terletak di tengah-tengah Asia Barat dan mempunyai cita-cita untuk menjadi pusat kewangan dan pusat ekonomi, dan Dubai bersedia memberi sokongan logistik. Kami sangat senang dengan semua persiapan yang telah dibuat dan saya rasa WIEF di Dubai sangat berjaya.
Wujud sentimen yang cukup optimis mendorong ekonomi dunia Islam. Adakah anda berkongsi sentimen ini?
Ya. Saya fikir kita tidak menyedari sepenuhnya potensi maksimum ekonomi Islam. Saya fikir jika anda memecahkannya kepada beberapa komponen berbeza - kewangan, perbankan, industri, wakaf, insurans takaful dan sebagainya - jika anda mengambil semua komponen ini, anda boleh melihat kita masih agak jauh dari benar-benar mengeksploitasi manfaat sepenuhnya daripada ekonomi Islam.
Pada pandangan anda, apakah cabaran-cabaran yang perlu difokuskan?
Sokongan yang kuat daripada kepimpinan politik untuk memastikan ia berlaku; pembinaan institusi; pembangunan modal insan; kekurangan kepakaran dalam banyak bidang seperti kewangan Islam, piawaian dan rangka kerja kawal selia; pakar-pakar Syariah untuk memastikan produk anda patuh syariah ... jadi kita perlu menangani pelbagai cabaran.
Ada banyak fokus pada piawaian. Apakah ada rangka kerja yang jelas bagi negara-negara yang berbeza untuk bekerja bersama-sama supaya kita berakhir dengan standard yang satu?
Kita sedang bergerak ke arah itu. Beberapa idea dan pemikiran yang diajukan semasa WIEF harus diikuti. Harus ada komitmen secara umum dan pemahaman kalangan negara Islam untuk mengetepikan politik seterusnya melaksanakan dasar-dasar dan program-program yang boleh memberi manfaat kepada seluruh dunia Islam. Dan jambatan harus dibina dengan dunia bukan Islam. Anda ingin kewangan Islam untuk mempunyai daya tarikan di luar dunia Islam juga.
Kita melihat tiga hab utama - di Malaysia, di sini di Dubai, dan London - semua berebut-rebut untuk menjadi hab ekonomi Islam. Adakah kita bersaing untuk pasaran yang sama? Apakah ada ruang untuk satu sama lain?
Saya rasa ada ruang kerana jika anda melihat dari segi pertumbuhan perbankan Islam, di Malaysia ia adalah dua angka dan lebih dua kali ganda daripada perbankan konvensional. Anda bercakap tentang pasaran global yang sedang berkembang. Kita tidak bersaing untuk cebisan yang sedikit, kita bersaing untuk bahagian yang lebih besar daripada pai perniagaan yang lebih besar. Jadi saya melihatnya sebagai kita boleh saling melengkapi antara satu sama lain, walaupun ada kalanya kita perlu bersaing - tetapi itu peraturan pada hari ini, dalam dunia hari ini.
Jadi ada permintaan untuk produk-produk ini?
Ada permintaan yang besar untuk itu, itu sebabnya WIEF di London pada tahun lalu mempunyai daya tarikan yang besar. Datuk Bandar, Boris Johnson, sangat teruja dengannya - walaupun ia tidak sukar untuk membuatnya teruja dengan apa sahaja. Dan kita ada David Cameron, yang telah meminjamkan modal politiknya untuk forum itu. Mereka melihat nilai dalam menganjurkan WIEF dan hasil daripada inisiatif sedemikian.
Di mana anda melihat peranan pendidikan dalam mendorong perkara ini ke hadapan?
Pendidikan adalah tunggak. Kita lihat ada kekurangan kepakaran yang berkemahiran tinggi dalam kewangan Islam dan perbankan Islam. Itulah sebabnya Malaysia dianggap sebagai pemimpin kerana bukan sahaja kita dapat menghasilkan seluruh produk Islam yang banyak tetapi kita juga mempunyai institusi yang menyediakan latihan. Sebagai contoh, INCEIF [Pusat Pendidikan Kewangan Islam], institusi latihan yang diiktiraf di peringkat global yang dijalankan oleh Bank Negara, menyediakan peluang untuk melatih kepakaran dalam kewangan Islam.
Maksudnya ada banyak, yang Dubai boleh belajar daripada pengalaman Malaysia dari segi produk Islam, atau memastikan ada infrastruktur untuk pendidikan?
Ya, dan ada banyak yang kita boleh belajar dari Dubai juga, kerana Dubai mempunyai aspirasi di bidang tertentu.
Bagaimana dengan peranan perniagaan kecil - keusahawanan - dan wanita?
Sebahagian besar perusahaan kami di Malaysia - dalam kebanyakan negara - adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), jadi jika anda bercakap dari segi mewujudkan peluang perniagaan maka anda perlu memberi tumpuan kepada PKS pada dua tingkat. Satu, anda harus menyediakan modal awal sehingga orang dapat masuk ke dalam perniagaan dan mendapati bahawa mereka mempunyai sokongan dan bantuan, bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga bantuan teknikal. Kemudian, anda perlu membuat mereka berkembang. Bagaimana mereka boleh berkembang dua kali ganda atau tiga kali ganda, dan bagaimana mereka menembusi pasaran eksport? Jadi, anda perlu menyediakan sokongan supaya PKS dapat menyumbang bahagian yang lebih besar daripada KDNK.
Kami mempunyai pelan induk di Malaysia untuk pembangunan PKS, dan kami berharap pada tahun 2020 mereka akan mencapai kira-kira 41 peratus daripada KDNK berbanding sekarang. [Tahap sekarang adalah 34-35 peratus].
Melihat hubungan Malaysia-UAE, terdapat banyak pelaburan antara kedua-duanya. Apakah ada sesuatu yang anda boleh beritahu kami tentang Wilayah Pembangunan Iskandar serta peranan dan pelaburan Abu Dhabi dalam projek ini?
Ya, mereka adalah yang pertama melabur di Iskandar dan mereka telah mendapat pulangan yang baik ke atas pelaburan, saya percaya sekitar kira-kira 47 peratus.
Terdapat juga perbincangan untuk UAE terlibat dalam Tun Razak Exchange, yang merupakan pusat kewangan baharu kami. Ada juga beberapa perbincangan mengenai Bandar Malaysia, iaitu pembangunan hartanah yang cukup besar di tengah-tengah Malaysia. Jadi peluang-peluang ini agak menarik.
Malaysia adalah sebuah negara berbilang etnik, negara majmuk dengan populasi kaum Cina yang besar - kira-kira 25 peratus. Apakah preskripsi Malaysia untuk keharmonian sosial dan ekonomi?
Ia mempunyai falsafah memberi dan menerima. Apa yang nenek moyang kami lakukan adalah meletakkan dasar yang bersifat inklusif dan dianggap cukup adil kepada semua kaum. Jadi anda meletakkan, pertama sekali, Perlembagaan berdasarkan ‘kontrak sosial’ antara pelbagai kumpulan etnik utama, dan anda mempunyai dasar-dasar berikutnya yang diterima dengan baik semua pihak dan bersifat inklusif. Kuncinya adalah untuk memastikan keseimbangan yang betul. Keseimbangan antara kaum, keseimbangan antara bandar dan luar bandar, keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar.
Beralih kepada topik lain: Islam radikal. Ia adalah satu isu - satu masalah - di luar sana. Bolehkah anda jelaskan bagaimana bentuk Islam seperti yang dianjurkan oleh Malaysia, membantu membendung ideologi Islam di Asia Barat, Asia Selatan, Asia Tenggara?
Amalan Islam di Malaysia tidak pernah dihubungkan dengan ekstremisme dan tidak juga dengan kekerasan. Apabila Islam datang ke kawasan dunia kami berlaku penukaran agama yang aman dan kami telah dapat mengamalkan model Islam yang berasaskan prinsip-prinsip dan ajaran Islam yang benar. Islam sebagai agama yang aman dan kami telah mampu untuk berbuat demikian di Malaysia dan prinsip Wasatiyyah [sederhana], iaitu menjadi sederhana dan juga menyokong kecemerlangan. Ia tidak bermakna bahawa menjadi sederhana ertinya biasa-biasa saja, tidak.
Menjadi sederhana tidak bermakna anda adalah seorang pengecut, tidak. Ini bermakna anda bertindak atas dasar segala apa yang adil. Dalam kata lain, keadilan sosial adalah penting.
Peminggiran, secara umumnya membawa kepada radikal, jadi jika anda memastikan dasar anda tidak meminggirkan mana-mana kelompok dalam negara ini, maka anda mengurangkan kemungkinan wujudnya golongan radikal. Maka pendidikan Islam di sekolah-sekolah kita juga, secara rasmi dan tidak rasmi ... anda mesti memastikan tidak ada penceramah yang memutarbelitkan makna sebenar Islam. Sebagai contoh, jihad.
Apa erti jihad? Dan dalam konteks apa anda boleh mengambil nyawa orang lain? Ini semua mesti benar-benar difahami oleh umat Islam di Malaysia dan di mana-mana sehingga mereka akan menyedari bahawa mereka boleh membuat pilihan antara mengambil jalan ekstremisme atau jalan Islam yang sebenar.
Ada laporan beberapa rakyat Malaysia telah pergi berjuang di Syria. Berapa ramai, adakah anda tahu yang telah pergi ke Syria? Bagaimana anda memantau rekrut yang berpotensi? Dan sekali lagi, bagaimana anda cuba membendung aliran ini?
Kita mempunyai undang-undang untuk menghadapinya dan mereka yang memutuskan untuk menjadi pejuang asing di Syria dan di Iraq, mereka telah ditangkap di bawah undang-undang dan didakwa di mahkamah. Jika anda dianggap sebagai seorang pejuang kebebasan dalam erti kata mengangkat senjata, maka anda melanggar undang-undang, dan anda boleh didakwa. Jadi ini adalah jalan yang telah kami ambil dan kami kini sedang memperkukuhkannya untuk memastikan undang-undang ini bukan hanya boleh diguna pakai di dalam negara bahkan di luar negara juga.
Kembali kepada forum sekarang ini. London, Dubai, Kuala Lumpur, pada masa ini tiga pusat utama bagi penyenaraian sukuk. Mana yang menurut anda akan berada pada kedudukan teratas dalam masa 10 tahun?
Malaysia adalah pemimpin sekarang dengan lebih 60 peratus daripada sukuk [dikeluarkan]. Saya dapat membayangkan Malaysia terus menjadi pemimpin, tetapi kita perlu sedar bahawa terdapat pusat-pusat baru berkembang dan akan ada persaingan. Tetapi jika anda terus memperbaiki dan membina kemahiran dan keupayaan, saya yakin Malaysia akan terus menjadi pemimpin.
Apa pendapat anda tentang Asia Barat pada masa ini?
Dunia Islam adalah dunia yang berpecah, itu yang menjadi kebimbangan saya. Kita perlu menyelesaikan dua masalah: satu pembahagian yang agak ketara antara Sunni dan Syiah, yang merobek dunia Islam supaya berpisah. Kedua, kemunculan ekstremisme bentuk baharu, yang menjadi kerisauan besar dunia Islam dan juga di dunia luar Islam. Kemudian ketiga, ada isu Palestin yang sudah berlarutan. Seseorang perlu mencari penyelesaian jangka panjang kepada penderitaan rakyat Palestin; mereka telah menderita begitu lama.
Jadi saya fikir ini adalah tiga cabaran untuk dunia Islam. Kemudian ada masalah lain berkaitan kemunduran dan kurang berprestasi dalam dunia Islam, yang perlu ditangani.
Jadi untuk menanganinya - ia bukan penyelesaian politik, ia lebih daripada penyelesaian pembangunan. Apa yang akan datang dahulu?
Saya rasa ia berjalan seiring. Jika kita bercakap tentang melawan ekstremisme - radikal - maka tidak boleh hanya penyelesaian bersifat ketenteraan. Ia perlu penyelesaian ekonomi dan sosial - dan juga yang kefahaman Islam yang mendalam.
Artikel ini disiarkan dalam The National UAE di laman web www.thenational.ae/uae/a-bright-future-for-islamic-finance#full.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/masa-depan-yang-cerah-8232-bagi-kewangan-islam-1.20469#sthash.dKAQMLMT.dpuf
Comments