Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021

 


Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 sudah diwartakan dan boleh rujuk di laman sesawang tersebut: 

https://t.co/94QcsEmSSs 

Berikut ada seperti yang dilaporkan di dalam Berita Harian Online hari ini:

Ordinan Darurat: Kerajaan dilindungi daripada tindakan guaman, prosiding undang-undang

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada Isnin lalu, memperuntukkan perlindungan ke atas kerajaan daripada tindakan guaman dan prosiding undang-undang.

Ia antara 18 seksyen terkandung dalam ordinan berkenaan yang dimasyhurkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, semalam.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa hingga 1 Ogos depan, sudah diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Perincian ordinan berkenaan dikeluarkan selepas warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari dikeluarkan oleh Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa lalu.

Lapan belas seksyen itu membabitkan tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa ordinan berkenaan; jawatankuas khas bebas; kuasa untuk mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih, selain permintaan bagi penggunaan sumber dan pampasan.

Seksyen keenam adalah arahan untuk rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan, disusuli kuasa tambahan Angkatan Tentera Malaysia; kuasa untuk mengecualikan; kesalahan; dan perlindungan terhadap guaman serta prosiding undang-undang.

Kuasa eksekutif dan perundangan diperincikan dalam Seksyen 11; diikuti pilihan raya Parlimen; pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN); persidangan Parlimen; Persidangan DUN; kuasa untuk membuat peraturan-peraturan; kuasa di bawah ordinan adalah tambahan kepada kuasa di bawah undang-undang bertulis lain serta yang terakhir, undang-undang yang mengatasi.

Mengikut Seksyen 10, tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap kerajaan.

"Perlindungan sama juga diperuntukkan terhadap mana-mana pegawai awam atau mana-mana orang yang dilantik di bawah Subseksyen 6(1) berkenaan dengan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dibuat atau ditinggalkan olehnya dengan suci hati dalam melaksanakan peruntukan ordinan terbabit," mengikut ordinan itu.

Subseksyen 6 (1) memperuntukkan, bagi tempoh darurat berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong boleh melantik, tertakluk kepada syarat yang ditentukan, mana-mana orang untuk mengeluarkan arahan untuk rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan di bawah perenggan 11(3)(a) dan (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ordinan sama juga menyenaraikan penubuhan jawatankuasa khas bebas dalam Seksyen 2 untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19).

"Anggota jawatankuasa khas bebas itu hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong," menurut dokumen ordinan berkenaan.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong juga diperincikan dalam Seksyen 16, yang memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat kuasa, baginda boleh membuat peraturan-peraturan sebagaimana yang perlu atau suai manfaat bagi maksud melaksanakan peruntukan ordinan terbabit.

Seksyen 17 memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah ordinan ini adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh, atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.

"Sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan ordinan ini dengan mana-mana undang-undang bertulis lain, peruntukan ordinan ini hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu," menurut dokumen itu lagi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/776449/ordinan-darurat-kerajaan-dilindungi-daripada-tindakan-guaman

Ordinan Darurat: Denda RM5 juta, penjara 10 tahun langgar arahan


Arahan untuk rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan mengikut perenggan 11(3)(a) dan (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Arahan sedemikian juga boleh dilaksanakan mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, menerusi lantikan dan tertakluk kepada syarat tertentu.

Berdasarkan dokumen ordinan yang disiarkan laman web rasmi Pejabat Peguam Negara semalam, arahan berkenaan disifatkan setaraf seperti seorang pegawai diberi kuasa mengikut Akta 342.

Seksyen 8 ordinan berkenaan memperuntukkan, bagi tujuan pentadbiran dan pengurusan, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa boleh mengecualikan seseorang profesional jagaan kesihatan daripada kehendak untuk mematuhi alamat tempat amalan.

"Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, walau apa pun apa-apa peruntukan dalam mana-mana undang-undang bertulis, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, boleh mengecualikan seseorang profesional jagaan kesihatan yang dikawal selia di bawah undang-undang dalam jadual daripada kehendak untuk mematuhi alamat tempat amalan utama yang dinyatakan dalam mana-mana perakuan amalan tahunan atau yang setaranya," menurut ordinan berkenaan.

Seksyen 9 memperincikan kesalahan dan hukuman terhadap mereka yang melanggar Seksyen 3 atau 4 ordinan terbabit yang merujuk kuasa pengambil alihan tanah, bangunan atau harta alih dan penggunaan sumber, bagi sebarang tujuan yang difikirkan perlu.

"Mana-mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi mana-mana permintaan atau arahan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," menurut dokumen itu lagi.

Hukuman sedemikian berupaya dikenakan terhadap syarikat, perkongsian liabiliti terhad, firma, pertubuhan atau kumpulan orang yang lain, sekiranya disabit bersalah melanggar kedua-dua seksyen terbabit.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan, diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari lalu dikeluarkan Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/776473/ordinan-darurat-denda-rm5-juta-penjara-10-tahun-langgar-arahan

Ordinan Darurat: PM, menteri boleh jalankan kuasa eksekutif, perundangan


Perdana Menteri dan anggota Kabinet yang dilantik sebelum Proklamasi Darurat, boleh menjalankan kuasa eksekutif dan perundangan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Perkara itu diperuntukkan dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara, hari ini.

Seksyen itu menyebut, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang diberikan kuasa eksekutif sebelum Proklamasi Darurat, hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan dan perundangan.

"Ia turut memperuntukkan mana-mana orang yang diberikan fungsi eksekutif oleh undang-undang, hendaklah terus menjalankan fungsi itu," menurut dokumen ordinan berkenaan.

Bagi Menteri Besar atau Ketua Menteri serta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Kabinet negeri yang dilantik sebelum proklamasi terbabit, mereka juga boleh menjalankan kuasa eksekutif negeri sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Malah, kuasa perundangan untuk membuat undang-undang subsidiari di bawah undang-undang Persekutuan dan undang-undang negeri hendaklah terus dijalankan oleh orang yang diberi kuasa oleh undang-undang itu.

Sementara itu, Seksyen 7 dalam ordinan berkenaan mengenai kuasa tambahan angkatan tentera, memperuntukkan pasukan keselamatan itu diberi kuasa sama seperti pegawai polis atas arahan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana individu yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Tentera memiliki kuasa sama seperti polis seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan kuasa sedemikian hendaklah sebagai tambahan kepada kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77).

"Bagi maksud seksyen ini, angkatan tentera hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Seksyen 2 Akta Angkatan Tentera 1972," menurut ordinan itu lagi.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan, sudah diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari lalu dikeluarkan oleh Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/776484/ordinan-darurat-pm-menteri-boleh-jalankan-kuasa-eksekutif-perundangan

Ordinan Darurat: Kuasa ambil milikan tanah, penggunaan sumber


Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartawakan pada Isnin lalu memperuntukkan kuasa mengambil milikan tanah dan penggunaan sumber bersama perincian pampasan.

Berdasarkan dokumen ordinan berkenaan yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara, ia menggariskan bahawa kuasa pengambilalihan tanah itu diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang dikurniakan kuasa.

Kuasa berkenaan turut melangkaui sebarang sekatan yang dikenakan terhadap tanah terbabit, yang berkemungkinan disebabkan faktor undang-undang bertulis atau surat cara lain.

"Perintah untuk mengadakan peruntukan bagi melarang atau mengehadkan penggunaan hak lalu lalang ke atas tanah atau bangunan itu, dan hak lain yang berhubungan dengannya juga boleh dibuat.

"Apa-apa maklumat dalam milikannya, berhubungan dengan tanah, bangunan atau harta alih itu, juga wajar diberikan pemilik atau penghuni kepada Yang di-Pertuan Agong atau orang yang diberi kuasa," menurut dokumen ordinan berkenaan.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan, diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari lalu dikeluarkan Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sepanjang darurat berkuat kuasa, ordinan mengandungi 18 seksyen itu membolehkan Yang di-Pertuan Agong atau pihak dikurniakan kuasa untuk meminta sebarang sumber, bagi kegunaan apa-apa maksud yang difikirkan perlu.

"Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang yang diberi kuasa boleh memberikan apa-apa arahan berhubung dengan penggunaan, pengurusan dan kawalan sumber kepada orang yang sumbernya diminta.

"Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang yang diberi kuasa boleh memberikan apa-apa arahan berhubung dengan pengenaan apa-apa fi atau caj yang boleh dikenakan oleh orang yang sumbernya diminta di bawah Subseksyen (2).

"Bagi maksud seksyen ini, 'sumber' termasuk sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset, dan pengawal atau pengurus sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset itu," mengikut warta berkenaan.

Turut diperincikan ialah aspek pampasan tanah, bangunan atau harta alih, menerusi pentaksiran yang dijalankan orang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong.

Taksiran pampasan itu bagaimanapun muktamad dan tidak terbuka kepada sebarang pertikaian, selain tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas sebarang alasan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/776468/ordinan-darurat-kuasa-ambil-milikan-tanah-penggunaan-sumber

Ordinan Darurat: Agong putuskan tarikh sesuai adakan pilihan raya


Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada Isnin lalu memperuntukkan sebarang pilihan raya tidak perlu diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Berdasarkan Seksyen 12, kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau kekosongan ahli Dewan Negara yang dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara seperti termaktub di bawah Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, tidak mempunyai kesan sepanjang tempoh darurat.

"Bagi maksud mengisi kekosongan dalam kalangan ahli Dewan Negara, pelantikan itu hendaklah dibuat dalam masa 60 hari atau menurut Jadual Ketujuh Perlembagaan Persekutuan, mengikut mana-mana yang berkenaan dari tarikh Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 dibatalkan atau diungkaikan.

"Bagi maksud mengadakan apa-apa pilihan raya untuk mengisi kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, SPR hendaklah mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 dibatalkan atau diungkaikan, tertakluk kepada proviso kepada Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan luar jangka," menurut dokumen ordinan itu yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Dokumen itu memperincikan, bagi mengelak keraguan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan hendaklah mempunyai kesan seolah-olah perkataan 'dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada satu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu', dipotong.

"Malah, Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai kesan seolah-olah perkataan 'selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar', turut dipotong," menurut dokumen itu lagi.

Berhubung Subseksyen (5) bagi maksud Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum hendaklah diadakan dan mesyuarat Parlimen hendaklah dipanggil pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Perkara sama turut diperuntukkan bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana sebarang peruntukan berhubung pilihan raya DUN tidak terpakai sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

"Justeru, pilihan raya bagi pemilihan ke DUN hendaklah diadakan pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri berkenaan," menurut dokumen berkenaan.

Mengenai persidangan Parlimen, ordinan itu memperincikan, sebarang peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen, tidak mempunyai kesan dan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu, mana-mana mesyuarat Parlimen yang dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa ordinan itu, tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.

"Proses sama turut diperuntukkan bagi persidangan DUN yang mana ia hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang di-Pertuan Negeri yang berkenaan," katanya lagi.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan, diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari lalu dikeluarkan Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/776475/ordinan-darurat-agong-putuskan-tarikh-sesuai-adakan-pilihan-raya


Comments

Popular Posts