Skip to main content

penjara dua tahun salah guna gelaran Datuk Seri palsu

KES

Penganggur mengaku salah guna gelaran Datuk Seri palsu

Kota Tinggi: Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas penganggur selepas mengaku bersalah kerana menggunakan gelaran Datuk Seri palsu, lima tahun lalu.

Tertuduh, Imran Tolot, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu menggunakan gelaran Datuk Seri tanpa menerima sebarang anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran itu dari Pahang bagi maksud perniagaan tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Pahang.

Perbuatan itu dilakukan di Hotel Amansari Bandar Penawar, kira-kira jam 11 pagi pada 19 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran Atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) enakmen yang sama dibaca bersama Seksyen 17 akta kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon kepada mahkamah agar memberikan hukuman yang minimum kerana mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan menghidap sakit kronik kencing manis serta urat saraf yang boleh menyebabkan lumpuh.

Dalam rayuan itu, Imran memaklumkan dirinya tidak mempunyai wang kerana tidak bekerja dan meminta mahkamah memberikan hukuman penjara minimum kepadanya.

Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata, kesalahan dilakukan tertuduh menyalahgunakan gelaran palsu itu mencemarkan nama Institusi Kesultanan Pahang jika tidak dicegah kesalahan sama boleh diulang orang lain.

Hayda Faridzal kemudian menetapkan hukuman penjara selama dua tahun bermula tarikh tangkapan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, lelaki itu ditahan pada 4 Oktober lalu selepas dipercayai menawarkan kontrak membekalkan makanan di Projek Rapid Petronas Pengerang yang tidak wujud.

"Polis merampas satu kad ahli Setia Diraja Pahang atas nama suspek, satu unit telefon bimbit dan beberapa dokumen ketika tangkapan dijalankan. Hasil semakan mendapati suspek tidak dikurniakan gelaran Datuk Seri oleh mana-mana Institusi di Raja," katanya dalam kenyataan, semalam.

Comments

Popular Posts