Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan FAMA 2024


KANGAR, 28 Mac- Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan FAMA akan menjelajah ke tujuh lokasi terpilih seluruh negara sepanjang Ramadan kali ini.

Inisiatif itu menjadi serampang dua mata bukan sahaja dapat mendekatkan FAMA ke lokasi program malah dapat bekerjasama dengan usahawan FAMA yang ingin menyalurkan sumbangan buat asnaf.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Dr. Mohamad Sofee Razak memaklumkan Jelajah Sentuhan Kasih sempena Ramadan satu konsep khusus yang diperkenalkan FAMA dengan turut ke lapangan menyantuni secara terus golongan yang memerlukan.

Selain itu, program tersebut juga sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat kepada masyarakat setempat di samping mengeratkan silaturahim antara pegawai FAMA, usahawan FAMA, pihak swasta dan pelanggan serta cawangan pemasaran FAMA.

Antara pengisian Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan FAMA termasuklah penyampaian Insentif Naiktaraf Agrobazaar Rakyat, Jualan Agro Madani Tanpa Tunai, gotong-royong memasak, majlis Iftar dan penyampaian sumbangan Kit Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan kepada asnaf.

Beliau memaklumkannya pada Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan FAMA di Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam, Bintong yang menjadi lokasi keempat jelajah kali ini.

Seramai 50 asnaf mewakili lima kampung di bawah kariah Masjid Nurul Iman menerima Kit Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan yang mengandungi pelbagai barangan keperluan harian keluaran usahawan FAMA.

Sebagai tambahan kepada program Sentuhan Kasih Ramadan ini, FAMA Perlis turut mengambil inisiatif dengan kerjasama pelbagai pihak untuk melaksanakan lima program ini termasuklah Bazar Ramadan UniMAP dan Bazar Ramadan Dataran MAIPs yang turut melibatkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/jelajah-sentuhan-kasih-ramadan-fama-santuni-asnaf-di-tujuh-lokasi

Comments

Popular Posts