Monday, February 25, 2008

BERDAKWAH MELALUI BAHASA ISYARAT

Dakwah atau menyampaikan ajaran Islam kepada orang Islam dan bukan Islam adalah kewajipan kepada semua umat Islam walaupun hanya dengan satu ayat. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh umat Islam berdakwah agar ajaran dan kesempurnaan Islam terus berkembang, relevan dan segar sepanjang zaman. Usaha dan aktiviti dakwah amat berkait rapat dengan bahasa dan tanpa medium bahasa, mesej dakwah tidak akan sampai dan matlamat dakwah tidak berjaya.

Namun begitu dalam keghairahan kita melaksanakan misi dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam, mungkin kita agak terlepas pandang dan terlupa kepada golongan orang pekak yang tidak memahami kaedah dakwah sedia ada memandangkan mereka memerlukan bahasa isyarat untuk menerima segala mesej dan maklumat yang ingin di sampaikan oleh pendakwah. Di sini menunjukkan betapa peri pentingnya bahasa isyarat dikuasai oleh para pendakwah di negara kita agar golongan ini tidak terlepas dan tertinggal dengan arus semasa serta perkembangan Islam di dalam negara dan luar negara.

Apatah lagi tanpa penguasaan bahasa isyarat yang baik oleh pendakwah menjadikan golongan orang pekak di negara kita tidak dapat mempelajari ajaran Islam secara yang berkesan dan sempurna. Situasi ini menuntut ahli agama, ulama, pemikir dan pendakwah di Malaysia mendalami dan menguasai kaedah dan sistem bahasa isyarat agar mereka dapat menyampaikan ajaran Islam secara efektif dan segala maklumat berkenaan Islam kepada golongan orang pekak atau tuli ini.

Mereka juga perlu mencari alternatif dan mencipta sistem yang paling cekap untuk membantu golongan orang pekak di negara kita memahami dan mengenali Islam secara lebih teratur dalam pengamalan mereka seharian. Tugas ini bukan suatu yang boleh dipandang mudah memandangkan golongan orang pekak juga berhak kepada maklumat Islam seperti mana orang lain, dan sekiranya perkara ini diabaikan maka sudah tentu golongan ini akan jauh tertinggal dan keliru dengan Islam. Dalam surah al-Nahli, ayat 125, Allah s.w.t berfirman: "Serulah manusia ke jalan TuhanMu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik".

Menurut Fathi Yakan dalam buku beliau Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam (1987) menukilkan bahawa mengajak masyarakat untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam, menyuruh mereka berbuat baik dan melarang mereka berbuat yang tidak baik adalah kewajipan dalam agama Islam. Maka kita sebagai warga, yang berada dalam lingkungan medan Islam, seharusnya tegak membawa tugas itu memikulnya dengan segala kesungguhan, mengarahkan tenaga, serta waktu dan pemikiran kita. Dan inilah tugas utama bagi setiap pendakwah.

Di sini menunjukkan bahawa pendakwah perlulah melakukan tindakan drastik menguasai bahasa isyarat agar dakwah mereka lebih berkesan dan diterima oleh masyarakat pekak yang dikatakan mencecah 26,000 orang di negara kita. Golongan yang tidak berupaya ini mungkin hanya mampu melihat tetapi mereka tidak mampu mendengar yang menyebabkan mereka tidak dapat bertutur dengan sempurna, apatah lagi untuk membaca al-Quran yang mulia. Di samping itu dengan ketidakupayaan mereka juga tidak dapat membaca doa dan melakukan bacaan solat dengan baik.

Pengenalan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang merupakan bahasa standard golongan pekak di Malaysia dilihat dapat membantu dalam usaha dan misi dakwah ini. Namun begitu kita masih kurang dengan penerbitan buku-buku atau alat bantuan lain seperti DVD, VCD atau CD yang fokus dengan bahasa isyarat untuk tujuan dakwah di negara kita. Di samping itu, dengan ledakan ICT dan teknologi maklumat seperti internet juga masih kurang yang memfokuskan kepada bahasa isyarat berkenaan ajaran serta maklumat Islam sama ada di dalam atau di luar negara.

Realiti ini menuntut kepada kerjasama semua pihak untuk memperhebatkan lagi institusi komuniti orang pekak di Malaysia memandangkan ada di kalangan mereka yang beragama Islam dan jika kita mempunyai kemudahan yang lengkap di dalam pembangunan bahasa isyarat maka sudah tentu kita dapat menggunakan kelebihan tersebut untuk berdakwah kepada orang pekak yang bukan beragama Islam. Dinamika ini juga dapat diperluaskan kepada program dan kuliah di masjid, surau atau rancangan televisyen dan sebagainya.

Keadaan ini juga menjadikan misi dakwah di negara kita berjalan lebih lancar dan tidak mustahil juga kita dapat meningkat bilangan pendakwah di kalangan orang pekak sekiranya usaha dan inisiatif ini dapat direalisasikan segera. Bahan-bahan dakwah seperti buku, VCD, DVD dan lain-lain yang berkaitan bahasa isyarat Islam dapat membantu pendakwah di kalangan orang pekak melaksana usaha dakwah mereka sesama mereka dengan lebih baik lagi.

Oleh demikian, institusi agama seperti JAKIM, IKIM, YADIM dan lain-lain perlulah memainkan peranan penting dalam usaha murni ini dengan kerjasama NGO Islam seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta badan siasah lain merealisasikan penerbitan dan pengeluaran bahasa isyarat Islam sama ada bahan cetak atau elekronik yang pertama di negara kita dan mungkin juga yang pertama di kalangan negara Islam negara Islam lain.

Memandangkan Malaysia sebagai pengerusi OIC, maka amat wajar untuk menjuarai dan mendahului usaha dan inisiatif yang cukup bermanfaat ini kepada dunia Islam di mana sekiranya visi ini berjaya maka ianya adalah suatu khazanah umat Islam yang cukup menarik dan berharga. Di samping itu juga umat Islam dan semua negara Islam perlulah bersepakat dan mencari alternatif terbaik untuk mewujudkan satu sistem dan kaedah bahasa isyarat yang standard serta boleh diimplementasi oleh seluruh masyarakat Islam di dunia ini.

Jika ini berjaya maka sudah tentu umat dan negara Islam lebih dihormati oleh dunia luar serta ianya juga merupakan kaedah paling berkesan untuk menyampaikan Islam kepada komuniti orang pekak secara global. Kini dengan kecanggihan teknologi dan kemajuan internet, membolehkan kita secara optimum mengaplikasikannya bagi tujuan dakwah setanding dengan bahasa isyarat lain terutamanya Bahasa Isyarat British (BSL) dan Bahasa Isyarat Amerika (ASL) serta tidak mustahil bahasa isyarat Islam mampu menyaingi bahasa isyarat global ini pada masa hadapan.

Sebagai permulaan dalam usaha besar ini, maka semua sekolah agama, kolej agama dan universiti yang menyediakan program pengajian Islam perlulah mewajibkan semua pelajarnya mempelajari dan menguasai Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan seterusnya mendalami bahasa isyarat global lain serta berusaha mewujudkan sistem dan kaedah bahasa isyarat Islam pada masa hadapan. Oleh itu satu silibus khas berkenaan bahasa isyarat perlu dimasukkan di dalam sistem pengajian mereka dan mereka juga perlu melalui ujian praktikal berdakwah kepada golongan orang pekak sebagai satu kerja kursus di institusi pengajian tinggi (IPT).

Golongan ulama, pakar bahasa isyarat, pemikir Islam dan ahli akademik juga hendaklah turut berusaha mencari formula untuk mempertingkatkan lagi bahasa isyarat dan berusaha mewujudkan bahasa isyarat Islam di negara kita agar ajaran Islam yang sebenar tidaklah hanya eksklusif kepada masyarakat normal sahaja tetapi orang pekak juga berhak sama ada Islam atau bukan Islam untuk mengenali Islam secara lebih dekat lagi.

No comments: