E-Bisnes dan IKS

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) semakin berkembang dan merupakan tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negara. IKS dijangka mampu menjana pendapatan negara secara konsisten dan bertindak menjadi pengimbang kepada struktur ekonomi dan fiskal negara jika perjalanannya berada di landasan yang betul. Melihat kepada potensi dan pertumbuhan IKS di negara kita yang semakin kukuh dan berdaya maju, maka industri ini perlulah bersedia dan seiring dengan kepesatan teknologi semasa terutamanya medium e-bisnes.

E-Bisnes atau perniagaan secara elektronik kini semakin luas diaplikasikan di dalam urusniaga yang melibatkan IKS di seluruh negara terutamanya di negara-negara pesaing dan Malaysia juga tidak tertinggal di dalam aplikasi dan inovasi perniagaan ini. Jika sebelum ini peserta IKS tempatan yang menjalankan peniagaan secara kecil-kecilan menerusi kaedah jualan dan pemasaran tradisional seperti menjual dan memasarkan produk di kedai-kedai, pasar malam, pasaraya dan sebagainya, maka melalui kaedah e-bisnes, urusan penjualan dan pemasaran menjadi lebih mudah, efektif dan menjimatkan.

Kaedah e-Bisnes memerlukan seseorang itu mahir menggunakan komputer dan cekap melayari internet di mana segala produk yang ingin dipasarkan boleh dilakukan secara atas talian dan segala maklumat berkenaan produk tersebut dapat dimuat turunkan ke laman internet seperti laman web, blog, portal dan hub perniagaan yang kebanyakannya boleh didapati secara percuma tanpa sebarang kos dikenakan. Kemudahan internet ini memudahkan urusan pemasaran, jualan peserta IKS, dan melalui medium e-Bisnes juga peluang untuk memasarkan barangan secara global dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Melalui prasarana e-Bisnes, dari proses awal pemasaran, pengiklanan, penawaran sehingga kepada pembelian sesuatu produk atau perkhidmatan boleh dilakukan di atas talian di mana pembeli tidak perlu datang sendiri ke tempat atau lokasi produk dihasilkan malahan semuanya boleh dilakukan di hadapan komputer yang mempunyai capaian internet sahaja. Fenomena ini membuktikan bahawa dengan berbekalkan sebuah bilik kecil dan komputer yang mempunyai capaian internet, usahawan IKS kini boleh menjual produk hasil keluarannya kepada masyarakat dunia secara percuma, cepat dan menguntungkan.

Tambahan pula, dengan kemudahan bayaran secara atas talian yang terjamin dengan tahap keselamatan yang tinggi sama ada melalui aplikasi kad kredit, pindahan wang, arahan bank, e-wang dan sebagainya menjadikan e-Bisnes semakin menjadi trend urusniaga masa kini serta menjadi pilihan utama masyarakat moden hari ini sama ada di dalam dan lua negara. Realiti ini telah membuka peluang dan ruang yang luas dan tanpa sempadan kepada usahawan IKS bersaing di peringkat antarabangsa walaupun aplikasi e-Bisnes masih kurang sambutan di negara kita biarpun kita telah mempunyai prasarana berkelas dunia seperti Koridor Raya Multimedia (MSC) sejak sekian lama yang seiring dengan Wawasan 2020.

Pada tahun 1999, kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (Smidec) telah membangunkan talian elektronik yang dikenali sebagai MyBiz. MyBiz adalah saluran perdagangan elektronik (e-dagang) pertama yang disediakan khusus untuk membantu IKS tempatan bersaing dalam era digital. Syarikat IKS berpeluang menyertai perdagangan elektronik bagi memasarkan barangan serta menjalankan perniagaan menerusi internet menerusi penubuhan talian MyBiz.

Kelebihan dan keistimewaan e-Bisnes membolehkan pemain IKS di negara kita mendapat sasaran pelanggan dan pembeli dari seluruh dunia dan tidak terhad kepada pasaran tempatan sahaja. Oleh yang demikian, tidak mustahil melalui e-Bisnes peniaga dan pengusaha kecil-kecilan seperti produk keropok lekor, kerepek, belacan, kuih muih tempatan, kraftangan dan apa sahaja boleh dilakukan di atas talian dan seluruh dunia boleh mendapatkan produk tersebut tanpa perlu datang ke Malaysia. Kaedah ini secara tidak langsung mampu merancakkan lagi sektor IKS di negara kita dan dapat menyediakan peluang yang lebih luas kepada pasaran barangan tempatan dan tradisional di negara kita.

Dalam keadaan suasana kenaikan harga bahan mentah seperti minyak, tepung, gula dan sebagainya menyebabkan pengusaha IKS perlu mencari jalan dan alternatif untuk menjimatkan kos operasi sebaik mungkin dan dalam masa yang sama berusaha mencari peluang untuk meluaskan pasaran produk IKS yang diusahakan, maka jawapannya ialah kaedah e-Bisnes yang dapat membantu mereka jika mereka serius, komited dan berani menceburi e-Bisnes secara langsung walaupun inovasi ini masih terlalu baharu dan janggal di dalam dunia IKS negara.

Namun begitu, terdapat beberapa pemain IKS berskala besar sudahpun memulakan langkah mereka dalam e-Bisnes sebagai strategi meluaskan pasaran dan memperkukuhkan kedudukan mereka di pasaran tempatan dan dunia terutamanya usahawan dan syarikat IKS di kalangan bukan Bumiputera yang sudah melihat potensi aplikasi e-Bisnes. Setakat ini syarikat IKS berskala besar masih didominasi oleh bukan Bumiputera memandangkan usahawan kecil-kecilan IKS tempatan masih lagi belum bersedia terjun ke arena e-Bisnes secara serius.

Menurut Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), pertumbuhan IKS pada tahun 2007 adalah sekitar lima peratus sahaja dan optimis IKS akan bangkit kembali melonjak pasarannya pada tahun ini untuk menghasilkan satu keputusan yang lebih positif ekoran persaingan yang hebat seperti dari negara China, India danVietnam yang merupakan pemain IKS global dunia utama selain kekangan dan kerenah keterikatan dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dilihat boleh menjejas potensi IKS tempatan khususnya dan dunia amnya.

PPIPBM pada tahun ini mengunjurkan pertumbuhan IKS sehingga sepuluh peratus pada tahun ini memandangkan situasi terbaru perjalanan ekonomi negara yang begitu memberangsangkan. Oleh yang demikian, usahawan dan pengusaha IKS dianjurkan berani keluar dari kepompong dan cuba memasuki pasaran global serta meneroka peluang di luar negara, walaupun pasaran produk dan perkhidmatan IKS masih terhad sekitar lima peratus sahaja dan perlu dipertingkatkan lagi. Di sini menunjukkan medium e-Bisnes boleh memainkan peranan utama memandang prasarana ini boleh dibangunkan oleh usahawan dan pengusaha IKS secara yang lebih komprehensif serta mampu membawa produk mereka terus kepada pengguna dan pembeli.

Perubahan sikap dan anjakan paradigma ini perlu memandangkan pasaran global semakin berkembang luas dan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan IKS semakin meningkat dari semasa ke semasa terutamanya industri produk halal seperti ubatan, produk asas tani dan makanan di samping pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Pembangunan koridor ekonomi seperti ECER, NCER, WPI, SCOPE dan SDR mampu melonjak perkembangan IKS di negara kita di mana menjadikan pasarannya semakin luas dan meningkat melalui penyediaan sumber bahan mentah dan perkhidmatan.

Terdapat beberapa halangan IKS yang masih membelenggu usahawan IKS seperti mereka masih tidak bersedia menyediakan bekalan bagi permintaan luar negara yang semakin besar; kemudahan infrastruktur seperti kemudahan ICT seperti kemahiran komputer dan internet yang masih lemah, kurang pendedahan kepada pembangunan ICT; kualiti dan standard produk serta perkhidmatan yang masih di bawah piawaian pasaran luar; masalah modal dan pinjaman yang masih membelenggu usahawan IKS serta persedian mental dan sikap berani mengambil risiko dalam urus tadbir perniagaan secara e-Bisnes.

Walaupun bukan mudah untuk menembusi pasaran luar negara yang sudah matang, namun ruang masih terbuka sekiranya usahawan IKS bersedia mengambil inisiatif mengadakan pakatan strategik dengan pelabur-pelabur dari negara membangun bagi membuka peluang perniagaan baru melalui e-Bisnes yang semakin berkembang sekarang dan pada masa akan datang. Usahawan IKS juga perlu memperluas, meneroka dan berkongsi pengalaman serta kepakaran di antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perindustrian berasaskan kepada kekuatan dan kelebihan masing-masing untuk faedah dan kepentingan bersama.



Rujukan:


Moha Asri Abdullah. 1997. IKS di Malaysia - Tinjauan Terhadap Perkembangan Program Bantuan. Printmate Sdn.Bhd
Sektor IKS jangka kembali pulih, Utusan Malaysia, 18 Januari 2008

Comments

Popular Posts