KELAHIRAN SEMULA MASYARAKAT HERBA

Kecenderungan masyarakat masa kini kepada aplikasi herba di dalam kehidupan seharian dilihat mampu merancakkan lagi transformasi industri herba ekoran meningkatnya jumlah pengeluar produk yang berasaskan herba di negara kita. Pertumbuhan industri ini yang bagaikan cendawan selepas hujan telah memberi kesan yang besar kepada gaya pemakanan dan pengambilan makanan tambahan berasaskan herba oleh masyarakat kita dewasa ini.

Ini adalah berikutan jumlah permintaan terhadap produk berasaskan herba begitu tinggi dan semakin bertambah jumlah jualannya di pasaran tempatan di samping ada pengeluar yang sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Jika sebelum ini pengambilan herba hanya melibatkan masyarakat kampung dan luar bandar terutamanya di dalam perubatan tradisional dan amalan serta petua kesihatan warisan turun-temurun, namun dengan ledakan teknologi pemakanan bioteknologi telah menjadikan herba telah berjaya dikomersialkan dan dipertingkatkan lagi dengan ujian klinikal bagi menguji keberkesanannya.

Malaysia sebenarnya kaya dengan pelbagai jenis herba dan dianggarkan hampir 2,000 spesies tumbuhan perubatan dan herba yang berpotensi untuk dibangunkan serta mempunyai nilai komersial dan kualiti perubatan yang tinggi. Namun begitu dilaporkan hanya 300 spesies sahaja setakat ini yang baru diterokai dan dipertingkatkan dalam industri herba di negara kita dan masih banyak lagi potensi herba yang boleh diketengahkan dalam proses pembuatan atau penghasilan makanan dan minuman kesihatan dalam bentuk kopi, teh dan sebagainya; produk farmaseutikal dan perubatan moden; produk kosmetik; ubatan tradisional; bahan perantara dan lain-lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih kurang 80 peratus penduduk dunia bergantung kepada perubatan tradisonal dan herba sejak sekian lama untuk tujuan pemulihan, rawatan dan penjagaan kesihatan. China, India dan Afrika terkenal sebagai negara herba dan pengamal perubatan alternatif di mana kumpulan negara ini adalah antara pengeluar dan pengguna terbesar rawatan dan produk herba di dunia. Dengan jumlah rakyatnya yang ramai dan miskin, menjadikan produk herba dan rawatan tradisional berkembang pesat dan menjadi pilihan utama kerana kos serta harganya yang murah dan mudah didapati berbanding perubatan moden.

Trend pengambilan perubatan tradisional dan herba juga turut mempengaruhi sebahagian besar masyarakat negara maju seperti di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah melihat kepada khasiat, keberkesanan dan kualiti produk herba ini dianggap hebat dan setanding perubatan moden dalam usaha rawatan dan pemulihan pelbagai penyakit. Masyarakat moden hari ini lebih gemar memilih perubatan alternatif dan bebas bahan kimia sebagai gaya hidup baru dalam penjagaan diri dan kesihatan ekoran tahap kesedaran yang semakin tinggi terhadap bahaya bahan kimia dan kesan jangka panjang yang bakal ditanggung oleh seseorang.

Potensi dan prospek yang besar di dalam industri herba telah memberi peluang dan ruang yang besar kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan petani, peladang, usahawan, siswazah dan siapa yang yang berminat untuk menceburinya secara serius, di mana industri ini mampu menjanjikan pulangan yang besar dan berdaya saing di peringkat global. Setakat ini pengusaha industri herba kebanyakannya dari industri kecil dan sederhana (IKS) dan usaha untuk memperluaskan pemasaran produk herba sedang giat dilakukan.

Pada tahun 2006, nilai pasaran herba meningkat 15 hingga 20 peratus kepada lebih RM4bilion, di mana sebahagian besarnya masih dimonopoli oleh produk herba yang diimport. Manakala eksport produk herba tempatan pada tahun 2007 meningkat kepada RM5b iaitu meningkat 25 peratus melibatkan lebih 140 syarikat bioteknologi tempatan. Oleh itu, dalam usaha kerajaan memperkasakan sektor pertanian negara sebagai platform perniagaan yang menguntungkan, maka pemain industri herba bolehlah berperanan secara aktif dalam meningkatkan jumlah tanaman, pengeluaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) herba dengan bantuan institusi pengajian tingga awam (IPTA) dan dana bantuan kerajaan bagi memastikan industri mampu berkembang seiring dengan negara herba lain.

Dalam keadaan industri ini semakin berkembang maju, ada juga yang cuba mengambil kesempatan dengan menipu dan memperdaya pengguna untuk menarik perhatian mereka membeli produk yang dikeluarkan dengan pelbagai dakwaan palsu dan tidak munasabah seperti boleh menyembuh penyakit HIV/AIDS, barah dan sebagainya di mana dilihat agak keterlaluan dan tidak beretika.

Ketika ini juga munculnya pelbagai jenis produk kopi herba yang boleh merangsang tenaga seks di serata tempat dan pengeluarnya pula berlumba-lumba untuk mempertingkatkan kepelbagaian kandungan herba sehingga mencecah berbelas-belas jenis herba dalam satu peket kopi yang menimbulkan pelbagai pertanyaan berkenaan kebenaran dan keberhasilannya. Oleh demikian, pemantauan dan pengawasan yang ketat oleh pihak berkuasa perlu dipertingkatkan agar pengguna tidak mudah ditipu melalui iklan atau promosi yang hebat dilakukan.

Dalam perkembangan semasa di mana hutan dan taman herba yang sedang diusahakan oleh kerajaan Negeri Selangor dalam skala besar, diikuti inisiatif beberapa negeri seperti Perlis, Perak dan lain-lain lagi telah menunjukkan keberkesanannya dalam menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan pembangunan sosio ekonomi rakyat di negara kita. Di samping itu juga industri ini dalam masa yang sama dapat memulihara kualiti alam sekitar, kepelbagaian biologi, mengurangkan kerosakan akibat banjir dan hakisan sungai serta aktiviti pertanian lain sekiranya industri ini dilaksanakan secara sistematik dan terancang.


Rujukan:

Mampu Berikan Pendapatan Lumayan, Utusan Malaysia, 19 Mei 2006
Pasaran Herba RM4b Dimonopoli Produk Asing, Utusan Malaysia, 17 Julai 2006
Eksport Produk Bioteknologi RM5 Bilion, Utusan Malaysia, 7 Ogos 2006
Selangor Bakal Pengeluar Herba, Berita Harian, 6 September 2006
Khasiat Perubatan Daripada Tumbuhan Tempatan, Utusan Malaysia, 11 Disember 2004
Bantu Eksport Herba Tempatan, Utusan Malaysia, 11 April 2003

Comments

Popular Posts