Sunday, March 30, 2008

SEJARAH AWAL TRANSFORMASI PERTANIAN DI MALAYSIA

Pertanian adalah antara sektor penjanaan ekonomi tertua dunia dan terpenting sehingga ke hari ini. Negara-negara maju di Barat tetap meletakkan bidang pertanian sebagai antara keutamaan di dalam urusan pentadbiran ekonomi negara mereka. Malaysia turut tidak ketinggalan dalam transformasi sektor berdaya maju ini dan negara adalah antara negara pertanian utama di rantau ini suatu ketika dahulu.

Menurut Dr. Amarjit Kaur dalam makalah beliau Semenanjung Tanah Melayu Pada Abad Ke-19: Suatu Tinjauan Ekonomi (1991) menyatakan abad ke-19 merupakan titik perubahan dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu. Ia menandakan kemasukan negeri-negeri Melayu ke dalam sistem kapitalis dan kemudiannya menjadi pembekal kepada pemodal antarabangsa dan British.

Sekitar tahun 1820an, Semenanjung Tanah Melayu terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertanian dan kelautan. Dalam bahagian pertanian, yang terdiri daripada negeri Kedah, Perak, Patani dan Terengganu, terdapat penduduk yang bergantung tetap pada pertanian. Di samping pertanian, mereka turut terlibat di dalam bidang perikanan dan perdagangan. Kedatangan Inggeris telah mewujudkan ekonomi penjajahan di Tanah Melayu.

Pada abad ke-19, kegiatan utama masyarakat Melayu ialah pertanian yang diusahakan dalam dua bentuk tanaman iaitu huma dan sawah. Tanaman huma melibatkan pembersihan hutan untuk satu atau dua musim tanaman; kemudiannya ditinggalkan menjadi hutan semula. Tanaman sawah atau bendang pula melibatkan tanaman padi dan sayur-sayuran serta pokok buah-buahan di kawasan tanah yang berhampiran.

Delta besar dan subur di Kedah mempunyai sejarah awal petempatan petani yang berasaskan tanaman sawah. Keperluan petani adalah sederhana dan mereka menitikberatkan keperluan asas. Ekonomi masyarakat ketika itu adalah berasaskan sara diri. Kegiatan asas pertanian adalah tanaman padi. Tidak semua negeri menghasilkan lebihan. Hanya kawasan lembah yang subur berupaya mengeksport beras ke negara jiran.

Kedah umpamanya membekalkan beras ke Pulau Pinangdan negeri-negeri jiran. Pada suatu ketika, Kedah mengeksport 2,000 koyan beras ke Pulau Pinang, tetapi selepas tahun 1820 eksportnya jatuh kira-kira 100 koyan padi dan 50 koyan beras. Ketika lawatan Frank Swettenham ke Kedah pada tahun 1889, beliau menyatakan bahawa sawah padi di negeri itu adalah lebih luas berbanding negeri lain di Semenanjung.

Tentang kepentingan beras dalam ekonomi Kedah bukan sahaja boleh dilihat dari segi keaktifan perdagangan eksportnya ke negeri-negeri jiran, tetapi turut termaktub di dalam Undang-Undang Kedah sendiri. Daripada empat kanun, dua secara langsung mencerminkan tumpuan kepada pertanian negeri. Kanun kedua iaitu Undang-Undang Datuk Seri Paduka Tuan 1667 menyentuh tentang pelbagai aspek pertanian, khususnya mengenai tanaman padi sawah di samping pembinaan terusan untuk tujuan pengairan.

Pada tahun 1837, Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dalam bukunya Kisah Pelayaran Abdullah menyebut bahawa tanaman padi di Kelantan bukan sahaja untuk keperluan dalam negeri tetapi juga dieksport ke Singapura. Petani juga menternak binatang dan dieksport terus ke Singapura dan Thailand. Negeri-negeri lain yang turut menjadi negeri pengeksport pada abad ke-19 ialah Perak dan Terengganu.

Sehingga pertengahan adab ke-19, Selangor mempunyai bekalan beras yang banyak dan tidak perlu mengimportnya. Pencapaian ini adalah usaha pemerintah Sultan Muhammad (1826-1857) yang mewajibkan rakyatnya menanam padi. Namun begitu, perang saudara yang meletus pada tahun 1866 sehingga 1873 mengakibatkan kerosakan sawah padi dan kehilangan besar nyawa yang membawa kepada kemerosotan pengeluaran padi di negeri tersebut ketika itu.

Untuk menambah sumber makanan, masyarakat ketika itu menternak ayam itik, menanam pokok buah-buahan dan tanaman lain di dusun mereka seperti pisang, ubi kayu, tebu, kelapa dan pinang. Selain kebun buah-buahan dan tanaman sayur-sayuran, tanaman dagangan juga diusahakan tetapi lebih dimonopoli oleh bukan Melayu di mana di Kedah, tanaman ubi kayu diusahakan oleh orang Cina yang diusahakan di sekitar kawasan perlombongan.

Di Terengganu pula, tanaman lada hitam diusaha dan dimonopoli oleh orang Cina. Keadaan yang sama berlaku di Johor apabila Maharaja Abu Bakar (1862-1895) menjemput petani Cina dari Singapura untuk mengusahakan tanaman lada hitam dan gambir di bawah Sistem Kangcu. Pada umumnya, bentuk asas sistem tanah orang Melayu pada abad ke-19 adalah sebagai faktor pengeluaran ekonomi sara diri dan bukan sebagai barangan untuk dijual atau ditukarkan.

Ini adalah ekoran beberapa masalah seperti kurangnya tenaga kerja buruh ketika itu di samping ketiadaan ternakan dalam negeri yang membolehkan kerja-kerja pembajakan dapat dilaksanakan dengan cekap. Lembu hanya mula menjadi penting apabila adanya pengenalan kereta lembu ekoran kepesatan perlombongan bijih timah pada suku akhir abad ke-19. Di samping itu beban kerja kerah yang dituntut oleh pemerintah di dalam sektor perlombongan menyebabkan masa mereka untuk mengusahakan bidang pertanian semakin terhad.

Malahan penguatkuasaan sistem tradisional pungutan cukai tanaman yang tinggi iaitu sehingga sepersepuluh daripada hasil mereka kepada pembesar tempatan membantut minat rakyat untuk menceburi sektor pertanian pada abad itu. Di samping itu juga, rakyat bimbang bahawa hasil tanaman yang lebih hanya mendorong pembesar menjadi tamak dan membuat tuntutan yang berlebihan pula.

Melihat kepada sejarah awal transformasi pertanian di negara kita maka dapatlah difahami bahawa sektor ini bukanlah baru malahan merupakan sumber ekonomi utama masyarakat dahulu dan sekarang. Pertanian akan kekal menjadi nadi penggerak kepada negara dan usaha kerajaan untuk menjadikan sektor ini sebagai perniagaan yang amat menguntungkan perlu mendapat kerjasama dan penglibatan daripada semua pihak.

RUJUKAN

Dr. Amarjit Kaur, 1991. Semenanjung Tanah Melayu Pada Abad Ke-19: Suatu Tinjauan Ekonomi. dlm. Masyarakat Melayu Abad Ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: