Friday, September 19, 2008

KESAN EKONOMI GLOBAL KEPADA MALAYSIA

Secara relatifnya, negara berjaya melalui pelbagai ujian baik dari segi politik, ekonomi dan sosial sejak 50 tahun lalu biarpun terpaksa melalui rencam halangan serta dugaan semasa yang sangat mencabar. Prestasi dan kedudukan ekonomi Malaysia tetap berada dalam keadaan memberangsangkan walaupun perkembangan semasa perdagangan antarabangsa, domestik dan pasaran saham agak kurang stabil sejak kebelakangan ini. Realiti ini adalah bersifat global dan bukan Malaysia sahaja yang merasainya bahkan merangkumi negara-negara maju dan membangun lain termasuklah Amerika Syarikat (AS) sendiri.

Sungguhpun begitu, ekonomi global diramal terus berkembang perlahan pada kadar 3.9 peratus pada 2009 berbanding 4.1 pada 2008 berikutan ketidaktentuan prospek pertumbuhan ekonomi AS berikutan krisis gadai janji subprima dan pasaran perumahan yang lemah di sana yang masih membelenggu dan memarahkan lagi keadaan fundamental ekonominya. Ini diburukkan lagi dengan pengumuman bankrap terhadap Lehman Brothers, bank pelaburan terbesar Amerika Syarikat (AS), ketika Rizab Persekutuan dan bank utama global mengambil langkah strategik mengukuhkan pasaran kewangan.

Pengumuman kerugian besar syarikat kewangan terkemuka seperti Merill Lynch dan American International Group Inc (AIG) menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap pasaran kewangan AS, sekali gus mempengaruhi sentimen di pasaran kewangan global. Dalam perkembangan berkaitan, usaha Bank of America membeli bank pelaburan Merril Lynch bernilai AS$50 bilion dalam satu urus niaga yang mewujudkan syarikat perkhidmatan kewangan terbesar dunia. Susulan pembelian itu, Bank of America akan memiliki pembrokeran terbesar di dunia dengan kira-kira 20,000 penasihat dan aset pelanggan bernilai AS$2.5 trilion. Di sini, apa yang berlaku di AS boleh memberi kesan dan tempiasan kepada ekonomi Malaysia memandangkan hubungan perdagangan sangat penting wujud sejak sekian lama.

Keadaan ini sudah tentu memberi tekanan kepada Malaysia biarpun secara amnya ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan melebihi jangkaan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 6.7 peratus dalam tempoh separuh pertama 2008. Pertumbuhan itu disokong kecergasan penggunaan awam dan swasta serta permintaan luar yang kukuh. Bagaimanapun, pertumbuhan ini dijangka perlahan bagi tempoh separuh kedua tahun ini berikutan persekitaran luar yang tidak menentu termasuklah harga minyak mentah yang masih tidak menentu dijangka memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan eksport, terutama bagi produk elektrik dan elektronik (E&E).

Dari sudut ekonomi domestik, tekanan inflasi akibat kenaikan harga minyak mentah sebelum ini dan peningkatan harga makanan dijangka memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna dan pelaburan dari mask e semasa. Meskipun berdepan cabaran ini, ekonomi negara diharapkan masih mampu terus memperoleh manfaat berikutan harga komoditi yang teguh serta pertumbuhan kukuh negara membangun dan negara ekonomi sedang berkembang pesat, justeru dapat mengurangkan kesan ekonomi global yang agak perlahan. Sehubungan itu, sektor perkhidmatan yang berpotensi tinggi untuk diterokai seperti kewangan, profesional dan perniagaan, pembinaan, pendidikan dan latihan serta pelancongan perlulah diperkemas serta dimantapkan lagi sewajarnya. Selain itu, perkhidmatan kesihatan, logistik dan perkhidmatan teknologi maklumat merupakan sektor yang dilihat dapat menyediakan peluang besar kepada syarikat-syarikat tempatan.

Ini adalah kerana, pertumbuhan ekonomi yang pesat dan berdaya maju membuka peluang besar kepada keuntungan syarikat meningkat, sekali gus meningkatkan perolehan kerajaan kerana melalui keuntungan tersebut, kerajaan mendapat hasil cukai yang lebih tinggi. Daripada perolehan cukai yang semakin tinggi ini, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat, menyediakan kemudahan awam, membasmi kemiskinan dan sebaginya. Oleh yang demikian, sektor industri terutamanya perlulah diperkasakan lagi memandangkan ianya menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat tempatan dalam usaha mengeluarkan hasil lebih tinggi dan bahan digunakan juga bertambah.

Hasil keluaran komoditi utama negara juga perlu dipertingkatkan seperti jumlah keluaran minyak sawit mentah dan getah yang harganya kini melonjak tinggi dan memberi pulangan lumayan kepada penanam serta penoreh sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Di samping itu, industri pelancaongan negara juga wajar dipertingkatkan kerana ianya turut menyumbangkan kepada pendapatan negara. Pada tahun 2007, menyaksikan kedatangan lebih 20 juta pelancong asing ke Malaysia dengan meraih hasil bernilai RM46.7 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 dan secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan sektor perkhidmatan negara termasuk perhotelan, kraftangan, seni halus, perniagaan runcit, restoran, kewangan dan sebagainya.

Pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), koridor ekonomi dan sistem penyampaian mestilah diperbaiki dan dipertingkatkan agar dapat memberi kesan positif jangka panjang kepada ekonomi negara. Tahap keyakinan pelabur asing ke negara kita hendaklah berada pada tahap yang tinggi biarpun terpaksa berhadapan dengan tekanan politik dalaman dan dalam hal ini pelabur tidak akan mengambil risiko kewangan untuk melabur sekiranya mereka tidak yakin dengan kerajaan yang ada dan wujudnya ketidakstabilan politik. Oleh itu, usaha dan tindakan pantas menarik serta meningkatkan keyakinan pelabur perlu dipergiatkan lagi dari masa ke semasa. Setakat ini negara juga berdepan dengan kelebihan negara membangun lain seperti China, Vietnam, India, Thailand, Indonesia dan sebagainya yang dilihat saingan utama kepada negara.

Menurut Tan Sri G. Gnanalingam, Pengerusi Eksekutif Wesports bahawa selepas mengalami pembangunan kira-kira 50 tahun, kita boleh menyatakan bahawa negara ini memiliki salah satu infrastruktur yang terbaik di dunia di segi jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan malah Koridor Raya Multimedia. Kerajaan telah melakukan banyak usaha agar setiap rakyat memiliki sebuah rumah, setiap murid mempunyai mejanya sendiri di sekolah, setiap pesakit di hospital mempunyai katilnya sendiri dan malah negara ini menyediakan pekerjaan bagi setiap 2.5 juta pekerja asing di samping pendapatan negara diagihkan kepada rakyat dalam bentuk penyediaan peluang pekerjaan, kemudahan awam yang lebih baik termasuklah pendidikan, kesihatan, perumahan dan sebagainya.
.
Sambil ekonomi negara telah berkembang sejak 50 tahun lepas pada kadar 6.0 hingga 8.0 peratus setahun, pemberian upah di negara ini dikatakan tidak sepadan dengan pertumbuhan sedemikian memandangkan kebanyakan syarikat sektor swasta di sini masih lagi membayar upah kepada pekerja yang bertaraf dunia ketiga. Sejak 50 tahun lepas, pembayaran upah di Singapura telah meningkat 7.5 kali daripada upah di Malaysia dan secara perbandingannya, pendapatan rakyat di Hong Kong lebih tinggi dari di Singapura dan rakyat Jepun menerima pendapatan lebih dari rakyat Hong Kong. Ini penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana melibatkan prestasi dan produktiviti pekerja di negara kita.

Adalah diharapkan pelan dan formula peralihan kuasa yang mungkin akan dipercepatkan di antara Perdana Menteri dan timbalannya seperti mana yang telah dipersetujui dan pertukaran portfolio yang melihatkan perlantikan Menteri Kewangan 1 yang baru serta penurunan harga minyak yang dijangka bakal dilakukan sebelum hari raya Aidilfitri ini diharapkan mampu merangsang dan memacu ekonomi negara di landasan yang betul. Rakyat menaruh kepercayaan yang tinggi serta berharap agar kerajaan dapat melakukan sesuatu agar kestabilan ekonomi, politik dan sosial di dalam negara kekal berada pada tahap yang terbaik dan kukuh pada masa hadapan.


RUJUKAN

KLCI susut bawah 1,000 mata, Berita Harian, 19 September 2008
Malaysia kurang terjejas krisis kewangan AS, 19 September 2008
Ekonomi negara tetap kukuh, 19 September 2008
Bank pelaburan Amerika bankrap, Berita Harian, 16 September 2008
'Infrastruktur kelas pertama, upah dunia ke-3', Utusan Malaysia, 15 September 2008
Kenapa masih tidak yakin?, Mingguan Malaysia, 25 Februari 2007
Tahun Melawat Malaysia raih RM46.7b, Utusan Malasyia, 18 Februari 2008

Laman web:
http://www.bharian.com.my/klikkhas/bajet/Artikel2009/LaporanEkonomi/20080829164959/Article/
http://www.bharian.com.my/klikkhas/bajet/Seksyen/index_html?mysec=LaporanEkonomi

No comments: