JALAN RAYA BUKAN LEBUH MAUT
Dari segi sejarah, kemalangan maut di jalan raya yang pertama di dunia dilaporkan berlaku pada 17 Ogos 1896 membabitkan seorang mangsa nahas bernama Briget Driscoll yang berumur 44 tahun di sekitar Crystal Palace, London di mana dalam kemalangan tragis tersebut sebuah kereta didapati telah memecut melebihi had laju iaitu lapan batu sejam atau 12.8 kilometer sejam berbanding had laju dibenarkan iaitu empat batu sejam sahaja yang menyebabkan berlakunya kemalangan pertama direkodkan dalam sejarah. Walaupun malang memang tidak berbau dan adalah sesuatu yang mustahil untuk kita mencapai kemalangan sifar, namun perkara tersebut boleh dielakkan jika semua pihak berhati-hati dan berwaspada ketika memandu di jalan raya.
Sesungguhnya, jalan raya bukanlah lebuh maut yang meragut nyawa ramai orang yang tidak berdosa. Nahas kemalangan jalan raya kronik dan statistik kemalangan maut yang tinggi begitu sinonim dengan setiap kali tiba musim perayaan di negara kita. Walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dijalankan untuk membendung masalah ini, namun impaknya masih berada di takuk lama dan membimbangkan. Lantaran itu, Ops Sikap 17 khas sempena sambutan musim perayaan Aidilfitri tahun ini selama 15 hari telah bermula dan akan berakhir 8 Oktober ini telah dilancarkan serentak di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan membendung kemalangan maut. Ops Sikap kali ini akan menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan penguatkuasaan kreatif dengan menekankan lima aspek utama bagi menangani peningkatan nahas jalan raya pada musim perayaan.
Sehubungan itu, aspek pertama yang akan diberi penekanan ialah nasihat seperti mengajar pengguna jalan raya menggunakan topi keledar selain tindakan saman sebagai pengajaran. Aspek kedua pula, memberikan maklumat trafik pada waktu puncak dan selesa untuk perjalanan dan aspek ketiga, menekankan perubahan sikap pengguna yang hanya mematuhi peraturan jika ada polis. Manakala aspek keempat pula, memberi fokus kepada kawasan yang sering berlaku kemalangan dengan mengambil tindakan sewajarnya dan aspek kelima, meletakkan papan tanda yang jelas untuk peringatan kepada pemandu seperti Zon Perangkap Had Laju dan di samping itu juga, seperti mana sebelum ini, pihak polis akan terus membuat pemantauan bas secara penyamaran, rondaan seluruh negara di kawasan kemalangan, pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan pemantauan melalui 19 menara pemerhati polis.
Dilaporkan seramai 20 orang maut akibat kemalangan jalan raya dalam 15 kemalangan di seluruh negara pada hari pertama Ops Sikap 13 tahun lepas. Pada hari pertama Ops Sikap 11 pula sebanyak 1,042 kemalangan jalan raya dengan 16 kemalangan maut dicatatkan di seluruh negara. Manakala pada hari pertama, Ops Sikap 12 pula sebanyak 25 kematian dicatatkan dalam 921 kemalangan jalan raya di seluruh negara. Secara keseluruhannya Ops Sikap menunjukkan jumlah kematian dan statistik kemalangan yang tinggi hampir setiap tahun. Pada tahun 2004, 200 kematian dicatatkan; 2005 (233 kematian), 2006 (228 kematian). Dalam Ops Sikap 10, jumlah kemalangan yang dicatatkan di lebuh raya sebanyak 76, jalan persekutuan 220, jalan negeri 160 manakala jalan bandaran mencatat 474 kemalangan.
Oleh yang demikian, bagi mengelak berlakunya kemalangan nahas jalanraya maka beberapa langkah awal perlu dilakukan. Antaranya ialah merancang perjalanan dan dapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan sesuatu perjalanan jauh seperti balik kampung. Pemeriksaan kenderaan penting sebelum bertolak dan simpan alat bantuan kecemasan di dalam kenderaan bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku sepanjang di jalan raya. Di samping itu simpan air dan minyak hitam tambahan di dalam kenderaan serta pastikan tayar gantian mempunyai angin yang mencukupi dan servis kenderaan tepat pada masanya atau sebelum memulakan sesuatu perjalanan jauh.
Jangan memandu secara berbahaya dan berikan sepenuh tumpuan ketika memandu. Jangan makan, minum atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan jangan memandu lebih daripada dua jam tanpa henti. Kongsi pemanduan amatlah digalakkan serta sentiasa mengikut had laju yang telah ditetapkan dengan memberikan konsentrasi yang lebih ketika memandu. Apa yang penting ialah bersabar dalam apa jua keadaan. Ketika memandu elakkan memotong barisan apabila beratur dan pastikan tidak terus memasuki lorong memotong apabila memasuki laluan utama dari jalan susur. Jangan berhenti di lorong kecemasan dan pandu di lorong kiri jika tidak memotong. Sifat berhemah, bertimbang rasa dan menghormati orang lain amat penting ketika berada di jalan raya bagi mengelak sebarang kecelakaan berlaku.
Oleh itu, statistik kemalangan maut yang tinggi di negara kita perlu ditangani dengan penuh bijaksana kerana ia melibatkan banyak nyawa terkorban serta mengakibatkan kecederaan dan hilang keupayaan serta banyak harta benda yang musnah. Keadaan ini mengakibatkan kerugian kepada pengguna dan kerajaan yang boleh menjejaskan ekonomi negara di mana kerajaan terpaksa menaik taraf jalan raya, kemudahan awam, di samping kehilangan modal insan berpotensi dan sebagainya. Situasi kemalangan yang tidak terkawal dan menakutkan juga boleh menjejaskan imej negara di kalangan masyarakat antarabangsa dan negara serantau. Oleh demikian, adalah diharapkan Ops Sikap kali ini mencapai objektifnya disamping memastikan aliran trafik lancar dan selamat, pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang dengan sempurna dan mengurangkan jumlah kemalangan ke tahap yang paling minimum pada musim perayaan kali ini.
RUJUKAN
Tip Pemanduan Selamat ( Kementerian Kerja Raya )
Ops Sikap ke-17 bermula di seluruh negara, Utusan Malaysia, 24 September 2008
5 pendekatan kreatif didik pemandu, Berita Harian, 24 September 2008
“Ops Sikap 13: 20 maut dalam 15 nahas pada hari pertama”, Utusan Malaysia, 8 Oktober 2007
“Pertolongan cemas kemalangan jalan raya - Penentu jangka hayat mangsa”, Utusan Malaysia, 7 Oktober 2007
Comments