RAMADHAN LANDASAN IBADAH

Ramadhan saban tahun datang dengan penuh rahmat dan berkat. Kecil besar, tua muda dan miskin kaya akan merasai nikmat serta kehebatan ganjaran beribadah di bulan Ramadhan yang tiada sempadan ini. Ini adalah kerana, di samping disyariatkan berpuasa selama sebulan, umat Islam digalakkan meningkatkan tahap dan kapasiti ibadah wajib dan sunat pada tahap maksima serta tidak perlu berlengah lagi.

Dengan janji ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dan pintu keampunan yang terbuka luas, maka di bulan inilah peluang terbaik bagi umat Islam merebut kesempatan bersedekah sebanyak mungkin, berzakat kepada yang memerlukan, bertadarus dan khatam al-Quran, berzikir, beristikhfar, bertarawih, beriktikaf di masjid dan lain-lain sebagai tanda mendampingi dan meraikan Ramadhan yang hanya sekadar sebulan ini.

Di samping itu, amalan berbentuk kemanusiaan juga perlu diperluaskan seperti memuliakan anak-anak yatim dan mengembirakan orang fakir dan miskin sepanjang bulan Ramadhan adalah sangat terpuji dan amat digalakkan. Oleh itu, anjuran majlis berbuka dan bersahur kepada golongan ini perlu diteruskan dan trend membawa mereka berbuka puasa dan bersahur di tempat-tempat yang eksklusif dapatlah sekurang-kurangnya mengirangkan hati mereka dan boleh merasa makanan mewah yang jarang ditemui mereka pada waktu biasa.

Ramadhan turut mengajar kita erti insan dan keinsanan di mana di saat kita kekenyangan dengan makanan yang melimpah ruah, perlulah kita ingatkan mereka yang tidak mampu dan sekadar makan apa yang ada. Manakala di kala kita berbuka secara ala carte, mereka berbuka ala kadar sahaja. Oleh demikian, sikap suka membazir, boros dan membeli juadah berbuka secara berlebihan hendaklah dihentikan agar falsafah puasa dapat direalisasikan dengan jayanya.

Selanjutnya, amat rugi jika kita masih alpa, lalai dan disibukkan dengan aktiviti rutin harian biarpun sudah lebih seminggu kita berpuasa yang meyebabkan kita terlepas peluang serta pakej ibadah yang cukup istimewa ini memandangkan Ramadhan hanya datang setahun sekali sahaja. Dan pada tahun hadapan belum tentu kita akan bertemu lagi dengan bulan khas yang disediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini.

Biarpun kita mungkin dibebani dengan beban tugas dan tanggungjawab lain, namun di kesempatan Ramadhan kali ini perlu diberikan keutamaan serta merancang jadual dan tentatif kerja harian sebaik mungkin agar tidak mengganggu program ihya Ramadhan kita yang sepatutnya diurus lebih awal. Sehebat dan sebijak mana kita mengurus syarikat dan perusahaan, maka begitulah juga pengurusan dan pentadbiran ihya Ramadhan yang mesti lebih diutamakan.

Dalam pada itu, organisasi dan majikan Islam dan bukan Islam juga perlu peka serta prihatin dengan pengisian Ramadhan di tempat kerja iaitu dengan menyediakan aktiviti dan program khusus bagi memudahkan para pekerja melaksanakan ibadah wajib dan sunat seperti majlis berbuka dan bersahur, kemudahan bertarawih, waktu senggang untuk membaca al-Quran, majlis tazkirah Ramadhan dan sebagainya.

Secara simboliknya, Ramadhan adalah institusi yang mampu menjana keperibadian mulia dan modal insan yang berakhlak tinggi serta melatih setiap individu menjadi muslim sejati dalam apa jua perkara yang dilakukan. Segala pantang larang ketika berpuasa sebenarnya mempunyai hikmah yang tersendiri dan merupakan medan kekuatan serta persiapan kepada seseorang untuk berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan dalam hidup.

Comments

Popular Posts