OBAMA DAN WAJAH BARU AMERIKA SYARIKAT

Abstrak

Majoriti rakyat Amerika Syarikat (AS) percaya calon Demokrat, Barack Obama, 46, seorang peguam muda akan menang dalam pilihan raya Presiden menentang calon Republikan, John McCain, seorang negarawan AS November ini. Tinjauan oleh Fox News menunjukkan, ketika 51 peratus berharap Obama, yang cuba menjadi Presiden kulit hitam pertama, akan memang dalam pilihan raya itu, cuma 27 peratus bertaruh atas kemenangan McCain. Pengundi berdaftar sebagai Demokrat lebih yakin mengenai peluang calon mereka berbanding pengundi Republikan dengan 71 peratus anggota Demokrat melihat kemenangan Obama pada 4 November ini manakala 51 peratus Republikan percaya McCain akan menang. Satu dalam empat anggota Republikan yakin Obama akan menggantikan Presiden George W. Bush manakala 47 peratus rakyat Amerika percaya Obama, yang merupakan senator Illinois, akan menang pilihan raya berbanding 32 peratus untuk McCain, senator Arizona berusia 71 tahun itu. Walaupun ramai rakyat Amerika meramalkan kemenangan Obama, persaingan mereka berdua masih sengit dan menarik perhatian dunia untuk mengikuti perkembangannya.

Pengenalan

Menurut Shakila Yacob (2005), dalam usaha untuk muncul sebagai kuasa besar seperti hari ini, AS pernah dijajah dan menjajah. Sejarah awal AS mempamerkan satu isu penting yang memainkan peranan utama dalam membentuk keperibadian dan kenegaraan AS. Isu itu adalah berhubung dengan perselisihan antara koloni dengan bekas penjajah mereka, Britain secara khusus atau Eropah secara keseluruhannya. Pembentukan negara baru AS bermula selepas berjaya dalam perjuangan kebebasan semasa Perang Kemerdekaan pada tahun 1776. Kejayaan itu dianggap sebagai bukti keagungan tamadun AS dan mengukuhkan lagi semangat rakyatnya untuk mengasingkan diri daripada tamadun Eropah yang dianggap boleh meruntuhkan keperibadian mereka.

Negara AS berjaya memperoleh kemerdekaan tetapi malangnya tidak ada perpaduan atau penyatuan di antara 13 negeri. Selepas AS terbentuk, ia muncul sebagai negara terawal mengamalkan demokrasi dalam dunia yang diperintah oleh monarki. Selepas menandatangani Perjanjian Keamanan Paris pada tahun 1783, AS mempunyai tempat sah di kalangan negara merdeka di dunia. Dan sejak itu, cabaran demi cabaran ditempuhi, AS berjaya melaluinya dengan menjadikan sejarah sebagai landasan serta teladan untuk membolehkannya bangkit. Pendek kata, AS mempunyai sejarah tersendiri sebelum unggul pada abda ke-20 sebagai sebuah kuasa besar dunia.

Proses demokrasi empat tahun sekali AS kali ini penuh sejarah apabila disertai Obama dalam perlumbaan Presiden, merupakan calon kulit hitam yang mendapat sokongan masyarakat global. Menurut Razak Rashid Ghows (2008), Obama yang juga seorang senator kulit hitam kelima di negara berkenaan menjanjikan perubahan dan kelainan daripada zaman Bush dan Clinton, jika beliau dipilih partinya untuk menjadi calon Demokrat menentang calon Republikan. Pada Januari atau Februari 2009 kelak bakal melihatkan sama ada calon kulit hitam dari parti Demokrat ataupun calon lain dari Republikan yang menduduki kerusi nombor satu di Rumah Putih ditentukan melalui pelbagai peringkat proses pemilihan sepanjang tahun ini sehingga November depan.

Masa Hadapan Negara Jajahan AS

Obama, dalam siri kempen beliau konsisten berjanji akan mengeluarkan tentera negaranya dari Iraq pada pertengahan 2010 tetapi sebagainya alternatif akan menempatkan pasukan khas untuk terus menentang pejuang al-Qaeda di negara itu. Beliau turut berjanji tidak akan mewujudkan pangkalan tetap tentera Amerika di Iraq sekiranya dipilih menjadi Presiden, November depan.

“Seperti yang saya kata banyak kali sebelum ini, kita mesti keluar dari Iraq dengan teliti kerana kita memasukinya dengan penuh cuai,” kata Obama dalam keterangan bertulis kepada akhbar The New York Times.

AS hanya akan menempatkan semula pasukan tentera khas di Iraq selepas semua askar dikeluarkan dari negara itu dalam masa 16 bulan selepas dia dipilih menerajui kerajaan pada Januari atau Februari 2009 ini. Ia akan dilakukan pada musim panas 2010, dua tahun dari sekarang dan lebih tujuh tahun selepas peperangan dimulakan; selepas penempatan semula, pasukan khas di Iraq ini hanya akan melakukan misi terhad seperti memburu pejuang al-Qaeda di Mesopotamia, melindungi petugas AS dan jika keadaan politik di Iraq bertambah baik, pasukan ini akan melatih pasukan keselamatan Iraq.

Pasukan khas AS itu dirancang ditempatkan semula di kawasan selamat di Iraq terlebih dulu sebelum ke wilayah bergolak. Calon Rumah Putih itu yakin beliau akan berunding dengan komander perang dan kerajaan Iraq bagi melaksanakan strateginya itu dan akan melakukan beberapa ‘perubahan taktik’ jika diperlukan. Obama turut berjanji akan meneruskan tekanan diplomatik terhadap setiap negeri di wilayah itu bagi memastikan Iraq kembali stabil selain menyumbang AS$2 bilion (RM6.6 bilion) sebagai usaha antarabangsa bagi menyokong pelarian Iraq.

Pesaing beliau, John McCain merupakan penyokong kuat perang Iraq dan pada pilihan raya Presiden November ini sudah pasti lebih tertumpu kepada masa depan askar AS di Iraq. McCain dan Obama bertelagah mengenai peranan negara ini di Iraq di mana McCain sering mempersoalkan penilaian pesaingnya mengenai kedudukan tentera di Iraq dan pada masa yang sama, Obama mengemukakan strategi baru bagi meningkatkan kehadiran tentera di Afghanistan. Obama yang merupakan pengkritik utama perang global, mempertahankan penentangannya terhadap tindakan Presiden George W. Bush menambah anggota tentera di Iraq dan mengulangi gesaan jadual pengunduran tentera selama 16 bulan jika beliau dipilih sebagai Presiden.

“Menamatkan perang merupakan asas kepada mencapai matlamat strategik yang lebih luas, bermula di Afghanistan dan Pakistan, tempat selamat bagi Taliban dan Al-Qaeda,” tulis Obama dalam akhbar The New York Times.

Sehubungan itu, McCain dalam perkara ini mengambil peluang menyindir Obama dengan kata: “Amat menakjubkan bagi seorang yang tidak memiliki pengalaman atau latar belakang ketenteraan untuk mengeluarkan cadangan itu tanpa berunding dengan panglima tentera Amerika di Iraq, Jeneral David Petraeus, terlebih dulu.”
McCain yang pernah menjadi juruterbang tentera ketika Perang Vietnam dan menjadi tahanan perang selama lima tahun berpendapat, rancangan Obama untuk mengeluarkan tentera Amerika dari Iraq dalam tempoh 16 bulan selepas menjadi Presiden adalah resipi untuk kekalahan, kekacauan dan meningkatkan pengaruh Iran di wilayah itu serta menyebabkan perang lebih besar berlaku.

Sebaliknya, Obama mengalihkan perhatian kepada kempen pilihan raya Presiden dengan menyelar John McCain kerana melantik pelobi sebagai penasihat kanannya. Karisma Obama berjaya menarik kira-kira 75,000 penyokong untuk mendengar ucapannya di Portland, Oregon, antara perhimpunan besar dalam kempennya. “Sejak beberapa minggu lepas, John McCain terus dirundung masalah dengan para penasihatnya menjadi pelobi, dalam sesetengah kes untuk kerajaan asing atau golongan berkepentingan lain yang menjalankan urusan di Washington,” kata Obama.

John McCain turut dibayangi kenyataan kedua penasihat ekonominya yang menggambarkan AS sebagai "sebuah negara perungut yang sedang mengalami kemelesetan mental." Ekoran itu, McCain ketinggalan jauh di belakang lawannya, Obama daripada segi keupayaan untuk memungut derma dan mencatatkan rekod pungutan dengan menggunakan Internet secara inovatif. Obama dalam pada itu terus membuat kutipan wang tunai sambil menghentam McCain berhubung isu-isu wanita dan masalah ekonomi yang kini menjadi isu nombor satu di kalangan pengundi AS.

Keunikan Kempen Obama

Ketika kempen calon Presiden berjalan rancak, Mahkamah Persekutuan AS membenarkan Parti Demokrat di Nevada mengadakan pengundian pilihan raya Presiden di hotel-hotel kasino di Las Vegas, sekali gus bakal membantu Obama memenangi kempennya. Buat pertama kali, Parti Demokrat mengadakan sembilan lokasi pengundian yang membolehkan para pekerja kasino yang diwakili sebuah kesatuan sekerja pro-Obama mengundi calon pilihan. Berikutan itu, sekumpulan guru telah memfailkan tuntutan injunksi kerana tidak berpuas hati apabila hanya pekerja kasino boleh mengundi tetapi Hakim Mahkamah Daerah Nevada menolak permintaan mereka.

Kehadiran ramai pekerja kasino menguntungkan Obama yang berada dalam persaingan sengit menentang saingannya Hillary Clinton kerana sebuah kumpulan buruh di negeri itu mewakili 60,000 pekerja di bidang perhotelan. Seperti mana di Iowa, pengundian di Nevada dilakukan secara kaukus atau berkumpul dan bukan secara pengundian individu menurut tinjauan Las Vegas Review-Journal. Tidak seperti kempen pilihan raya presiden di kebanyakan negeri di AS, kaukus Parti Demokratik Nevada memerlukan penyokong berkumpul dalam kumpulan untuk menyokong calon mereka.

Sokongan Padu Hillary Clinton

Pada awalnya para penyokong Hillary Clinton enggan memberi sokongan terhadap calon presiden Demokrat, Obama walaupun mereka tampil untuk meraih sokongan ahli parti tersebut. Menurut laporan tinjauan pendapat CNN/Opinion Research Corp. yang diumumkan, para penyokong Hillary menyatakan mereka tidak akan keluar membuang undi pada pilihan raya presiden November ini. Dalam tinjauan pada Jun sebelum Hillary mengumumkan kempennya berakhir, sebanyak 60 peratus penyokong isteri bekas Presiden Bill Cliton tersebut menyatakan mereka akan mengundi Obama tetapi kini jumlahnya menurun kepada 54 peratus. Pada awal Jun, sebanyak 22 peratus penyokong Hillary menyatakan mereka tidak akan mengundi langsung tetapi angkanya kini meningkat kepada sepertiga.

Namun begitu, Hillary telah berubah fikiran dan menyeru berjuta-juta penyokong yang mengundinya pada pemilihan peringkat awal supaya memberikan sokongan padu kepada Obama bagi membolehkannya ke White House. Hillary dalam ucapan pada Konvensyen Kebangsaan Demokrat mengisytiharkan sokongan kepada lelaki yang menewaskannya sebelum ini dalam perebutan untuk pencalonan parti itu ke White House.

"Obama adalah calon pilihan saya dan beliau mesti menjadi Presiden kita," tegas Hillary. Bekas Wanita Pertama itu diberi tepukan gemuruh pada konvensyen tersebut yang tidak berapa lama dahulu dijangka menjadi landasan mengangkat beliau sebagai calon Demokrat pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) November ini.

Komen Dari Bekas Calon Presiden Kulit Hitam AS

Pemimpin hak asasi, Jesse Jackson yang sebelum ini menuduh Obama "kadangkala bersikap seperti orang kulit putih" pada September 2007 lalu seperti dipetik oleh akhbar tempatan The State, mula memberi sokongan padu kepada Obama. Jackson, juga berkulit hitam adalah antara tokoh yang dinamakan untuk merebut pencalonan parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden pada 1984, namun begitu beliau bagaimanapun tidak terpilih. Jesse berpendapat, Obama sepatutnya memperluaskan lagi mesejnya meliputi soal keadilan kaum, dasar kehidupan di bandar, peluang pekerjaan dan penjagaan kesihatan. "Malah, banyak lagi isu yang boleh diperkatakan," kata Jackson yang juga pengikut setia pemimpin hak asasi manusia yang dibunuh, Martin Luther King Jr.

Ibu pengaruhi Obama

“Apa yang terbaik ada pada saya, ia datang daripada dia,” kata Obama dalam bukunya, Dreams From My Father. Obama begitu menghargai sumbangan ibu pembentuk dirinya sehingga menjadi apa yang berlaku dan ada kini. Ibu Obama, Stanley Ann Dunham, seorang wanita kulit putih, lahir pada 1942 dan melanjutkan pelajaran tingginya ke Universiti Hawaii dan bertemu dengan lelaki Kenya, Barack Obama Sr, ketika menghadiri kelas bahasa Russia. Setahun selepas Obama lahir, bapanya mendapat dua tawaran melanjutkan pengajian ekonomi, masing-masing di Universiti Harvard dan New York. Walaupun universiti di New York menawarkan biasiswa dan membolehkan dia membawa keluarganya ke sana, Obama Sr memilih Harvard.

Selepas bercerai, ibu Obama bergantung kepada kupon bantuan makanan kerajaan, manakala datuk dan nenek membesarkan Obama. Ketika berusaha mendapatkan ijazah empat tahun kemudian, Ann berkenalan dengan lelaki dari Indonesia, Lolo Soetoro. Lantaran itu, Ann dan Obama memulakan hidup baru di negara baru, Indonesia. Obama yang pernah belajar di sekolah Katolik, Sekolah Rendah Franciscus Assisi dan seperti dijangka menjadi perhatian pelbagai pihak. Pada masa sama, dia mengadaptasi perlahan-lahan kehidupan setempat seperti memakan tempe, misalnya. Bekas jiran mereka, Bambang Sukoco, berkata Obama gemar bermain bola sepak dan memetik buah jambu bersama budak kampung.

“Dia tidak marah dipanggil negro,” katanya. Dia memberi sedekah kepada hampir semua yang datang meminta bantuan di pintu rumahnya.

Bagi menyara keluarga, Ann bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di Kedutaan AS di Jakarta sambil menjadi guru peribadi kepada Obama kerana tidak mampu menghantarnya ke sekolah elit yang ada. Obama sempat belajar dan fasih berbahasa Indonesia serta berkenalan dengan kawan baru di sana. Ibu beliau seterusnya menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Hawaii dalam bidang antropologi dan menjadikan Indonesia sebagai tumpuan kajian. Tiga tahun selepas menetap dengan anak-anaknya di apartmen kecil di Honolulu, Ann memutuskan untuk sekali lagi ke Indonesia bagi melengkapkan pengajian peringkat doktor falsafahnya.

Berbanding warga asing di Indonesia, Ann tidak kekok bergaul dengan orang miskin di negara itu, malah menghabiskan kebanyakan masa dengan mereka. Legasi terpenting Ann adalah membantu penubuhan program skim pinjaman mikro kepada golongan berpendapat rendah di Indonesia yang dilakukannya di antara 1988 hingga 1992. Hari ini, program itu dianggap terbaik di dunia daripada segi penyimpan dengan 31 juta ahli di seluruh Indonesia. Pada 1992, selepas hampir dua dekad, Ann berjaya mendapat PhD yang disiapkannya sambil menabur bakti untuk masyarakat setempat di negara berpenduduk paling ramai umat Islam. Ibunya yang cukup memberi kesan kepada hidup dan peribadi Obama meninggal dunia pada 7 November 1995, ketika berusia 52 tahun.

Bantuan Isteri Tersayang

Obama dan isterinya, Michelle, mencetuskan kelahiran semula impian rakyat negara itu. Namun kali ini, impian itu melihat kemunculan wanita kulit hitam yang berdiri di samping presiden kulit hitam pertama AS.

“Mereka yang mengenali isteri saya akan mendapati beliau menakjubkan. Mereka akan mendapatinya seorang yang bijak, kelakar, ramah dan juga sangat cantik,” kata Obama. mengenai isterinya dalam bukunya, ‘The Audacity of Hope’. Takdir menyatukan mereka dan Michelle dan Obama berkahwin pada 1992. Michelle berjaya ke Princeton dan selepas itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard. Selepas tamat pengajian, beliau diterima bekerja di sebuah firma guaman dan kemudian bertemu bakal suaminya yang kini disokongnya sebagai bakal lelaki kulit hitam pertama di Rumah Putih.

Michelle berpengaruh di kalangan anggota Parti Demokrat dan rapat dengan Datuk Bandar, Richard M Daley. Dia memperkenalkan Obama ke kancah politik Illinois dan membantu Obama memenangi kerusi di Kongres Negeri dan jawatan Senat di Washington. Hasil kerja keras Michelle, Obama memiliki sokongan mantap kaum kulit hitam di Chicago dan persekitaran yang sesuai untuk membesarkan anak mereka. Kesan langsung yang diperoleh Michelle ialah kebarangkalian beliau menjadi wanita pertama berkulit hitam Amerika. Michelle juga menegaskan, beliau bersedia menjadi wanita pertama AS.

“Saya sudah bersedia. Saya adalah saya dan tiada apa yang akan merubah saya. Saya dan Obama berbincang mengenai semua perkara. Bagaimanapun, saya bukan penasihat politiknya, saya hanya isterinya,” katanya dalam Time.


Peningkatan Minat Rakyat AS Terhadap Kempen Bakal Presiden

Dilaporkan bilangan rakyat yang mengikuti perkembangan kempen ke White House adalah tinggi dan berkemungkinan besar menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi semasa pilihan raya Presiden AS pada November ini. Jumlah penduduk yang keluar mengundi akan meningkat kali ini dan mungkin lebih tinggi daripada pilihan raya Presiden sebelum ini kerana semakin ramai pengundi yang memberi perhatian terhadap kempen pemilihan Presiden menurut sebuah badan pemikir, Pew Research Center (PRC). Jelas badan itu lagi, dengan kehadiran lebih ramai penyokong Parti Demokrat berbanding penyokong Parti Republikan dalam pemilihan awal sebelum ini, peningkatan tersebut mungkin memberi kelebihan kepada Obama.

"Minat dan penyertaan yang tinggi dan berterusan (kepada kempen Presiden) memungkinkan peratusan mengundi yang tinggi pada (pilihan raya Presiden) November ini sebagaimana yang berlaku dalam pemilihan awal. Peratusan pengundi Demokratik dijangka menyamai malah mungkin melebihi pengundi Republikan," demikian menurut PRC. Manakala dalam satu tinjauan lain yang dijalankan melibatkan 2,004 warga AS oleh badan pemikir itu untuk akhbar People and the Press mendapati, seramai 72 peratus daripada mereka "banyak memikirkan tentang pilihan raya." Ia merupakan peratusan tertinggi sejak 1988 dan melebihi keghairahan dalam lima kempen pilihan raya Presiden sebelum ini.

Skeptikal Negara Sekutu

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Nobutaka Machimura mendakwa Obama tidak mungkin memenangi pilihan raya Presiden AS kerana beliau berkulit hitam. Majalah Shukan Bunshun yang menyiarkan temu bual Machimura berkata, calon Presiden AS untuk Parti Demokrat itu akan tewas kepada calon dari Parti Republikan, John McCain.

“Tidak kira apa yang berlaku, AS adalah sebuah negara yang konservatif. Obama, adalah seorang yang berkulit hitam dan Senator Hillary Clinton pula adalah seorang wanita. Saya berpendapat adalah sangat sukar untuk salah seorang daripada mereka untuk menjadi Presiden AS,” katanya lagi. Menurutnya, McCain, 71, akhirnya akan muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya raya presiden yang dijadualkan berlangsung pada November nanti.

Sementara itu sebuah akhbar di Australia, The Sidney Morning Herald melaporkan Obama mungkin boleh meraih kemenangan besar sekiranya beliau bertanding untuk menjadi pemimpin dunia bukannya Presiden AS. Dalam satu tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew mendapati Obama berjaya menyakinkan penduduk di Eropah, Asia, Afrika dan Australia. Obama juga mendapat sokongan daripada penduduk di benua berkenaan untuk menjadi pemimpin AS berbanding McCain dalam pilihan raya presiden nanti.

Di Australia dilaporkan, 80 peratus responden berkata, mereka menyokong Obama untuk menjadi Presiden AS berbanding McCain yang memperoleh 40 peratus keyakinan awam. Keputusan yang sama juga diperoleh daripada tinjauan pendapat yang dijalankan di Britain, Perancis, Jerman, Sepanyol, Jepun dan Tanzania.

Liputan Meluas Masyarakat Global

Lawatan pertama Barack Obama ke Eropah dan Asia Barat selaku calon Presiden AS daripada Parti Demokrat diberi liputan meluas oleh wartawan - wartawan terkemuka, stesen televisyen dan media cetak AS. Lawatan calon kulit hitam pertama White House itu telah menimbulkan keghairahan media yang begitu rupa sehinggakan lawan Obama McCain mengecapnya sebagai satu "publisiti politik" dan kempen luar negara yang tidak mempunyai objektif untuk mengetahui situasi sebenar.

Pertubuhan berita berebut-rebut mengikat perjanjian dengan pengurus kempen Obama bagi membuat liputan mengenai siri lawatannya. Tiga pengacara berita utama stesen televisyen AS, Charles Gibson daripada ABC, Brian Williams (NBC) dan Katie Couric (CBS) telah mengikat perjanjian mengikut Obama dalam lawatannya ke Jordan, Israel, Jerman, Perancis dan Britain.

Manakala kira-kira 200 wartawan berebut 40 tempat untuk mengiringi Obama, dalam lawatannya, menurut Washington Post. Selain Eropah dan Asia Barat, Obama juga turut dikatakan melakukan kunjungan mengejut ke Iraq dan Afghanistan. Perhatian yang begitu meluas terhadap lawatan itu menimbulkan rungutan daripada pihak Republikan bahawa McCain kini menghadapi kesukaran untuk menyampaikan mesej beliau. Ahli Dewan Perwakilan Republikan, Eric Cantor yang merupakan penyokong kuat McCain menegaskan, lawatan Obama itu telah bertukar menjadi acara media besar-besaran. Pemerhati media, Tindall Report melaporkan, ABC, CBS dan NBC yang kesemua sekali menarik 20 juta penonton meluangkan 114 minit siaran televisyen untuk Obama sejak Jun lalu, berbanding hanya 48 minit untuk McCain.

Kesimpulan

Melihat kepada kewibawaan, karisma dan ketrampilan serta sokongan masyarakat global di samping rakyat AS sendiri ke atas Obama, maka tidak mustahil bagi beliau muncul sebagai Presiden kulit hitam pertama AS penghujung tahun ini. Ini adalah kemuncak kepada kesuburan sistem demokrasi dan keadilan di dunia. Beliau yang mempunyai banyak kelebihan berbanding saingannya McCain, dilihat sebagai pemimpin dunia berbakat yang dekat dan rapat dengan masyarakat global memandangkan beliau mempunyai latar belakang dan evolusi minda, fizikal dan spiritual yang cukup unik di mana beliau dilahirkan di AS, membesar di Indonesia di zaman kanak-kanaknya, mempunyai keturunan dan saudara mara dekat di Kenya, Afrika dan juga mempunyai pertalian darah dan rakan taulan dengan masyarakat Islam. Ini memberi gambaran prolifik bahawa beliau mempunyai citarasa dan kemahuan global mewakili Barat dan Timur, hitam dan putih, Islam dan bukan Islam, negara miskin, membangun dan maju - yang merupakan sesuatu ramuan pemimpin hebat yang dicari-cari. Fenomena Obama bakal melakarkan sejarah baru kepada dunia moden serta memberi harapan baru kepada seluruh masyarakat global jika beliau dipilih sebagai Presiden AS kelak.


Rujukan

Shakila Yacob, 2005. Amerika Syarikat: Pembentukan Negara Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Razak Rashid Ghows, 2008. Kejutan Obama menanti Hillary , Berita Harian, 4 Januari
Obama calon pilihan saya – Hillary, Utusan Malaysia, 28 Ogos 2008
Rakyat yakin Obama menang, Berita Harian, 26 Julai 2008
Majoriti rakyat AS yakin Obama menang jawatan Presiden, Utusan Malaysia, 25 Julai 2008
McCain terus hentam Obama undur dari Iraq, Berita Harian, 19 Julai 2008
Ramai wartawan berminat ikuti lawatan Obama, Utusan Malaysia, 19 Julai 2008
Calon Presiden AS terus bertelagah, Utusan Malaysia, 16 Julai 2008
Obama ikrar undur askar dari Iraq 2010, Berita Harian, 15 Julai 2008
Pengunduran askar dari Iraq selesai musim panas 2010 – Obama, Utusan Malaysia, 15 Julai 2008
Jepun skeptik presiden AS, Kosmo, 14 Jun 2008
McCain lapor bulan pungutan derma terbaik, Utusan Malaysia, 12 Julai 2008
Rakyat AS makin minat kempen Presiden, Utusan Malaysia, 12 Julai 2008
Obama hina kulit hitam, Berita Harian, 10 Julai 2008
Obama jamin tamatkan perang Iraq jika menang, Utusan Malaysia, 7 Julai 2008
Obama gagal pikat penyokong Hillary, Kosmo, 6 Julai 2008
Ibu pengaruhi Obama, Metro Ahad, 25 Mei 2008
Obama selar McCain lantik pelobi sebagai penasihat kanan, Utusan Malaysia, 20 Mei 2008
‘Jackie Kennedy' kulit hitam, Metro Ahad, 2 Mac 2008
Obama berkempen di hotel-hotel kasino, Utusan Malaysia, 18 Januari 2008
Kesan Sejarah Membentuk Dasar Amerika Syarikat, Utusan Malaysia, 18 Julai, 2005

Comments

Popular Posts