Wednesday, January 14, 2009

Negara Bukan Islam Sokong Kewangan Islam


Dalam keadaan suasana kegawatan dan kelumpuhan ekonomi global, mendorong banyak negara bukan Islam menunjukkan kecenderungan dan minat kepada struktur kewangan Islam berdasarkan kepada kejayaan serta perlaksanaannya di beberapa buah negara Islam. Malaysia misalnya sehingga ini adalah pusat terbitan sukuk terbesar di dunia dengan lebih 66 peratus daripada sukuk dunia diterbitkan oleh sistem kewangan Islam di seluruh negara manakala transaksi pasaran wang Islam melebihi RM1 trilion setahun dan industri itu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhannya. Hala tuju strategik industri ini disokong dengan kecekapan pelaksanaan regim perundangan, kawal selia dan penyeliaan, termasuk mengadakan rangka kerja pengurusan dan pencegahan krisis.

Atas dasar dan sokongan negara Barat dan bukan Islam lain kepada aplikasi kewangan Islam ketika ini sebagai alternatif memerlukan Malaysia sebagai antara pemain utama dan negara Islam lain juga perlu menilai kembali paradigma serta perancangan sedia ada bagi mengukuhkan lagi kepemimpinan dan pentadbiran dalam industri kewangan Islam kerana dewasa ini semakin banyak negara turut serta dalam bidang berdaya saing ini. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan wujudnya perlumbaan yang sihat dalam sektor kewangan Islam di antara negara Islam dan bukan Islam di seluruh dunia. Pertumbuhan pesat dalam industri kewangan Islam juga adalah berpunca daripada sentimen dan minat yang tinggi daripada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Berikutan itu pada November tahun lepas, Menteri Kewangan Perancis, Christine Lagarde mengumumkan hasrat Perancis menjadikan Paris sebagai 'pusat kewangan Islam' terkemuka dunia. Manakala United Kingdom (UK) pula kini dalam proses perundingan untuk menerbitkan sukuk dan bakal muncul sebagai pemain utama sedikit masa lagi melihatkan kepada potensi kota London sebagai pasaran modal terbesar di dunia. Dalam masa yang sama negara jiran, Singapura juga telah melancarkan Dana Dagangan Elektronik Islam di samping China dan Hong Kong turut mahu menjadi hab kewangan Islam di rantau ini manakala Jepun pula telah membenarkan bank di sana menawarkan kewangan Islam.

Perkembangan ini adalah petanda dan petunjuk positif kepada kekukuhan sistem kewangan Islam moden di arena global. Malaysia dan negara Islam lain kini memasuki fasa kedua dan ketiga dalam pembangunan sistem kewangan Islam moden sejak dibangunkan lewat tahun 1970an walaupun evolusi prinsip dan perlaksanaan sebenarnya sudah berusia lebih 1400 tahun yang lalu sejak perkembangan zaman pemerintahan Khalifah terdahulu lagi. Untuk itu, sistem kewangan Islam moden perlu mengambil peluang yang terbuka luas ini untuk menunjukkan kehebatan, kelebihan dan keberkesanannya ketika sistem kapitalis yang telah wujud selama 300 tahun menjadi ancaman kepada keseluruhan sistem ekonomi dunia hari ini.

Sistem perbankan Islam umpamanya menawarkan kaedah yang dilihat jauh lebih baik berbanding dengan sistem perbankan konvensional di mana pendekatan perkongsian bersama pelanggan yang diamalkan dalam sistem perbankan Islam lebih menjamin pelaburan yang selamat dan inovatif di samping menjamin keuntungan lebih tinggi kepada pelabur. Diharapkan dengan krisis yang sedang hebat melanda ekonomi dunia akan membuka jalan kepada sistem kewangan Islam yang lebih universal, ekonomik serta adil berkembang pesat. Landskap kewangan Islam moden hari ini ternyata memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara, survival umat Islam dan masyarakat dunia seluruhnya.

Rujukan

Asmak Ab. Rahman, et al, 2005. Teori dan Aplikasi Kontemporari Sistem Ekonomi Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Kewangan syariah diminati banyak negara, Berita Harian, 13 Januari 2009
Sistem bank Islam mampu atasi krisis ekonomi, Utusan Malaysia, 13 Januari 2009
Pergiat promosi produk Islam, Harian Metro, 13 Januari 2009
'Kewangan Islam alternatif terbaik', Utusan Malaysia, 13 Januari 2009

2 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Terima kasih berkunjung ke blog saya...

Teruskan menulis, ya Saudara!

Wasalam...

mohamadsofee said...

terima kasih kembali prof. dr. UKN