KETAGIHAN GULA YANG MEMUDARATKAN
Umum mengetahui bahawa pengambilan gula secara berlebihan tidak baik kepada kesihatan dan boleh mendatangkan kesan negatif serta mudarat kepada tubuh badan sama ada secara jangka pendek dan panjang. Namun tidak ramai yang mengambil berat berkenaan perkara ini dan mereka juga tidak bijak mengawal atau menggurangkan tahap penggunaannya dalam amalan pemakanan seharian.
Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum sejak dahulu lagi menunjukkan peratusan serta kadar penggunaan gula yang tinggi dan amat sinonim di dalam proses penyediaan makanan dan minuman rutin setiap hari. Tabiat buruk ini sangat bahaya kepada kesihatan dan jelas membelakangkan prinsip amalan hidup secara sihat. Realiti ini juga seolah-olah mewujudkan senario ketagihan gula yang ketara di kalangan rakyat negara ini.
Sebagai perbandingan, pada tahun 1999 kadar pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia adalah antara tertinggi di rantau Asia Tenggara iaitu purata 24 sudu teh sehari dalam makanan dan minuman berbanding purata 17 sudu teh sehari pada 1970. Ini menjadikan pengambilan gula bagi setiap orang dalam sebulan adalah sebanyak 3.6 kilogram ketika itu.
Manakala baru-baru ini dilaporkan hasil kajian tahun 2008 mendapati rakyat Malaysia secara puratanya mengambil 25 sudu teh atau 125 gram gula sehari. Jumlah itu semakin meningkat dan ianya bersamaan dengan 3.75 kilogram atau 750 sudu teh sebulan. Ini sangat membimbangkan di mana hasil daripada kajian itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merumuskan kira-kira 95 peratus rakyat di negara ini dikategorikan sebagai penghidap masalah ketagihan gula dalam pemakanan seharian.
Sehubungan itu, ramai pakar pemakanan dan diet di negara ini menyifatkan tahap ketagihan rakyat Malaysia terhadap gula sebagai serius dan perlu kepada tindakan segera mengekangnya. Lebih membimbangkan lagi polemik ini turut melanda golongan kanak-kanak di mana menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pengambilan gula berlebihan menyebabkan kanak-kanak di negeri ini mengalami masalah obesiti atau kegemukan selain masalah kerosakan gigi yang serius.
Di kalangan orang dewasa pula, pengambilan gula yang tinggi memburukkan lagi penyakit jantung, batu karang, kanser, tekanan darah tinggi dan kencing manis seseorang. Masalah ketagihan gula ini juga dikatakan turut menjadi punca masalah penyakit diabetes yang dihidapi 3.6 juta orang di negara ini dan gula juga menjadi punca 62 peratus wanita serta 48 peratus lelaki di negara ini menghidap obesiti yang melampau ketika ini.
Untuk itu, gerakan Kempen Kesihatan dan Bahaya Gula (KKBG) yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara wajar disokong oleh segenap masyarakat di Malaysia agar hasrat untuk mengurangkan tahap ketagihan dan kebergantungan kepada gula yang serius dapat direalisasikan serta dalam masa yang sama mampu mendidik masyarakat terutamanya generasi muda berkenaan penggunaan dan pengambilan gula yang betul dalam kehidupan seharian.
Oleh yang demikian, adalah disarankan dan digesa agar rakyat Malaysia seluruhnya bijak mengawal serta mengurangkan jumlah pengambilan gula dalam pemakanan seharian selain mengamalkan konsep pemakanan yang sihat dan berkhasiat. Ini juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan jumlah perbelanjaan seharian yang semakin meningkat dan secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko serangan penyakit berbahaya pada masa hadapan.
Kewujudan dan lonjakan fungsi Institut Kencing Manis Negara (NADI) terutamanya juga sangat membantu di dalam hal ini di samping kerjasama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain pertubuhan di negara ini dalam usaha menjalankan kajian, penyelidikan, pembangunan dan sebagainya berkenaan masalah ketagihan ini dapat diperluaskan lagi dari masa ke semasa bagi memantau senario ketagihan gula oleh segelintir rakyat negara ini.
RUJUKAN
Ketagihan gula tahap serius, Utusan Malaysia, 28 Januari 2009
Rakyat Malaysia ketagih gula, Utusan Malaysia, 23 Januari 2009
Pengambilan gula di Malaysia tinggi, Mingguan Malaysia, 18 Julai 1999 [melalui talian http://www.prn2.usm.my/mainsite/berita/1999/julai99.html]
Comments