Wednesday, January 28, 2009

INOVASI AMAL JARIAH ELEKTRONIK


Dalam dunia serba moden dan sofistikated ini, setiap saat kita berdepan dengan segala kemudahan sama ada untuk bergerak, bekerja, berhibur, bermain dan sebagainya malahan juga untuk beramal dengan teknologi yang ada. Kini tiada lagi ruang kosong atau seribu alasan remeh temeh untuk tidak beramal jariah dan membuat kebajikan kepada masyarakat yang memerlukan.

Jika sebelum ini mungkin ada yang mengatakan terlalu susah atau sukar untuk beramal jariah seperti sedekah, derma, wakaf dan sebagainya, tetapi kini semua kerenah dan alasan tersebut bakal diatasi dengan inovasi ibadah yang cuba direalisasikan secara menyeluruh ke arah menyemarakkan lagi aktiviti serta program dakwah dan kebajikan di negara kita.

Ini adalah kerana dilaporkan sebanyak 50 buah mesin e-Jariah sebagai permulaan akan ditempatkan di beberapa kawasan awam di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai menderma kepada pelbagai dana bantuan yang diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) iaitu sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan menjayakan usaha murni ini.

Mesin tersebut akan ditempatkan di beberapa pejabat Yapeim sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain serta di kawasan-kawasan awam seperti masjid yang menjadi tumpuan masyarakat sepanjang masa. Ini secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada fungsi, kredibiliti dan fasiliti masjid serta dalam masa yang sama memberi peluang kepada masyarakat beramal jariah secara elektronik menggunakan peralatan canggih.

Terdapat 12 dana yang disediakan kepada para penderma melalui mesin berkenaan yang antaranya untuk Anak Yatim, Anak Yatim Palestin, Khairat Nasional, Bantuan Pendidikan, Bantuan Kebajikan, Pesakit Kronik, Mangsa Bencana, Santun, Aktiviti Motivasi Terancang dan Dana Mengimarahkan Institusi Islam. Ini akan memberi peluang kepada pengguna untuk memilih sendiri saluran derma yang dihajati serta lebih pelbagai.

Saranan dan dorongan bersedekah dan beramal jariah dijelaskan oleh Allah s.w.t menerusi firmanNya yang bermaksud: " Kalau kamu zahirkan sedekah itu, maka itu adalah baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan hapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahanmu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan ". (al-Baqarah: 271)

Inovasi kios e-Jariah yang julung-julung kali ini diharapkan dapat memudah dan menggalakkan lagi orang ramai dari segenap usia sama ada kanak-kanak atau orang dewasa memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dengan capaian yang lebih mudah, mesra dan futuristik. Ini adalah sumbangan dan transformasi mekanisme ibadah yang sangat hebat dan unik kepada umat Islam di negara kita.

Tambahan pula, apa yang menarik ialah mesin tersebut juga boleh menerima sumbangan dalam bentuk tunai mahupun menggunakan kad ATM dan kad kredit bagi 14 buah bank tempatan di mana semua sumbangan akan dimasukkan terus ke akaun yang dikelola dengan kerjasama sebuah bank utama tempatan. Dan yang sangat membanggakan ialah mesin kios itu dibangunkan dan disenggarakan oleh syarikat tempatan dan akan ditambah jumlahnya mengikut keperluan serta sambutan orang ramai.

Ini sudah tentu memudahkan lagi kaedah menderma seiring dengan trend semasa selain medium biasa seperti tabung kutipan dan sebagainya. Oleh itu, di kesempatan ini, marilah kita bersama-sama berkongsi sedikit kemewahan dan lebihan wang ringgit yang ada dengan mereka yang memerlukan di luar sana.

RUJUKAN

Terjemahan al-Quran
Yapeim sedia 50 mesin kios e-Jariah, Utusan Malaysia, 24 Januari 2009

No comments: