RASULULLAH MENURUT PERSPEKTIF BARAT


Saban tahun umat Islam akan menyambut perayaan Maulidur Rasul sebagai tanda dan manifestasi kasih, cinta serta sayang kepada baginda. Ini adalah kerana Nabi Muhammad s.a.w adalah simbol manusia agung yang telah menerima segala pengiktirafan, penghormatan dan sanjungan terhadap segala yang telah dilakukan baginda kepada tamadun manusia. Penulis prolifik Amerika Syarikat, Michael H. Hart misalnya dalam buku hebat The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History (1982) meletakkan Nabi Muhammad s.a.w di tempat teratas senarai manusia paling berpengaruh dalam sejarah dunia.

Menurut Hart, ramai tokoh hebat lahir dan membesar ketika kemuncak tamadun dan budaya dunia, sebaliknya Nabi Muhammad S.A.AW lahir pada tahun 570 di Mekah yang ketika itu mundur, jauh dari pusat-pusat perdagangan, kesenian dan pendidikan pelbagai ilmu. Antara lain Hart turut berpandapat: “Saya berpegang pada keyakinan saya, dialah Nabi Muhammad satu-satunya manusia dalam sejarah yang berjaya meraih kejayaan-kejayaan luar biasa sama ada dalam ukuran agama mahupun ruang duniawi.”

Nabi Muhammad juga turut diakui oleh profesor sejarah Amerika, Richard Fletcher dalam The Cross and the Crescent (2007) yang menukilkan Islam yang dibawa baginda berjaya membawa pengaruh yang jauh lebih besar berbanding kerajaan Romawi yang telah lama wujud sebelum kemunculan agama suci itu. Manakala sarjana Perancis, Monsieur John Serou pula dalam bukunya History of Muhammad (2006) menyatakan bila bertambah penyelidikan manusia tentang perjalanan hidup Nabi Nuhammad s.a.w, nescaya orang akan mengetahui dan dapat memecahkan persoalan yang menjadi sebab beberapa juta hamba Allah memeluk agama Islam pada masa yang telah lalu dan pada masa sekarang.

Selanjutnya menurut Mazlan Nordin (2008) bahawa dalam buku Genius karya Harold Bloom, tokoh pengkritik sastera keturunan Yahudi itu ada menyebut: “Tiada orang lain dalam sejarah manusia menyampaikan kepada kita firman Tuhan. Kita tidak boleh bersantai manakala membaca Quran atau melafaz ayat-ayatnya, sama ada bersendirian atau bersama orang-orang lain.” Beliau juga berpendapat hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan wujudnya era Islam.

Bagi sarjana Bangladesh, Golam Choudhury yang juga bekas sarjana Universiti Columbia di New York dalam amsa yang sama berpendapat Nabi Muhammad bukan saja ketua agama tetapi juga pemimpin politik, negarawan dan pentadbir yang hebat dan dalam melaksanakan tugas-tugasnya baginda terpaksa melakukan kempen ketenteraan bagi melindungi Islam dan menyertai rundingan-rundingan diplomatik. Selanjutnya sarjana Britain, Karen Amstrong pula misalnya dalam hal ini menulis dengan begitu lengkap tentang ketokohan, kepimpinan dan citra agung Rasulullah dalam bukunya Muhammad: A Prophet For Our Time (2006).

Bagi Arthur Glyn Leonard juga menyatakan: “Untuk mengerti Muhammad atau jiwa Islam dengan sempurna, orang harus tahu lebih dahulu bahawa Muhammad bukan hanya pengembara biasa yang menghabiskan umur melainkan satu daripada orang yang paling setia, jujur dan sungguh-sungguh dari setiap masa dan zaman.” Manakala A.C. Bonquet di dalam Comparative Religion menyatakan bahawa, “Muhammad berhasil memajukan umatnya dan mengembangkan ke seluruh wilayah Timur Tengah idaman siasah dan sosial yang lebih luas, lebih segar dan lebih matang daripada Byzantine. Ia menjauhi kemewahan, ia hidup dengan prinsip hemat dan menjauhi ketamakan. Ia terkenal kerana tindakan-tindakannya yang sederhana. Ia melakukan tugas kemanusiaan dengan tangannya sendiri.”

Menurut Talib Samat (2007), kajian dan penulisan ilmiah lain yang ditulis dalam bahasa Inggeris juga cukup banyak seperti The Living Thoughts of the Prophet Muhammad oleh Maulana Muhammad Ali (1992); Muhammad the Prophet oleh Sirdar Ikbal Ali Shah (1992); Muhammad: Messenger of Allah oleh Syaikh Abdal Qadir AS-Sufi Al-Murabit (1992); Muhammad The Best of Humanity oleh F.M Nadeem Bari; The Life of Muhammad oleh Muhammad Husein Haykal (1993); The Life of the Prophet oleh Abu Muhammad Abdal Malik Hisham (1990); Who Was Mohammed oleh Safdar Hosain (1979); Muhammad His Life Based On The Earliest Source oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajuddin) dan Muhammad: His Life and Mission serta banyak lagi.

Walaupun ramai sarjana dan pemikir Barat begitu menyanjungi Nabi Muhammad, namun tidak kurang juga yang berdendam dan gemar memburukkan keperibadian baginda seperti mana yang dilakukan oleh William Muir dalam A Life of Muhammad (1851) di mana Rasulullah s.a.w dituduh sebagai utusan syaitan yang mana dalam buku tersebut juga baginda disebut sebagai Mahound atau roh jahat yang menyebarkan agama Islam melalui kekerasan dan kegiatan seksual. Muir mengatakan: "Pedang Muhammad dan al-Quran adalah musuh paling berbahaya bagi peradaban, kebebasan, dan kebenaran yang dijunjung tinggi oleh dunia yang beradab!"

Tidak cukup setakat itu dan selepas 130 tahun terbitan buku berkenaan, muncul pula anak didik Muir iaitu Salman Rushdi yang mengempar dunia pada akhir 1980-an dengan buku kontroversinya The Satanic Verses yang begitu rakus menghina dan mengeji ajaran Islam, seluruh umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabat baginda sehinggakan pemimpin tertinggi Iran ketika itu iaitu Imam Khomeini telah mengeluarkan fatwanya bahawa Salman perlu dihukum bunuh dalam apa jua keadaan sekalipun dan fatwa tersebut terpakai sehingga ke hari ini.

Rujukan

Seyyed Hossein Nasr, 2001. Muhammad Insan Kamil. Kuala Lumpur: DBP
Mazlan Nordin, 2008. Islam dari persepsi ilmuan bukan Islam, Mingguan Malaysia, 28 Disember
Azman Ismail, 2008. Keagungan Nabi dalam Sirah Junjungan. Utusan Malaysia, 27 Mac
Talib Samat, 2007. Sirah Nabi jadi panduan. Utusan Malaysia, 30 Mac

Laman web:
http://www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=print&sid=369
http://ummahonline.wordpress.com/2007/02/08/menghayati-kemanusiaan-rasulullah/

Comments

Popular Posts