BUAT PILIHAN YANG TEPAT KE MENARA GADING
Masih belum terlambat kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 untuk membuat pilihan tepat dan terbaik ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) idaman mereka. Apa yang pasti ketika ini majoritinya telah membuat pilihan walaupun masih ada yang buntu. Umumnya SPM bolehlah diumpamakan tiket atau landasan pertama ke menara gading di samping saluran diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lain-lain lagi.
Apa yang mustahak ialah mereka perlu memilih bidang di IPTA berdasarkan kepada keputusan peperiksaan dan bukannya semata-mata kerana minat atau sekadar ingin mencuba nasib dan bersandarkan kecenderungan kepada kursus-kursus tertentu yang popular. Ini adalah kerana sekiranya tersalah memilih kursus atau bidang, sedangkan kelayakan dan keputusan peperiksaan adalah minima, maka peluang untuk mendapat tawaran ke IPT adalah sangat tipis.
Kebiasaannya bidang atau kursus profesional yang sangat diminati lepasan SPM adalah kedoktoran, perundangan, kejuruteraan, perakaunan, arkitek dan sebagainya di mana memerlukan keputusan peperiksaan yang amat baik. Untuk itu lepasan SPM perlu bijak memilih bidang dan kursus yang menepati syarat yang ditetapkan oleh IPT dan kementerian agar permohonan dapat diproses dengan sempurna dan telus.
Dalam keadaan ini fungsi ibu bapa dan guru termasuklah pelajar itu sendiri perlu berperanan secara bijak dalam memastikan pilihan sesuatu kursus serta IPT terbaik bagi menjamin kualiti, kepuasan dan pengiktirafan agar tidak mengalami masalah di kemudian hari. Mereka harus peka dengan perkembangan, pengemaskinian dan maklumat terbaru berkenaan kursus dan IPT yang dipohon sama ada melalui media cetak, elektronik dan laman web kendalian kementerian serta IPT terbabit. Ini adalah bagi memastikan mereka tidak memilih kursus dan IPT yang salah.
Ketika ini lepasan SPM boleh memilih kursus atau bidang yang disediakan di IPT termasuklah di peringkat pra, sijil, matrikulasi, diploma atau terus ke peringkat ijazah di hampir 20 buah IPTA di seluruh negara di samping beberapa buah lagi IPT di bawah tajaan dan kelolaan kerajaan negeri masing-masing. Bagi yang cemerlang pula, mereka boleh memohon tempat di IPT luar negara terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan sangat diperlukan seperti sains dan teknologi.
Tambahan pula terdapat banyak agensi kerajaan seperti PTPTN, MARA dan syarikat-syarikat korporat termasuk juga kerajaan negeri yang bersedia menyediakan pinjaman serta biasiswa kepada sesiapa yang layak untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Peluang ini wajar direbut oleh semua lepasan SPM sebagai jaminan dan salah satu cabang bantuan kewangan mereka ketika di IPT nanti.
Dalam masa yang sama lepasan SPM juga perlu berwaspada dengan tawaran dan pujukan beberapa IPT swasta yang tidak mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan kementerian, kini sedang agresif mencari pelajar lepasan SPM di seluruh negara. IPT yang tidak bertanggungjawab ini hanya memikirkan soal keuntungan sahaja tanpa mementingkan kualiti, fasiliti dan kondisi pembelajaran. Oleh itu, pelajar dan ibu bapa perlu berhati-hati dengan taktik dan strategi mereka.
Manakala bagi yang tidak berjaya ke IPT, mereka boleh mengambil STPM atau memilih kursus dan bidang yang disediakan di politeknik, kolej komuniti dan institusi kemahiran lain di seluruh negara. Ini adalah kerana institusi ini dijamin dan diselia kerajaan serta boleh dipercayai. Jika masih lagi gagal mendapat tempat, itu bukanlah bermakna satu garis penamat dalam hidup malahan mereka boleh mencuba sekali lagi menduduki peperiksaan keramat tersebut. Mahu seribu daya dan tidak mahu seribu dalih.
Comments