JIHAD MEMBASMI RASUAH
Rasuah umpama barah yang perlu dibanteras dan dihapuskan segera. Sesiapa sahaja yang terlibat dengan amalan buruk ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan wajar dibawa ke muka pengadilan agar menjadi pengajaran kepada orang lain. Ini adalah kerana pengamal rasuah akan melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya biarpun terpaksa menggadai maruah agama, bangsa dan negara.
Sejarah telah membuktikan bagaimana budaya rasuah boleh meruntuhkan sebuah tamadun besar, memporak perandakan masyarakat dan negara seperti yang berlaku kepada Kerajaan Romawi, China Kuno dan sebagainya. Apa yang telah terjadi juga menunjukkan bahawa amalan rasuah yang juga adalah jenayah sangat serius dan sebarang usaha melenyapkannya hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta tidak bermusim.
Dalam buku Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi (2002) menukilkan rasuah adalah pencurian melalui penipuan dalam situasi yang mengkhianati kepercayaan. Kegagalan membezakan pelbagai jenis rasuah dan menempatkannya dalam konteks penilaian yang tepat, hanya akan menimbulkan kekacauan dan pemborosan waktu. Kita kadangkala terkeliru dan seringkali membezakan antara politik wang dan rasuah, walhal darjah kesalahannya sama sahaja di mata undang-undang.
Oleh itu, melihat kepada bahaya rasuah maka setinggi mana pun pangkat, gelaran dan kedudukan seseorang itu tetapi jika terlibat dengan budaya rasuah perlu ditolak serta tidak boleh dimaafkan sama sekali, apatah lagi memberi kepercayaan kepada mereka. Ini adalah kerana golongan ini merupakan mereka yang lupa diri, hilang pertimbangan agama,mementingkan diri sendiri dan menganiaya orang lain demi mengejar impian peribadi secara salah.
Golongan ini juga sanggup menggunakan segala kekayaan, pengaruh dan jentera yang ada demi untuk merebut apa sahaja jawatan, kedudukan, peluang serta kepentingan sama ada dalam dunia perniagaan, organisasi dan sebagainya walaupun pada hakikatnya mereka tidak mampu melaksanakan amanah serta tanggungjawab tersebut. Perbuatan buruk ini sudah tentu akan menyekat potensi, kualiti dan kredibiliti orang lain malahan merupakan satu penganiayaan yang sangat merugikan orang ramai.
Perlu ditegaskan bahawa dalam apa jua peraduan atau pertandingan, mestilah wujud tradisi persaingan yang sihat, penuh semangat persahabatan dan kekeluargaan agar pemilihan dapat dibuat secara adil dan saksama tanpa dipengaruhi oleh faktor-faktor lain terutamanya sogokan wang, saham, jawatan, anugerah dan sebagainya. Rasuah tidak boleh sama sekali menjadi tunjang dan asas serta motivasi kepada sesuatu pemilihan di mana jika corak pemikiran ini masih berlaku maka kesan jangka panjangnya sangat menakutkan.
Sehubungan itu, semua pihak perlu tegas dan tekad menghentikan amalan serta budaya rasuah dari terus berleluasa di dalam seluruh kehidupan seharian berlandaskan kepada ajaran agama, norma dan keluhuran undang-undang negara. Jihad membasmi rasuah perlu ditingkatkan lagi dan dalam konteks ini kita mampu merekodkan indeks rasuah sifar di negara jika berjaya merealisasikannya dengan adanya lonjakan paradigma membenci najis rasuah dalam masyarakat kita.
Comments