Yayasan Wakaf Malaysia bina lima hotel bernilai RM100j


Yayasan Wakaf Malaysia bina lima hotel bernilai RM100j

KUALA LUMPUR 17 Mei - Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) membina lima hotel bertaraf tiga bintang dengan kos lebih RM100 juta dalam usaha membangun dan mengembangkan harta wakaf untuk kepentingan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, hotel-hotel itu dibina di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

"Dua hotel telah dibina dan kini hampir siap sementara pembinaan tiga yang lain akan dimulakan tidak lama lagi. Kita menjangkakan kesemuanya akan siap sepenuhnya menjelang akhir 2012,'' katanya.

Jamil Khir yang juga Pengerusi YWM berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara yayasan itu dengan Amanah Raya Berhad (ARB) di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani bersama oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri (Jawhar) menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sohaimi Mohd. Salleh sementara Amanah Raya Legacy Services Sdn. Bhd. (ARLS) pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rafie Omar.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Jamil Khir; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Pengerusi ARB, Datuk Dusuki Ahmad.

YWM merupakan badan yang dinaungi Jawhar.

Jamil Khir berkata, projek pertama pembinaan hotel bernilai RM25.6 juta di Tanjung Kling, Melaka dimulakan tahun lalu dan dijangka siap September tahun ini.

"Sementara itu projek di Taiping, Perak yang bernilai RM19 juta telah dimulakan pada Mei tahun lalu dan dijangka siap November nanti,'' katanya.

Menurut beliau, pembinaan hotel di Kuala Terengganu pula menelan belanja RM39.95 juta manakala di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dianggarkan bernilai RM18 juta dan di Kota Bharu, Kelantan membabitkan kos RM20 juta.

Jamil Khir berkata, YWM akan menyerahkan hotel-hotel tersebut kepada majlis agama negeri berkenaan untuk diuruskan apabila siap sepenuhnya nanti.

"YWM hanya membina hotel-hotel tersebut tetapi majlis agama di negeri berkenaan akan menentukan pihak yang boleh menguruskannya secara profesional.

"Walau apa pun, kita mahu hotel-hotel itu nanti menjadi berdaya maju dan bukannya projek gajah putih supaya ia menjadi kebanggaan kepada umat Islam,'' tegasnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

Comments

Popular Posts