Mahasiswa sebagai Tabib Sosial serta agen transformasi ummah


Ketika ini ramai di kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telahpun mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta. Kejayaan ini adalah hadiah yang cukup bermakna kepada ibubapa dan guru-guru yang tidak pernah mengenal penat dan lelah mendidik serta membentuk generasi muda menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Bagi mereka yang telah mendapat tawaran berkenaan membuktikan kerja keras dan usaha gigih mereka selama ini memang berbaloi, puas dan menyeronokkan. Namun perlu diingatkan bahawa kejayaan ini bukanlah satu destinasi akhir dalam hidup tetapi hanyalah satu permulaan baru suatu perjalanan panjang yang lebih mencabar di satu lembah intelektual yang juga dikenali sebagai menara gading iaitu destinasi impian semua.

Tiket kejayaan yang ada dan peluang keemasan untuk memasuki menara gading ini perlulah digunakan sebaiknya dan bukannya sekadar sambil lewa sahaja atau hanya untuk suka-suka memandangkan di luar sana masih ramai yang tidak bernasib baik. Ini adalah kerana mereka bakal menempuh suatu alam baru yang sangat mengujakan serta penuh dengan cabaran yang tidak dapat dibayangkan kerana ianya sangat berbeza dengan alam persekolahan yang dialami sebelum ini.

Jika di alam persekolahan semuanya diuruskan oleh ibubapa dan guru-guru, namun di menara gading semuanya adalah atas inisiatif sendiri dan bergantung kepada kemampuan serta kebolehan diri masing-masing dalam mengurus serta mengatur corak hidup di alam serba baru ini. Ketika ini ibubapa hanya mampu memantau dari jauh sahaja dan pensyarah pula hanya sebagai pembimbing dan bukan lagi berperanan sebagaimana guru di sekolah.

Oleh itu, mereka terpilih dan cemerlang ini perlu bersedia secara fizikal, mental dan spiritual agar dapat mengharungi segala cabaran serta dugaan di menara gading kerana di sini hanya mereka yang benar-benar komited, ikhlas, bermotivasi tinggi dan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang diceburi sahaja yang dapat mendiaminya serta mampu mencipta kegemilangan di akhir siri pelayaran intelektual kelak.

Istilah putus asa, lemah semangat, takut gagal, tiada keyakinan diri, mudah mengalah dan banyak lagi sifat negatif seolah-olah tidak pernah wujud di dalam diari setiap penghuni lembah intelektual ini yang juga dikenali sebagai mahasiswa. Sifat dan tabiat lemah ini hanya akan membantut misi dan visi besar sepanjang bergelar mahasiswa jika masih dibiarkan membelenggu diri.

Sebagai agen perubahan dan juru bicara umat pada masa hadapan, maka mahasiswa perlu mempunyai jiwa kental dan berfikiran terkehadapan serta kreatif agar mereka dapat menjadi penyambung warisan generasi lama serta membawa masyarakat dan negara berada di landasan yang betul. Golongan ini sememangnya telah memainkan peranan yang sangat besar dalam pembinaan bangsa yang mapan dan negara yang dihormati sejak dahulu lagi.

Dengan suara keramat yang ada dalam membela ummah, integriti yang tinggi dan wibawa utuh yang dibentuk di menara gading telah melahirkan generasi pemimpin, tokoh agama dan korporat serta aktivis sosial hebat yang dapat dilihat pada hari ini. Aset berharga negara ini dicerna dan dicanai sejak di menara gading lagi melalui aktivisme, kelangsungan dan perjuangan golongan mahasiswa.

Mereka telah berjaya terjun ke kancah masyarakat dalam menterjemahkan semangat perubahan, merealisasikan anjakan paradigma dan menjadi model kepada generasi sebelum dan selepas mereka. Hakikat ini perlulah dihayati dan dicontohi oleh generasi baru dan lebih-lebih lagi mereka yang kini memegang amanah serta tanggungjawab sebagai mahasiswa. Oleh itu, integriti, kualiti dan identiti serta personaliti mahasiswa juga perlu diperkasakan lagi dari masa ke semasa.

Dalam usaha transformasi dan inovasi ummah, di samping berjaya menggenggam ijazah tertinggi dan kerjaya berprestij, kita juga ingin melihat golongan mahasiswa juga mampu berperanan memandu masyarakat kepada cara hidup serta budaya Islami yang komprehensif dan membudayakan ruh dakwah yakni 'amar makruf nahi mungkar' di dalam kampus sebagai medan awal sebelum terjun ke dalam realiti sebenar masyarakat.

Ini adalah bagi memastikan generasi muda Islam terutamanya di negara ini bebas daripada segala macam gejala sosial menjelang 2020 di kala mana Malaysia telah menjadi negara maju. Ketika ini kita begitu dibebani dengan variasi masalah kronik anak muda seperti dadah, rempit, pelacuran, buang bayi dan sebagainya yang sudah tentu memerlukan sentuhan ajaib golongan mahasiswa sebagai tabib sosial serta agen transformasi ummah.

Comments

Popular Posts