Ekonomi Islam: Mitos atau Realiti?


Ulul Albab: Ekonomi Islam: Mitos atau Realiti?



Oleh Abdurrahman Haqqi
2010/05/23

Aktiviti moral, akhlak dilaksana tidak berasaskan kepada sifat negatif manusia

AKHIR-AKHIR ini penggunaan kata ‘mitos’ dan ’realiti’ dalam perbincangan berkaitan Islam kerap digunakan. Baru saja berlalu ialah syarahan yang disampaikan seorang tokoh intelektual Islam antarabangsa, Prof Dr Ali Al’Amin Mazrui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Selasa lalu. Dalam Syarahan Perdana Putrajaya itu, Prof Mazrui menjelaskan isu bertajuk ‘Abad Islam: Mitos atau Realiti’.

Dua dekad yang lalu, seorang intelektual Barat, John L. Esposito menulis buku yang menjadi topik perbincangan hangat akademik masa itu dengan tajuk The Islamic Threat: Myth or Reality.

Sempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-6 yang baru saja tamat Khamis lalu di Kuala Lumpur, pertanyaan di minda penulis mengikut jejak ’mitos’ dan ’realiti’ ialah ‘Ekonomi Islam: Mitos atau Realiti?’
Sejarah kajian dan perbincangan ekonomi Islam pada kacamata kajian moden mungkin relatif singkat. Ia baru beberapa dekad saja selari dengan perkembangan sejarah dunia yang mengamalkan ekonomi kapitalis dan sosialis.

Tetapi dari segi amalannya, ia tidak baru bahkan bukan hanya bermula pada zaman kenabian Muhammad saw saja tetapi sudah bermula dari zaman Nabi Adam as. Hakikat ini dengan satu catatan bahawa Islam adalah agama semua nabi yang diutus oleh Allah SWT. Ertinya, ketika Nabi Adam mengamalkan ekonomi maka ia adalah ekonomi Islam; ketika Nabi Yusuf as melaksanakan kebijakan ekonomi negeri Mesir kala itu maka ia adalah ekonomi Islam dan seterusnya.

Ekonomi Islam yang berlandaskan wahyu untuk pertama kali diturunkan dalam satu panduan Ilahi berbentuk suhuf atau lembaran adalah diturunkan kepada Nabi Syith bin Adam as. Dalam suhuf Syith yang berjumlah 60 lembar itu diajarkan perkara utama yang diperlukan manusia termasuk bidang ekonomi.
Persembahan korban oleh kedua-dua anak Nabi Adam as, Qabil dan Habil sebagai wakil petani dan penternak adalah satu bukti contoh keberhasilan amalan ekonomi pada zaman itu walaupun salah satu pengorbanan itu dicederakan oleh sifat ketamakan manusia.

Kebijakan Nabi Yusuf as dalam mengelola aset pertanian negara menerusi rancangan tujuh tahunannya adalah satu bukti contoh keberhasilan amalan ekonomi pada zaman itu yang diterapkan berasaskan ‘good governance, intregrity , and leadership’.

Ekonomi Madinah yang diterapkan Nabi Muhammad saw sehingga membawa masyarakat itu kepada ’khaira ummah’ atau sebaik-baik umat adalah satu contoh bukti keberhasilan amalan ekonomi yang wajib dijadikan asas oleh umat yang datang kemudian kerana ekonomi Madinah itu berasaskan wahyu Allah SWT semata-mata.

Jadi, di mana mitos dan realiti ekonomi Islam? Apakah mitos itu berada dalam anggapan bahawa Islam tidak lagi sesuai dengan kenyataan atau realiti? Atau realitinya berada dalam anggapan bahawa Islam tidak lagi sesuai kerana ia sudah menjadi mitos?

Ekonomi Islam adalah ekonomi tauhidi dengan pengertian bahawa semua aktiviti ekonomi adalah pelaksanaan amanah yang diserahkan kepada manusia oleh Allah agar mereka melaksanakannya mengikut peraturan pemberi amanah. Manusia dalam ekonomi Islam adalah pemegang amanah bukan pemilik.

Ekonomi Islam adalah ekonomi ibadah dengan pengertian bahawa dalam melakukan aktiviti ekonomi manusia tidak terlepas hubungan daripada Allah SWT. Ketika mereka beraktiviti ekonomi, maka di sana ada taqarrub atau pendekatan diri kepada Allah dengan satu pengisytiharan bahawa aktiviti itu adalah hanya untuk Allah semata.

Ekonomi Islam adalah ekonomi akhlak atau moral dengan pengertian bahawa ia dilaksanakan tidak berasaskan kepada sifat negatif manusia dan kemanusian. Malah ia berasaskan kepada sifat mahmudah atau terpuji yang membawa manusia kepada saling tolong menolong dalam kebaikan, bertimbang rasa dan keadilan sosial.

Ulama Islam silam rahimahumullah menulis permasalahan ekonomi dalam kitab mereka walaupun tidak secara jelas dinyatakan bahawa ia adalah kajian ekonomi. Dalam kitab tauhid ada kajian ekonomi; dalam kitab tafsir ada kajian ekonomi; dalam kitab hadis ada kajian ekonomi; dalam kitab fikah ada kajian ekonomi; bahkan dalam kajian akhlak pun ada juga kajian ekonomi.

Maka tidak hairanlah jika kita dapati bahawa mereka telah menyentuh permasalahan yang berkaitan dengan ekonomi pertanian, ekonomi perindustrian, ekonomi pendidikan, ekonomi kesihatan, ekonomi ibadah bahkan ekonomi politik sekali pun.

Ini kerana ulama yang menjelaskan ajaran agama Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah dalam khazanah kitab berkenaan telah mengkaji tindakan setiap individu dalam urusan mengatur dan mentadbir kehidupannya; penggunaan secara alternatif bahan-bahan yang ada yang mempunyai kekurangan secara berbanding, persoalan mengenai harta kekayaan dalam pelbagai peringkat penggunaan, pengagihan dan penentuan peranannya; dan menentukan sama ada memberi hak milik alat pengeluaran ataupun tidak kepada individu ataupun sektor swasta.

Dalam tesis Ijazah Kedoktoran Universiti Paris pada 1967 yang dikemukakan Muhammad Syauqi al-Finjari ada dibuktikan bahawa sesungguhnya ahli fikir Islam mendahului orang lain dalam membuat perakuan mengenai teori ekonomi di samping membuktikan sikap sederhana Islam dalam usaha menonjolkan keistimewaannya daripada teori lain; iaitu bahawa teori Islamlah yang paling adil dan unggul daripada sudut kemanusiaan. Jika demikian halnya, adakah ekonomi Islam mitos atau realiti? Wallahu alam.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UlulAlbab_EkonomiIslam_MitosatauRealiti_/Article

Comments

Popular Posts