Sunday, August 15, 2010

BELASUNGKAWA ALLAHYARHAM USTAZ AHMAD SONHADJI


Umat Islam di rantau ini kehilangan seorang ulama hebat serta tokoh agama alam Nusantara yang sangat berjasa di dalam bidang penulisan keagamaan dan intelektual Islam. Beliau telah memperhambakan dirinya kepada dunia penulisan sejak sekian lama dan mewakafkan minda perdana beliau kepada pembangunan masyarakat Islam secara keseluruhannya. Bahan penulisan ilmiah yang telah dihasilkan beliau sangat berpengaruh, kontemporari dan merupakan khazanah penting pendidikan Islam serta lapangan dakwah di rantau ini.

Beliau yang dimaksudkan ialah almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad Milatu yang telah meninggal dunia pada 2 Ramadan 1431/ 12 Ogos 2010 yang lepas dalam usia 88 tahun ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadhan yang mulia. Almarhum telah meninggalkan ribuan atau jutaan anak murid di seluruh Nusantara bersama sejumlah buku termasuk karya agung beliau seperti Mari Sembahyang, tafsir kontemporari lengkap al-Quran yang cukup dikenali iaitu 'Abrul-Athir atau dikenali juga sebagai "Tafsir al-Quran di Radio" serta ratusan lagi karangan yang sangat penting kepada pemikiran ummah.

Beliau menamakan kitab tafsir tersebut sebagai ‘Abrul-Athir yang bermaksud “merentasi gelombang udara” cukup signifikan dan merupakan sebuah koleksi lengkap 30 jilid kitab tafsir Al Quran dalam bahasa Melayu yang diusahakan oleh beliau selama 25 tahun di mana beliau mula menulis tafsir Al-Quran berkenaan sejak tahun 1959 lagi. Kitab tafsir ini boleh dikatakan adalah antara tafsir Al-Quran terawal di dalam bahasa Melayu moden dengan gaya bahasa yang mudah dan senang difahami oleh masyarakat awam sepertimana ratusan karangan lain yang dihasilkan beliau.

Almarhum yang dilahirkan di desa Pengging, daerah Surakarta (Solo), Jawa Tengah, Indonesia pada hari Jumaat, 24 Zulhijjah 1340H atau 18 Ogos 1922 tetapi menghabiskan sepanjang hayatnya di Singapura, dikenali sebagai seorang ulama yang sangat gigih dan ahli tafsir Al Quran yang tersohor di rantau ini. Malah, beliau adalah segilintir ahli agama komited yang menggunakan ketajaman mata pena dan medium penulisan untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat di seluruh alam Melayu dan dunia amnya kerana terdapat buku karangan beliau yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa utama dunia.

Komitmen dan pengorbanan besar beliau ini sewajarnya menjadi tauladan, model dan ikutan kepada golongan pemikir serta ulama muda hari ini agar dapat melahirkan lebih banyak lagi bahan penulisan dalam bentuk dokumentasi ilmiah sebagai warisan intelektual generasi akan datang. Para imam mazhab dan ulama muktabar terdahulu misalnya begitu tekun dan ikhlas menghasilkan ribuan kitab besar dalam pelbagai bidang yang boleh dibaca, dikaji dan dirujuk sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu, tradisi intelektual ini perlu diteruskan oleh generasi hari ini agar dunia ilmu tidak mati begitu sahaja atau tidak dapat dimanfaatkan apabila gagal didokumentasikan sana ada secara bercetak atau elektronik. Jika golongan agama terdahulu mampu menghasilkan ratusan kitab muktabar dalam keadaan serba kekurangan dari segi kelengkapan penulisan, rujukan dan sebagainya, maka dengan kemudahan, akses serta sumber rujukan yang luas dan teknologi hari ini sepatutnya memboleh kita menghasilkan lebih banyak bahan ilmiah kepada masyarakat.

Saidina Ali pernah berpesan kepada para sahabatnya agar mengikat ilmu dengan menulisnya kerana dengan cara itulah ilmu dapat diteruskan kepada generasi akan datang. Ketika ini kita memiliki ramai ulama dan tokoh agama yang hebat terutamanya di Malaysia tetapi tidak ramai di kalangan mereka yang mampu menulis dengan baik atau menggunakan medium penulisan untuk tujuan dakwah serta pengembangan ilmu kepada masyarakat, malahan bahan penulisan yang dihasilkan oleh tokoh agama di negara ini juga masih kurang, tidak berkualiti dan perlu ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

Sebaliknya, ketika usia beliau 82 tahun, almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji masih bertenaga dan telah menerbitkan sebuah lagi buku bertajuk: Tazkirah Untuk Orang Mengaji: Karya Sonhadji, yang merupakan kumpulan catatan-catatan beliau mengenai kehidupan dari sudut pandangan Islam yang beliau tulis sedikit demi sedikit sejak bertahun lamanya. Antara lain kitab-kitabnya yang popular ialah seperti Mari Sembahyang Lelaki/Perempuan, Pelajaran Sembahyang, Pelajaran Sembahyang Berjemaah, Benih Agama I, II, III, IV, Pendidikan Budi Pekerti I, II, Panduan Memahami Tafsir Al Quran I, II dan Pengetahuan Agama Islam (Bahagian Tauhid, Fiqih dan Sejarah Islam) yang disusun bersama pengarang lain di samping ratusan kitab karangan beliau.

Melihat kepada taraf beliau sebagai seorang sarjana Islam dan ulama yang begitu dihormati, beliau telah dilantik menjawat beberapa jawatan penting yang antaranya seperti Anggota Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (1980-1992); Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (1974-1992); Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (1974-1986 dan 1990); Jawatankuasa Penasihat Islam, Kementerian Hal Ehwal Masyarakat (1960-1962); dan Jawatankuasa Pelajaran Agama Islam, Kementerian Pelajaran (1958-1960) dan pelbagai jawatan penting lain di Singapura yang menjadi destinasi kehidupan beliau sehinggalah dianugerahkan beberapa pingat penghormatan daripada kerajaan Singapura ketika hayatnya.

Semoga Allah s.w.t merahmati Almarhum dan menjanjikan syurga Firdaus kepada beliau berkat bulan Ramadhan al- Mubarak. Amin

RUJUKAN

Zakir Hussain. (2010, August 13). Noted Islamic scholar Ahmad Sonhadji dies. The Straits Times. Retrieved August 13, 2010, from Factiva database.

Laman blog: http://www.rudyherman.com/2009/10/ustaz-sonhadji-mohamad-berdakwah-melalui-mata-pena/

berita berkaitan:

SINGAPURA - Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad pergi tak kembali pada 2 Ramadan 1431 Hijrah (semalam). Beliau meninggalkan ribuan murid di seluruh Nusantara bersama sejumlah buku termasuk karya agung Mari Sembahyang dan tafsir lengkap al-Quran 'Abrul-Athir. Solat jenazah di Masjid Muhajirin diimami oleh Mufti Singapura, Sahibus-Samahan Syed Isa Semait. Turut hadir, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura, Dr Yaacob Ibrahim. Moga Allah anugerahkan keampunan dan kerahmatan ke atas roh Ustaz Ahmad Sonhadji (1922-2010).

sumber: http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/photo-cj/211-zulkifli-khair/397-ustaz-ahmad-sonhadji-kembali-ke-rahmatullah-

Berita Harian (Singapura)

BELASUNGKAWA ALLAHYARHAM USTAZ AHMAD SONHADJI

Tabur bakti hingga ke saat-saat akhir

Jasa dihargai sekalian lapisan masyarakat


By Nuradilah Mahbob

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, telah menghantar surat takziah kepada anak Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamed, Cik Seri Sukarni.

Dalam surat itu, Encik Wong berkata sumbangan besar Ustaz Sonhadji bukan sahaja kepada umat Islam mala kepada rakyat Singapura.

Encik Wong turut menghargai sumbangan Allahyarham dalam keselamatan Singapura menerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu 'kehilangan besar'.

'(Allahyarham) memahami kepentingan dan keperluan untuk menentang ideologi radikal yang diperjuangkan oleh para pengganas dan mengatasi isu itu secara langsung dan penuh keazaman,' tulis Encik Wong.

Sementara itu, para asatizah dan pemimpin Melayu/Islam juga menghargai jasa Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji yang giat menabur bakti walaupun pada akhir hayatnya.

Kelmarin, para asatizah dan pemimpin Melayu/Islam membanjiri Masjid Muhajirin di Toa Payoh untuk menunaikan solat jenazah Allahyarham yang meninggal dunia sekitar 8.30 pagi Khamis.

Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji, 87 tahun, meninggal dunia selepas beberapa bulan berada di Hospital Universiti Nasional (NUH) kerana sakit radang paru-paru dan penyakit ginjal.

Jasa sumbangan Allahyarham akan sentiasa dikenang kakitangan Masjid Muhajirin, di mana beliau pernah menjadi imam selama 22 tahun sejak 1980.

Menurut pengerusi eksekutif Masjid Muhajirin, Ustaz Abdul Manaf Rahmat, Allahyarham telah mengendali kelas hari Isnin sejak 10 tahun yang lalu di masjid tersebut.

Januari lalu merupakan kali terakhir Allahyarham memberikan kuliah.

'Apa yang amat mengagumkan adalah kesungguhan beliau walaupun dalam keadaan uzur.

'Sampai beliau berketar-ketar pun beliau masih nak datang ke masjid. Semangat itulah yang harus dicontohi generasi muda sekarang,' ujar Ustaz Abdul Manaf.

'Ustaz telah bersama masjid ini sejak ia mula ditubuhkan pada 1977. Tak sangka beliau mengakhiri hayatnya di masjid ini juga,' kata Cik Ramlah Ali, 71 tahun, salah seorang murid Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji, yang juga ahli jawatankuasa Masjid Muhajirin.

Salah seorang lagi murid Allahyarham, Ustazah Sohana Saibi, mengenang cara mengajarnya yang begitu terperinci.

'Apabila Allahyarham mengajar Al-Quran, bukan kata satu ayat, satu perkataan itu sahaja boleh dikupas dan dihuraikannya.

'Kata-kata akhir beliau kepada kami, saya ingat lagi, jangan lupa untuk menulis kerana dengan cara itulah ilmu dapat diteruskan,' jelas Ustazah Sohana, seorang guru tadika di Masjid Darul Ghufran, yang telah berguru dengan Allahyarham sejak tahun '90-an bersama sekumpulan asatizah wanita.

Ternyata, Allahyarham amat prihatin tentang pembangunan asatizah dan peranan mereka dalam mengembangkan ilmu.

'Saya masih ingat lagi pertama kali saya berjumpa dengannya sejak memegang jawatan sebagai Presiden Muis. Beliau berpesan kepada saya agar menjaga para asatizah. Hingga ke hari ini, saya memegangnya sebagai satu amanah,' ujar Haji Mohd Alami Musa, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

'Semangat Allahyarham untuk ilmu, pembaharuan dan kesederhanan terserlah.

'Walaupun berkerusi roda, Allahyarham sempat menghadiri majlis perkahwinan anak saya tahun lalu. Bahkan beliau sempat membaca doa dalam majlis tersebut,' imbas Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed.

Sumbangan Allahyarham menulis buku bertajuk Mari Sembahyang, yang digunakan secara meluas di rantau ini, juga diingati.

'Bagi setiap anak muda (yang belajar cara sembahyang menggunakan bukunya), bukan sahaja dari Singapura, tetapi di Malaysia juga. Setiap kali mereka sembahyang, beliau mendapat pahala,' kata seorang guru sekolah yang hanya ingin dikenali sebagai 'Abdullah'.
--------------------------------------------------------------------------------
'Ustaz Sonhadji membantu memupuk Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada awalnya dan menggalakkan asatizah muda untuk menyertai kumpulan itu.

Beliau memahami kepentingan dan keperluan untuk menentang ideologi radikal yang diperjuangkan oleh para pengganas dan mengatasi isu itu secara langsung dan penuh keazaman.

-- Timbalan Perdana Menteri, Encik Wong Kan Seng, dalam surat takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, semalam.

'Beliau merupakan seorang ulama yang tidak pernah berhenti belajar dan mengajar.

-- Mantan Presiden Muis, Haji Maarof Salleh.

'Kita kehilangan tokoh yang amat disanjungi dengan sumbangan yang begitu meluas. Moga jasa baktinya akan diteruskan masyarakat Islam khususnya di Singapura.

-- Haji Wan Hussin Zoohri, Presiden LBKM.

'Allahyarham selalu memberi nasihat supaya berpegang kepada agama dan Al-Quran. Apa yang saya pelajari daripada beliau adalah bagaimana menerusi (perwatakan) dirinya, beliau telah dapat memaparkan keindahan Islam, termasuk kepada orang-orang yang bukan Islam.

-- Ustaz Abdul Manaf Rahmat, pengerusi eksekutif, Masjid Muhajirin.

sumber: http://cyberita.asia1.com.sg/mprintfriendly/0,6876,StoryPage--10000-170649,00.html

1 comment:

IRASYA said...

Al-Fathihah untuk beliau
Saya ingin mendapat kan Tafsiran lengkap "Tafsiran Al-Quran" Allahyarham versi jawi.
Saya berharap dapt kiranya pihak tuan memberi maklumat akan nya