Nilai jualan industri buku negara cecah RM2.1 bilion pada tahun 2009
Jualan buku Ramadan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/08/31
Benarkah ia catat kemerosotan kerana tumpuan kepada Syawal?
NILAI jualan industri buku negara yang mencecah RM2.1 bilion pada tahun lalu, membuktikan tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat, selain purata membaca buku yang meningkat daripada 12 buku setahun berbanding dua kira-kira tiga tahun lalu.
Peningkatan yang boleh dianggap berada di tahap membanggakan, penerbit dan penulis tempatan masih menghadapi masalah menembusi pasaran buku setiap kali menjelang Ramadan kerana kuasa membeli masyarakat tempatan lebih bertumpu kepada persiapan menyambut Syawal. Justeru, tidak hairanlah sekiranya jualan buku genre agama pada bulan puasa kurang memberangsangkan walaupun industri buku negara memiliki lebih daripada 5,000 penulis apabila peningkatan statistik pembacaan dan jumlah jualan buku sekadar membabitkan novel cinta remaja dan majalah hiburan.
Tidak sekadar dengan kemelut itu, industri buku negara yang dibanjiri dengan kemasukan buku asing seperti Barat, Indonesia dan China turut menjejaskan pasaran buku tempatan apatah lagi kebanyakan karya Islami kini didominasi penulis Indonesia.
Senario ini berbeza dengan keadaan di negara jiran, Indonesia yang menyaksikan kerancakan pasaran buku agama dan karya Islami pada Ramadan mendominasi khalayak pembaca negara itu meskipun kemajuan negara itu agak terkebelakang berbanding Malaysia.
Pengurus Pemasaran KarnaDya Solutions Sdn Bhd, Faiz Al-Shahab, tidak menafikan jualan buku pada Ramadan kurang menggalakkan berbanding musim cuti dan perayaan lain, namun menyifatkan jualan buku pada musim itu semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Budaya di Malaysia pada Ramadan menunjukkan pengguna menggunakan kuasa membeli untuk produk tambahan seperti makanan, pakaian dan perabot. Oleh kerana budaya membaca masih dalam peringkat pramatang di negara ini, belanjawan untuk bahan bacaan diketepikan sama sekali untuk memberi ruang perbelanjaan barangan perayaan.
“Misalnya, jualan buku KarnaDya pada bulan puasa jatuh lebih kurang 12 peratus hingga 15 peratus berbanding bulan biasa pada beberapa tahun sebelum ini. Hal ini membuktikan budaya di Malaysia masih jauh daripada tahap yang memuaskan dan sudah tentu lebih jauh daripada tahap yang membanggakan,” jelasnya.
Faiz mengambil statistik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menyenaraikan negara celik huruf dan cintakan budaya membaca memerlukan satu peratus daripada jumlah Keluaran Negara Kasar Dunia (GDP) negara, industri buku negara.
“Malaysia masih jauh daripada statistik itu dan keadaan ini sama seperti perbandingan budaya membaca di antara Malaysia dan Indonesia yang masih menyaksikan budaya membaca di negara ini kurang matang. Namun, di Indonesia peningkatan jualan buku genre agama saja yang meningkat pada bulan puasa.
“Fenomena ini juga sedang berlaku di Malaysia. Jualan buku Inspirasi KarnaDya seperti I love Ramadan dan tajuk berunsur keagamaan meningkat pada bulan ini. Saya yakin khalayak di Malaysia khususnya golongan muda sudah sedar kepentingan membaca. Namun untuk memupuk budaya membaca memerlukan tempoh panjang dan produk tersendiri,” katanya.
Eksekutif Perdagangan Jabatan Bahasa Inggeris Popular, Azrina Azmi pula, yakin bahawa penurunan jualan buku bulan Ramadan berpunca daripada tabiat membaca masyarakat tempatan yang lebih bertumpu kepada novel cinta dan majalah berbanding karya ilmiah.
“Kebanyakan penerbit buku tempatan mensasarkan kepada jualan buku agama dan ilmiah. Trend pembelian pada Ramadan yang sedemikian menjejaskan pasaran jualan buku sepanjang Ramadan. Selain itu, belanjawan individu dan keluarga yang lebih mengutamakan keperluan menyambut Hari Raya turut menyumbang kepada permasalahan ini.
“Di sini timbul tanggungjawab penerbit dan penulis untuk memastikan jualan buku ilmiah berkembang seiring dengan novel remaja, sekali gus menjadikan karya ilmiah sebagai kebiasaan dalam budaya membaca dan tidak sekadar bermusim,” katanya.
Azrina mencadangkan bagi mengatasi kemurungan itu, penerbit buku wajar mempromosikan buku ilmiah secara tekal dan berani dengan melakukan perubahan khususnya untuk bacaan pada Ramadan dengan harapan pada suatu hari nanti budaya membaca di kalangan masyarakat Melayu akan berubah.
“Ramadan adalah bulan terbaik untuk menambahkan ilmu dalam mengisi masa yang terluang, tetapi saya tidak menafikan masyarakat perlu menyumbang bagi merealisasikan hasrat ini melalui sistem pendidikan di rumah dan sekolah yang sewajarnya menerapkan kepentingan menambahkan ilmu melalui karya ilmiah,” katanya.
sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JualanbukuRamadan/Article
Comments