Bank Negara hadkan nisbah pinjaman rumah kepada 80 peratus sahaja


Bank Negara hadkan nisbah pinjaman rumah

2010/08/31

KENANGA Research berkata, ia mungkin menurunkan penarafannya terhadap sektor hartanah jika Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menurunkan nisbah pinjaman berbanding nilai (LVR) pajakan sesuatu hartanah.

Firma penyelidikan itu berkata, bank pusat itu dilaporkan sudah menulis kepada institusi kewangan untuk mendapatkan maklum balas mengenai kemungkinan mengehadkan LVR bagi pajakan pada tahap 80 peratus bagi mengelakkan potensi risiko berlakunya gelembung dalam pasaran hartanah.

Ketika ini, bank boleh memberi pinjaman sehingga 90 peratus daripada nilai rumah atau sehingga 100 peratus bagi kes terpilih. Ini memberikan manfaat kepada pemaju dalam mempromosikan projek masing-masing di bawah skim penyerapan faedah seperti skim pinjaman rumah 10/90.

Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, ia tidak terkejut jika Bank Negara melaksanakan had 80 peratus pada LVR pajakan atau sekurang-kurangnya bagi hartanah bernilai lebih RM500,000, kerana kerajaan menangani pelaburan berkaitan pengambilalihan hartanah.

"Jika dilaksanakan, kami berkemungkinan menurunkan penarafan sektor kami kerana kami menjangka transaksi hartanah akan jatuh disebabkan keperluan deposit akan berganda atau menggandakan risiko pelaburan, yang mengehadkan bilangan rumah yang boleh dibeli oleh seseorang individu.

"Kami menjangkakan pembeli akan menjadi lebih bijak semasa membuat pemilihan hartanah, yang bermakna peneraju pasaran yang lebih kukuh dari segi jenama dan kualiti akan muncul sebagai pemenang, bagi mendapatkan agihan pasaran daripada pasaran yang lebih kecil," katanya.

Sementara itu, OSK Research berkata, Bank Negara mungkin tidak menguatkuasakan had LVR yang ketat 80 peratus secara menyeluruh ke atas semua kelas hartanah tetapi mengenakan sekatan hanya pada hartanah mewah.

"Kami memahami bahawa kebanyakan bank akan berdepan dasar kawalan risiko dalaman yang mengehadkan LVR kepada 85 peratus bagi hartanah mewah bernilai lebih RM700,000," katanya.

Hartanah kediaman kini masing-masing menyumbang kepada 26.6 peratus dan 49.8 peratus daripada pinjaman keseluruhan industri dan pengguna.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BankNegarahadkannisbahpinjamanrumah/Article

Comments

Popular Posts