Wednesday, August 18, 2010

Bijak atur strategi tadbir urus amal ibadah sepanjang Ramadhan


Ramadhan adalah bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam kerana di dalam bulan yang amat istimewa serta penuh keberkatan ini adalah medan takungan dan limpahan rahmah serta kasih sayang Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya yang tidak terhingga luasnya. Allah s.w.t yang maha pemurah lagi maha penyayang telah menghadiah Ramadhan saban tahun tanpa terlepas setahun pun sebagai anugerah agung Ilahi kepada mereka yang bijak mengambil dan merebut segala kesempatan dan peluang yang ada di dalamnya.

Pelbagai ganjaran yang digandakan sehingga berlipat kali ganda nilainya di mana semua amalan sunat dibalas pahala ibadah wajib manakala amalan wajib pula digandakan sehingga tujuh puluh kali ganda kelebihannya yang sewajarnya menjadi momentum positif kepada seluruh umat Islam menggembleng tenaga, semangat dan tekad untuk menghidupkan bulan yang mulia ini siang dan malam dengan penuh keimanan serta ketaqwaan tanpa kompromi lagi biarpun dilanda dengan bebanan tugasan, tanggungjawab dan komitmen seharian.

Ini adalah pelaburan akhirat yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja dan amat rugi sekali kepada mereka yang masih leka dibuai serta dilalaikan dengan aktiviti keduniaan yang tidak pernah habis dan berkesudahan. Ini bukanlah bermakna bahawa kita perlu ketepikan seluruh aktiviti harian kita semata-mata untuk mengejar fadilat Ramadhan sahaja tetapi umat Islam perlu bijak mengatur strategi dalam pentadbiran dan pengurusan amal ibadah sepanjang bulan ini agar tidak terlepas selaut ganjaran di bulan Ramadhan yang tidak terhingga banyaknya.

Menurut Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad di dalam laman web pertubuhan berkenaan menegaskan bahawa Ramadhan adalah bulan yang membuka ruang kepada semua Umat Islam untuk mempergandakan amal-amal soleh, ketaatan kepada Allah, yang akan mempergandakan pahala balasan amalan-amalan yang wajib sebanyak tujuh puluh kali ganda dan amal-amal sunat kepada pahala balasan amal-amal yang fardhu dan wajib. Ini adalah peluang yang perlu direbut sebanyaknya dan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.

Sepanjang bulan Ramadhan masyarakat Islam dituntut melaksanakan ibadah puasa , membayar zakat fitrah, mereka keluar beramai-ramai melaksanakan sembahayang fardhu dan sunat tarawikh secara berjamaah di masjid-masjid dan surau-surau, memakmurkan rumah-rumah Allah s.w.t dan bulan Ramadhan dengan kegiatan-kegiatan membaca al-Quraan, i’tikaf sepanjang sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, menghidupkan malam-malamnya dengan sembahyang-sembahyang sunat tahajud, witir dan seumpamanya.

Di samping itu, umat Islam digesa bersungguh-sungguh mengingati Allah s.w.t dengan memperbanyakkan tasbih ,tahmid, istighfar, taubah, berdoa dengan doa-doa yang ma’athur , munajat, merenung kandungan kitabnya dan keajaiban alam semesta, mendalami sirah RasulNya dan memahami perutusan-perutusan dari sunnah-sunnah baginda, sejarah umat manusia, para-para Nabi dan Rasul dan pengikut-pengikut mereka, nasib kaum-kaum yang ingkar kepada perintah Allah, alam akhirat, kematian dan untung nasib manusia sesudahnya.

Menerusi ibadat puasa sepanjang bulan Ramadhan umat Islam dituntut mengekang hawa nafsu minum dan makan serta mencampuri Isteri di waktu siang, mengasuh diri bersabar, menahan marah, menjaga lidah dan kehormatan peribadi sebagai orang Islam yang mulia, bersopan santun, sentiasa menghulurkan khidmat dan bantuan kepada golongan yang memerlukannya, berderma dan bersedekah, merasai sendiri kesedihan dan kepayahan, kelaparan dan kekurangan yang ditanggung selama ini oleh golongan fakir miskin, anak-anak yatim, golongan cacat dan tidak berupaya untuk menyara atau mengurus diri sendiri atau keluarga mereka.

Bulan Ramadhan yang begitu istimewa dan eksklusif ini juga merupakan bulan pembersihan jiwa daripada pelbagai penyakit-penyakit batin dan pembersihan diri daripada perilaku-perilaku yang buruk. Bulan yang sepatutnya kepada pejuang-pejuang Islam menyuburkan keinsafan dalam diri, kesabaran menghadapi cabaran-cabaran, keazaman mendokong Islam, ketaatan kepada Allah, kerinduan kepada Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda yang telah berkorban untuk Islam dengan setinggi-tinggi pengorbanan.

Melihat kepada hebat dan gahnya bulan Ramadhan yang mulia ini, maka bulan ini juga disebut sebagai madrasah atau institusi yang mampu menjana modal insan yang Islamik dan Quranik dengan akhlak mulia, berkeperibadian tinggi, bermotivasi dalam apa jua amalan yang dilakukan, berjiwa besar serta sanggup mengharungi segala dugaan dan cabaran melalui latihan intensif puasa selama sebulan di mana bukan sekadar berlapar dan dahaga semata-mata tetapi sebaliknya falsafah puasa amat luas serta mempunyai rahsia yang tersendiri disediakan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya.

Oleh yang demikian, umat Islam tidak boleh membiarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja tanpa berlumba merebut peluang dan ruang yang begitu luas terbuka mempertingkatkan amal ibadah, berusaha memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat serta beriltizam menjadikan Ramadhan kali ini adalah yang terbaik daripada tahun-tahun yang lepas. Jika tahun-tahun berlalu kita cuai, sambil lewa dan gagal menghidupkan roh Ramadhan sehebatnya berbanding orang lain, maka Ramadhan yang sedang berlangsung ketika ini tidak boleh diabaikan dan menanti untuk diraikan. Ini adalah kerana Ramadhan tidak pernah kecundang menzahirkan dirinya saban tahun tetapi hanya kita sahaja yang seringkali alpa, lalai dan membiarkannya pergi begitu sahaja.

No comments: