Puasa boleh kurangkan masalah obesiti, diabetes


Puasa boleh kurangkan masalah obesiti, diabetes
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/08/15
Elak ambil makanan berlemak, gula tinggi ketika berbuka

KUALA LUMPUR: Kadar peningkatan masalah obesiti dan diabetes di negara ini boleh dikawal jika umat Islam mengambil kesempatan menunaikan ibadat puasa mengikut prinsip sebenarnya.

Malangnya, ramai yang sebaliknya bertindak mengikut nafsu dengan makan lebih banyak, termasuk makanan manis dan berlemak pada tempoh antara waktu berbuka hingga sahur berbanding hari biasa.

Presiden Persatuan Obesiti Malaysia, Prof Dr Ismail Noor, berkata walaupun berpuasa pada siang hari tetapi pengambilan kalori pada sebelah malam menyebabkan berat badan tidak berkurangan dan mendedahkan diri kepada risiko obesiti.

“Usaha mengurangkan berat badan walaupun hanya 10 peratus bermakna merendahkan risiko diabetes antara 30 ke 40 peratus.

“Walaupun tiada kajian khusus mengaitkan kesan berpuasa dengan penurunan berat badan, namun puasa yang dilakukan mengikut prinsipnya boleh membantu mengurangkan berat badan.

“Apabila berbuka puasa, jangan makan berlebihan. Juadah berbuka memang menyelerakan dan kita juga perlu makanan untuk untuk dapatkan tenaga namun anda juga perlu mengawal pemakanan,” katanya.
Beliau mengulas tabiat masyarakat Muslim negara ini yang lebih mengutamakan juadah manisan untuk berbuka.

Di Malaysia, kebanyakan kes obesiti dikaitkan dengan masalah diabetes dan sehingga kini 1.2 juta rakyat dikesan menghidap penyakit itu dengan lebih 98 peratus adalah dari Jenis 2.

Malah, kadar peningkatan kes diabetes di negara ini turut menyamai kadar penyakit yang sama di negara maju.

Misalnya, Kajian Mortaliti dan Morbiditi Kebangsaan pada 1986 mencatat 6.3 peratus penduduk adalah pesakit diabetes dan angka itu meningkat kepada 8.2 peratus pada 1996 dan 14.9 peratus pada 2006.

Statistik 2006 hingga 2008 pula menunjukkan 630 kanak-kanak dan remaja dikesan menghidap diabetes dengan sesetengah mereka sudah mula menerima suntikan insulin sejak berusia setahun.

Amalan pemakanan yang betul serta melakukan aktiviti senaman secara berkala dengan betul dapat mengelakkan seseorang daripada mengalami masalah obesiti yang turut menyumbang kepada punca pelbagai penyakit berbahaya yang boleh membawa maut seperti lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Puasabolehkurangkanmasalahobesiti_diabetes/Article/index_html

Comments

Popular Posts